Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggan rugi S$2.37 juta wang pendahuluan akibat 'penutupan mendadak' perniagaan

Para pengguna mengalami kerugian sekitar S$2.37 juta dalam bentuk wang pendahuluan pada 2019 akibat "penutupan perniagaan secara mendadak dan tidak dijangka", dedah Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Isnin (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan rugi S$2.37 juta wang pendahuluan akibat 'penutupan mendadak' perniagaan

Gambar hiasan seorang pengguna keluarkan wang dolar Singapura dari mesin ATM (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Apr 2020 05:03PM Dikemas Kini : 20 Apr 2020 05:07PM

SINGAPURA: Para pengguna mengalami kerugian sekitar S$2.37 juta dalam bentuk wang pendahuluan pada 2019 akibat "penutupan perniagaan secara mendadak dan tidak dijangka", dedah Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Isnin (20 Apr).

CASE menyatakan pihaknya menerima sekurang-kurangnya 427 aduan tahun lalu melibatkan pelanggan kerugian wang pendahuluan akibat perniagaan ditutup.

Sebilangan besar kerugian tersebut datang dari sektor kenderaan, kecantikan, kontraktor ubah elok, andaman, dan kelab gim.

"Walaupun perniagaan secara amnya mengambil bayaran pendahuluan daripada pengguna sebelum memberi barang dan perkhidmatan, jumlah yang dikutip oleh industri-industri ini agak besar kerana melibatkan barang mahal atau komitmen jangka panjang," jelas CASE.

Khususnya, CASE menerima 33 aduan mengenai penutupan secara tiba-tiba sekurang-kurangnya 15 peniaga kenderaan, dan/atau pemindahan hak milik kereta yang tidak menjadi.

Jumlah kerugian yang dialami oleh pengguna dalam kes-kes tersebut adalah sekitar S$1.15 juta.

KEBANYAKAN ADUAN KENDERAAN MELIBATKAN KENDERAAN JUAL SEMULA

Industri kenderaan dan kecantikan masing-masing membentuk 11.3 peratus dan 10.8 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima.

Sebanyak 42 peratus daripada 1,683 aduan mengenai industri kenderaan bermotor melibatkan barang rosak.

Dua pertiga daripada aduan mengenai barang rosak itu melibatkan kenderaan jual semula.

Di bawah undang-undang, pengguna berhak mendapatkan pembaikan atau penggantian barang yang tidak memenuhi kontrak.

"Sekiranya pembaikan atau penggantian tidak dapat dilaksanakan atau jika ia tidak dapat dilakukan dalam tempoh yang wajar dan tanpa menimbulkan kesulitan ketara kepada pengguna, beliau boleh meminta jumlah yang harus dibayar dikurangkan untuk barang yang tidak memenuhi kontrak atau membatalkan sahaja kontrak,” tambah CASE.

TAKTIK JUALAN BERI TEKANAN DALAM INDUSTRI KECANTIKAN

Sekitar sepertiga daripada 1,598 aduan daripada industri kecantikan melibatkan jurujual yang menggunakan taktik memberi tekanan ke atas pengguna.

Dalam satu kes, seorang pelanggan mengunjungi salon kecantikan untuk rawatan bulu mata pada harga promosi S$99.

Pengguna tersebut mengadu bahawa kakitangan salun itu hanya membuat sebelah alis matanya dan kemudian memaklumkan bahawa beliau diberi rawatan premium dengan harga S$2,280.

Pekerja itu kemudian didakwa memberitahu pelanggan tersebut bahawa dia tidak melakukan rawatan serupa pada alis mata yang satu lagi kecuali pelanggan tersebut membayar harga rawatan premium. Pengguna berkenaan tidak mempunyai pilihan selain membayar S$2,280 untuk rawatan premium.

Di bawah undang-undang, adalah suatu amalan yang tidak adil bagi pembekal khidmat atau barangan untuk memberi tekanan atau pengaruh yang tidak sewajarnya ke atas pelanggan dalam urus niaga. Pelanggan berhak untuk mengambil langkah jalan keluar terhadap peruncit dalam keadaan seperti itu.

S$2.6 JUTA DIPULANGKAN

CASE menerima 14,867 aduan tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 85 peratus aduan berlaku ketika pengguna diberi nasihat tentang cara mengambil langkah lanjut secara langsung dengan pihak peniaga.

Baki 15 peratus aduan difailkan dengan CASE, bermakna bahawa CASE merunding dan/atau menjadi pengantara bagi pihak pengguna.

Kira-kira 70 peratus kes yang difailkan dapat diselesaikan, dengan wang tunai dan barang gantian bernilai hampir S$2.6 juta dikembalikan kepada pelanggan.

“Kami sangat prihatin terhadap jumlah kerugian yang dialami oleh pengguna akibat penutupan perniagaan secara mendadak. Memandangkan landskap ekonomi sekarang ini dan semakin banyak perniagaan yang terjejas, masalah ini akan tetap menjadi keprihatinan mendesak bagi para pengguna,”kata presiden CASE, Lim Biow Chuan.

"Kami menggesa pengguna agar berwaspada dan berhati-hati ketika mereka membuat pembayaran pendahuluan. CASE akan melibatkan pihak berkepentingan industri dan agensi-agensi pemerintah untuk mempertimbangkan langkah-langkah khusus perlindungan bayaran pendahuluan untuk melindungi pengguna."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan