Skip to main content

Singapura

Pelanggan SIA dengan tempahan sah, penumpang transit tidak terjejas meski jualan tiket VTL digantung

Penumpang yang lakukan persinggahan di S'pura juga tidak akan terjejas oleh pembekuan tiket VTL, jelas SIA.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelanggan Singapore Airlines (SIA) dengan tempahan sah di bawah aturan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) tidak akan terjejas selepas pihak berkuasa Singapura mengumumkan langkah untuk membekukan penjualan tiket VTL mulai Khamis (23 Dis).

Mereka yang mempunyai tempahan sah boleh meneruskan perjalanan mereka, jelas SIA pada Rabu, sambil menambah bahawa penumpang yang melakukan persinggahan di sini juga tidak terjejas oleh langkah terbaru itu.

"Pelanggan yang ingin melakukan persinggahan di Singapura melalui penerbangan VTL sepanjang tempoh itu boleh terus menempah penerbangan mereka," tambah syarikat penerbangan itu.

Mulai 11.59 malam pada Rabu, SIA akan berhenti menerima tempahan bagi semua penerbangan VTL ke Singapura yang dijadualkan antara Khamis hingga 20 Jan 2022.

Tiada perubahan pada syarat-syarat VTL atau ujian sedia ada dan pelawat dengan tempahan sedia ada boleh memasuki Singapura tanpa dikenakan kuarantin selagi mereka memenuhi kesemua syarat VTL, tambah SIA.

SIA dan anak syarikatnya Scoot mengendalikan penerbangan VTL dari lebih 20 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara di Eropah.

JETSTAR AKAN MAKLUMKAN PENUMPANG TENTANG SEBARANG PERUBAHAN

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Jetstar berkata bahawa syarikat penerbangan itu sedang menyemak syarat baru itu dan akan memaklumkan para pelanggannya tentang sebarang perubahan.

Jetstar mengendalikan penerbangan VTL dari lima destinasi ke Singapura iaitu Kuala Lumpur, Bangkok, Phnom Penh, Darwin dan Melbourne.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Rabu bahawa Singapura akan membekukan penjualan tiket bagi penerbangan dan perjalanan bas VTL antara 23 Dis ini hingga 20 Jan tahun depan, di tengah-tengah "penularan pesat" kes Omicron di banyak negara.

MOH menyatakan pada Isnin bahawa 71 kes Omicron disahkan di Singapura, yang terdiri daripada 65 kes import dan enam jangkitan tempatan.

Jumlah kes import COVID-19 juga meningkat setiap hari pada Disember, dengan 54 kes import dilaporkan pada Selasa.

"Langkah kawalan sempadan kita akan membantu memberi kita masa untuk mengkaji dan memahami varian Omicron dan untuk mengukuhkan benteng pertahanan kita termasuk meningkatkan kapasiti jagaan kesihatan kita dan memastikan lebih ramai penduduk divaksin dan menerima dos penggalak," menurut MOH pada Rabu.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) turut mendedahkan bahawa ia akan mengetatkan langkah-langkah keselamatan bagi semua pekerja lapangan terbang yang berinteraksi dengan penumpang yang tiba di sini.

Pekerja lapangan terbang yang berinteraksi dengan penumpang mesti memakai peralatan perlindungan diri yang dipertingkatkan, termasuk pelitup N95 dan pelindung muka, tambah MOH.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita