Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggan sewa motosikal naik 20 peratus; syarikat kekalkan harga sedang premium COE meningkat

Syarikat-syarikat motosikal menyaksikan peningkatan lebih 20 peratus dalam jumlah pelanggan yang menyewa motosikal sedang Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kategori kenderaan itu memuncak. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat-syarikat motosikal menyaksikan peningkatan lebih 20 peratus dalam jumlah pelanggan yang menyewa motosikal sedang Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kategori kenderaan itu memuncak. 

Dua syarikat yang ditemui BERITAmediacorp menyatakan sebahagian besar pelanggan yang menyewa motosikal adalah para pekerja penghantaran makanan. 

Meskipun harga COE meningkat, syarikat-syarikat berkenaan belum memutuskan untuk menaikkan harga sewa buat masa ini. 

HAMBAT PEKERJA PENGHANTARAN MAKANAN BELI MOTOSIKAL BARU

Sekitar enam bulan lalu, Encik Shukor Abdul Rahman, 39 tahun, memutuskan untuk menyewa motosikal untuk menjalankan tugas menghantar makanan secara sambilan. 

''

Beliau yang bekerja sekurang-kurangnya tiga kali seminggu tidak membeli motosikal baru buat masa ini kerana harga COE yang kian meningkat. 

Encik Shukor berkata: "Saya sewa untuk jangka masa panjang, kerana lebih senang dan tidak perlu tukar-tukar motor dan lebih mudah untuk saya bekerja dengan syarikat-syarikat penghantaran makanan."

Menurut Encik Shukor, para pekerja penghantaran makanan juga memerlukan insurans komersil untuk menghantar makanan sekiranya mereka menggunakan motosikal milik mereka sendiri. 

"Kita perlu ada insurans komersil untuk hantar makanan. Jadi harga itu juga agak tinggi dan saya fikir lebih baik untuk sewa motosikal sahaja. Kalau kita sewa motosikal, insurans komersil itu juga sudah diselesaikan jadi tidak ada masalah untuk saya," ujar Encik Shukor. 

Menurut Encik Shukor, beliau akan dapat membuat penjimatan dalam jangka panjang sekiranya beliau menyewa motosikal berbanding membeli motosikal baru. 

''

"Harga sewa satu bulan sekitar S$500, tetapi kalau beli motosikal mungkin perlu keluarkan wang sekitar S$300 sebulan. Tetapi itu belum termasuk bayaran insurans, cukai jalan raya, harga penyenggaraan, kerosakan. Kalau kita sewa motosikal, apabila kita bayar, semuanya sudah dirangkumkan jadi kita tidak perlu risau dan boleh beri tumpuan untuk kita cari rezeki."

Menurut Encik Shukor, harga sewa motosikal yang tidak terlalu mahal mendorongnya untuk menyewa sahaja. 

"Untuk saya, tidak ada nampak harga menyewa meningkat, paling tinggi pun sekitar S$600. Kalau satu hari ia bermakna harga sewa sekitar S$20. Dalam satu hari kita bekerja, memang bukan susah untuk dapatkan kembali S$20 itu," jelas Encik Shukor. 

PELANGGAN SYARIKAT THE RIDERS COLLECTIVE BERTAMBAH 20 PERATUS SEJAK APRIL

Sejak memulakan perniagaan sewa motosikal sekitar bulan April lalu, syarikat The Riders Collective sudah menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan yang ketara. 

''

Pemilik syarikat itu, Encik Randy Cheong Ming Jie berkata: "Lebih ramai orang ingin menyewa motosikal sebab harga COE sudah naik. Ramai orang tidak boleh beli motosikal sekarang dan mereka ingin sewa sebab apabila mereka sewa, mereka tidak perlu membuat bayaran pendahuluan, tidak perlu membuat pinjaman, jadi mereka hanya perlu bayar dan mereka sudah boleh menunggang motosikal itu." 

"Pada bulan April lalu harga COE adalah sekitar S$9,000. Sekarang, dengan perubahan harga COE, lebih ramai orang ingin sewa motosikal dan kita anggarkan ada sekitar 20 peratus lebih ramai pelanggan yang menyewa motosikal sejak April," tambah Encik Cheong. 

Menurut beliau lagi, sekitar 70 peratus pelanggannya merupakan golongan penghantar makanan manakala bakinya adalah golongan yang sama ada ingin mencuba dahulu motosikal yang ingin mereka beli atau memerlukan motosikal buat sementara waktu. 

Meskipun dengan harga COE yang kian meningkat, syarikat The Riders Collective memutuskan untuk tidak menaikkan harga sewa motosikal buat sementara waktu. 

Secara purata, para pelanggan boleh menyewa motosikal daripada syarikat itu pada harga serendah S$17 sehari atau sekitar S$500 sebulan. 

''

Syarikat itu bahkan menjangkakan kadar penyewaan motosikal akan terus meningkat seiring kenaikan harga COE yang mereka ramalkan boleh berlanjutan untuk dua tahun lagi. 

Memastikan harga sewa yang rendah menurut Encik Cheong, akan memastikan golongan pekerja penghantaran makanan akan kekal mampu untuk menyewa motosikal demi mencari rezeki. 

Sekiranya harga COE motosikal akan mencecah $20,000, barulah syarikat itu akan terpaksa menaikkan harga sewa antara 10 dengan 20 peratus.

MOTOSIKAL JENIS SKUTER KIAN POPULAR 

Sebuah lagi syarikat motosikal sewa yang mencatat peningkatan perniagaan adalah Vroom Leasing. 

Pemilik syarikat itu, Encik Loy Lim Ebenezer berkata: "Sejak kenaikan harga COE motosikal kian menjadi ketara, kita melihat lebih ramai orang yang mempertimbangkan untuk menyewa motosikal, tidak bermakna mereka akan menyewa motosikal. Tetapi sejak 2020 hingga sekarang, kita boleh lihat peningkatan sekitar 20 peratus dari segi jumlah pelanggan yang menyewa motosikal daripada kami." 

''

Menurut Encik Loy, lebih ramai orang menyewa motosikal jenis skuter. 

"Motosikal skuter kini banyak disewa oleh golongan penunggang muda, pekerja penghantaran makanan. Fungsinya lebih baik sebab adalah lebih banyak ruang simpanan di bawah tempat duduk," kata beliau.

Encik Loy malah melihat trend para pelanggan sanggup membayar lebih bagi menyewa motosikal skuter. 

"Memandangkan motosikal skuter ini adalah 'barang panas', kos penyenggaraan juga agak tinggi kerana lebih ramai orang yang menggunakan sesebuah motor itu." 

"Ini secara langsung membuat harga sewa menjadi lebih tinggi sedikit tetapi para pelanggan masih sanggup untuk membayar harga lebih tinggi itu, tambahan sekitar S$5 sehari untuk mendapatkan motosikal skuter," jelas Encik Loy. 

Untuk menarik lebih ramai pelanggan menyewa motosikal, syarikat itu juga menawarkan khidmat-khidmat tambahan khidmat trak tunda sekiranya motosikal yang disewa pelanggan rosak secara tiba-tiba. 

"Kita cuba untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi para pelanggan. Kita juga ingin memastikan proses penyewaan mereka senang buat mereka," kata Encik Loy. 

Khidmat-khidmat sebegitu, menurut Encik Loy, penting buat para pelanggan kerana mereka tidak ingin memikirkan tentang cara penyelesaian secara berasingan sekiranya berlaku kecemasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan