Skip to main content

Singapura

Pelanggan pasar raya bayar 5 sen setiap beg pakai buang mulai pertengahan 2023

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Mar 2022 09:05PM Dikemas Kini : 07 Mar 2022 09:11PM

SINGAPURA: Pasar-pasar raya besar dikehendaki mengenakan bayaran minimum 5 sen bagi setiap beg pakai buang yang diberi kepada para pelanggan mulai pertengahan tahun depan.

Bercakap di Parlimen petang tadi mengenainya, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu merujuk kepada para pengendali pasar raya dengan pendapatan tahunan lebih $100 juta seperti NTUC FairPrice, Sheng Siong, Prime dan Dairy Farm.

Syarikat-syarikat itu mengendalikan lebih dua pertiga daripada semua pasar raya di Singapura.

Bayaran wajib itu hanya dikenakan bagi pembelian yang dilakukan secara fizikal dan bukan menerusi wadah online.

Beg pakai buang yang digunakan untuk mengisi makanan segar serta daging dan makanan laut bagaimanapun dikecualikan daripada bayaran tersebut.

"Kami mahu rakyat tempatan menjadi sebahagian daripada peralihan Singapura ke arah sebuah negara yang lebih mesra alam. Kita perlu menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar dalam pilihan yang kita buat setiap hari. Dengan memaklumkan kos beg (pakai buang) itu kepada pelanggan tujuan mengenakan bayaran bagi beg tersebut adalah untuk mendorong orang ramai menggunakan hanya apa yang diperlukan dan bukan mengambil beg itu sesuka hati," ujar Cik Grace Fu

Bayaran itu akan dikenakan bagi semua beg pakai buang, tanpa mengira bahan yang digunakan.

Pihak berkuasa menggalakkan para pelanggan supaya membawa beg sendiri dan mengurangkan penggunaan beg pakai buang secara berlebihan.

Bagi memastikan ketelusan, semua pasar raya sedemikian juga dikehendaki menerbitkan maklumat mengenai jumlah beg yang diberikan, pendapatan yang diraih dan bagaimana ia digunakan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita