Pelanggan sambut baik label harga berwarna di gerai nasi padang, tapi mahu harga lebih jelas
Seorang pemandu sambilan, Yam Sok Chi, berkunjung ke gerai Hjh Maimunah di Parkway Parade minggu lalu.
Cawangan Hjh Maimunah di Joo Chiat. (Gambar fail: CNA/Joyee Koo)
“Ini gambaran yang sangat jelas,” kata wanita berusia 70 tahun yang makan di gerai Kopitiam itu dua hingga tiga kali seminggu. "Tidak ada yang lebih baik daripada melihat harga dan memesan mengikut harga yang anda mampu."
Menurut kenyataan media Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada akhir Julai, label harga berwarna baru-baru ini diperkenalkan di gerai nasi padang di Parkway Parade tersebut dan tidak lama lagi akan dilancarkan di sembilan gerai kecilnya.
Inisiatif itu menyusuli kerjasama serupa antara CASE dan Koufu pada bulan Mac, dengan label harga berwarna akan dilaksanakan di 77 gerai nasi ekonomi pada akhir tahun ini.
Di Koufu, label meletakkan kategori hidangan seperti makanan laut (S2.50),daging (S1.50) dan sayur-sayuran (S$1), manakala hidangan premium diletakkan harga secara individu.
Hidangan Hjh Maimunah diletakkan label berwarna dengan harga antara S$1.50 hingga S$4.50. Hidangan istimewa, seperti tahu telur dan ayam bakar, mempunyai label kelabu, dan pelanggan perlu bertanya kepada kakitangan untuk harga.
Presiden CASE, Melvin Yong, berkata pengenalan label harga bertujuan untuk meningkatkan ketelusan harga dan membantu pelanggan membuat pilihan dengan maklum sebelum mereka membuat pesanan.
Pelanggan sering meluahkan rasa tidak puas hati tentang harga yang tidak jelas di gerai-gerai seumpama itu. Dr Teo Kay Key, seorang zamil penyelidik di Institut Pengajian Dasar, berkata pelanggan jarang mengira jumlah kos semasa membuat pesanan.
“Jadi, kadang-kadang jika jumlah harga yang perlu mereka bayar tidak seperti yang dijangkakan, ia boleh membawa kepada pertikaian,” katanya.
Dengan kod warna, gerai boleh mengelakkan pertikaian dengan menunjukkan bahawa mereka tidak mengenakan harga rambang, tambahnya.
RUANG UNTUK PENAMBAHBAIKAN
Apabila Mediacorp melawat gerai Hjh Maimunah di Parkway Parade dan gerai nasi ekonomi di Koufu di Plantation Plaza minggu lalu, kebanyakan daripada 14 pelanggan yang ditemu bual menyokong inisiatif tersebut.
Di Plantation Plaza, seorang graduan berusia 23 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Lynsie berkata dia melihat kod warna apabila dia ingin berjimat.
“Kadang-kadang jika saya sangat lapar, saya hanya ingin makan apa yang saya mahu makan tanpa mengira harga, saya tidak kisah sangat tentang warna itu,” tambahnya.
Operator pengeluaran, Mdm Toh, 60 tahun, tidak menyedari label tersebut tetapi berkata idea itu "boleh tahan".
"Saya sudah tua, saya tidak tahu. Saya hanya lihat apa yang saya mahu, kemudian pesan," katanya dalam bahasa Mandarin. Beliau membelanjakan S$4.70 untuk hidangannya.
Encik Khor Jun Han, 25 tahun, yang menyelia operasi di gerai nasi campur Hong Le di Koufu Plantation Plaza, berkata maklum balas adalah positif.
"Pelanggan mengatakan harga lebih telus. Kadang-kadang apabila mereka datang, mereka mempunyai bajet dalam fikiran," katanya dalam bahasa Mandarin. Beliau menjelaskan bahawa beberapa hidangan premium tidak boleh mempunyai harga tetap kerana kos bahan boleh berbeza-beza.
Namun, ada yang merasakan sistem itu boleh lebih jelas. Di Parkway Parade, suri rumah Daria Wati berkata beliau hanya menyedari carta harga bersaiz A5 yang kecil di kaunter juruwang selepas memilih makanannya.
“Sebab pada mulanya kami tidak tahu, kemudian kami pergi ke kaunter juruwang, baru kami nampak harganya seperti (harga ini),” kata wanita berusia 49 tahun itu.
Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Encik Ching mempersoalkan mengapa harga sebenar tidak boleh ditunjukkan secara langsung pada hidangan supaya pelanggan tidak perlu merujuk kepada senarai harga.
“Jika anda letakkan harga di sana, lebih mudah,” kata pengurus logistik berusia 55 tahun itu, sambil menambah bahawa beliau tidak menyedari label berkod warna di Hjh Maimunah.
MENGAPA TIDAK DILABEL MENGIKUT HARGA?
Pekerja yang bertanggungjawab bagi operasi Hjh Maimunah, Cik Maria Didih, memberitahu Mediacorp bahawa melabel setiap daripada 50 lebih hidangan di gerai itu secara individu akan mengelirukan pelanggan. Beliau menambah bahawa hidangan mungkin mempunyai harga yang berbeza untuk bahagian yang lebih besar atau pesanan bawa pulang.
“Agak sukar bagi kami, nasi padang, kerana terdapat banyak harga. Yang terbaik sebenarnya adalah untuk kami, untuk gerai mini kami, sekurang-kurangnya kami meletakkan harga setiap hidangan dalam bentuk kod warna,” katanya.
Hidangan yang dilabelkan dengan label kelabu "tanya pelayan," seperti telur ikan asam pedas, adalah bermusim dan biasanya berharga melebihi tahap biasa, menjadikannya sukar untuk meletakkan harga tetap, tambahnya.
Hjh Maimunah merancang untuk mengumpulkan maklum balas daripada gerai Parkway Parade sebelum mengembangkan inisiatif itu ke cawangan mini yang lain. Restorannya di Joo Chiat dan Jalan Pisang, yang menawarkan lebih daripada 60 hidangan, mungkin akan mengguna pakai sistem itu kemudian.
Perniagaan nasi ekonomi dan nasi padang lain yang ditemu bual oleh Mediacorp menyuarakan kebimbangan tentang penggunaan sistem yang serupa.
Encik Terry Soh, yang bekerja di sebuah gerai nasi ekonomi di pusat makanan di Katong, berkata beliau mempunyai terlalu banyak variasi hidangan untuk meletakkanh kategori dengan mudah sebagai "daging" atau "sayur-sayuran" seperti yang dilakukan gerai Koufu.
“Pelanggan mungkin juga keliru. Jadi kami tidak menggunakan kod warna, kami hanya menyampaikan harga secara lisan,” katanya dalam bahasa Mandarin. Beliau juga membangkitkan kebimbangan tentang kebersihan dan amalan dalam melabel setiap hidangan.
Encik Mohamad Ariff Mohamad Zin, chef eksekutif rangkaian nasi padang Rumah Makan Minang, berkata sistem berkod warna adalah "idea yang baik" untuk gerai ala penjaja tetapi tidak akan diguna pakai di restorannya. Pasukannya sebaliknya menyediakan menu dengan julat harga dan pecahan pada resit.
Beliau menambah bahawa pelanggan restoran menghargai suasana, manakala pelanggan gerai mungkin mahu perkhidmatan yang lebih pantas - sesuatu yang boleh disokong oleh kod warna.
KEBERKESANAN KOD WARNA
Profesor Madya Lau Kong Cheen, ketua program pemasaran di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), berkata kod warna hanya berfungsi jika carta harga dapat dilihat dengan jelas oleh pelanggan sebelum mereka membuat pilihan.
“Kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah gerai adalah mereka memaparkan ini di kaunter juruwang selepas pelanggan memilih makanan mereka, tanpa mengetahui harga yang diwakili oleh setiap kod warna… itu menjejaskan tujuan,” katanya.
Walaupun melabel setiap item dengan harga adalah ideal, beliau menyatakan bahawa ia mungkin tidak praktikal dan tidak bersih. Label bertulis terdedah kepada minyak dan air, dan harga boleh berubah dengan kerap.
“Sejauh ini, label berkod warna cenderung paling sesuai, selamat dan menjimatkan kos untuk dilaksanakan,” katanya.
Profesor Madya Walter Theseira, seorang ahli ekonomi buruh di universiti yang sama, menambah bahawa susun atur keseluruhan dan bilangan kod warna juga mempengaruhi keberkesanan sistem tersebut.
“Saya masih berpendapat sukar untuk pelanggan sesekali memahami sistem itu, terutamanya kerana terdapat beberapa gred harga yang ditawarkan,” katanya.
Akhirnya, kerana paparan harga tidak dikawal, beliau berkata hanya usaha sukarela dari pemilik gerai—seperti yang dilakukan oleh Hjh Maimunah—dapat memperbaiki amalan pasaran.
“Jika orang ramai menerima ini dengan baik, mungkin lebih banyak gerai akan mempertimbangkannya.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.