Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanggan FairPrice perlu imbas kod bar di kaunter layan diri bagi bayaran beg plastik

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan FairPrice perlu imbas kod bar di kaunter layan diri bagi bayaran beg plastik

Seorang kakitangan NTUC FairPrice menunjukkan kod bar yang boleh diimbas pelanggan di kaunter pembayaran layan diri. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Jun 2023 05:40PM Dikemas Kini : 19 Jun 2023 07:46PM
SINGAPURA: Bermula bulan depan, apabila anda berbelanja di NTUC FairPrice dan memerlukan beg plastik, jangan lupa untuk mengimbas satu kod bar yang akan ditempatkan di hadapan paparan skrin kaunter. Ini lebih-lebih lagi kalau anda menggunakan kaunter layan diri.

Kod bar itu akan menentukan tambahan caj yang perlu anda bayar kerana mengambil beg plastik pakai buang untuk mengisi barang-barang yang dibeli.

Beginilah cara NTUC FairPrice akan mengenakan bayaran bagi beg plastik bermula bulan depan.

Pelaksanaan sistem yang 'meletak kepercayaan pada pelanggan' ini dikongsi dengan Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Isnin (19 Jun) di pasar raya FairPrice HomeTeam NS Bukit Batok.

Bermula 3 Julai, semua pengendali pasar raya besar di Singapura - termasuk NTUC FairPrice - diwajibkan mengenakan bayaran tidak kurang 5 sen bagi setiap beg plastik yang diambil pelangggan.
Langkah ini demi memupuk gaya hidup mampan dalam kalangan penduduk di sini dan sekitar 400 cawangan, yang membentuk dua pertiga daripada kesemua pasar raya di Singapura, tertakluk kepada kewajiban tersebut.

FairPrice Group akan mengenakan caj 5 sen bagi setiap beg, tidak kira yang berukuran kecil atau besar, di semua cawangannnya - termasuk di kedai-kedai Cheers dan FairPrice Xpress.

Bayaran tidak akan dikenakan bagi plastik yang disediakan untuk mengisi buah-buahan atau barang pasar.

Bercakap kepada media, Dr Khor berkata: "Ini satu langkah sangat penting dalam usaha mengurangkan bahan-bahan pakai buang... sedang Singapura mengorak langkah menjadi sebuah negara sifar sisa.

"Kami berharap para pelanggan akan lebih peka terhadap jumlah beg plastik pakai buang yang diambil dan bahkan, lebih baik lagi, kalau rakyat Singapura mula membawa beg guna semula masing-masing."

Mengulas tentang bagaimana bayaran dikenakan bagi beg plastik di NTUC Fairprice, Ketua Pegawai Kemampanan Chan Tee Seng, berkata sistem yang dilaksanakan memang meletakkan kepercayaan pada para pelanggan, di mana mereka diharap akan mengimbas kod bar sekiranya mengambil beg plastik dari kaunter layan diri.
"Buat masa ini kami ingin memberi tumpuan untuk memastikan pembayaran yang lancar, tidak terlalu birokratik. Sebab itulah kami memutuskan untuk melaksanakan sistem sebegini," jelasnya.

"Jadi kami benarkan pelanggan untuk mengimbas kod bar itu sendiri. Kalau mereka mengambil lima beg plastik, mereka perlu mengimbasnya lima kali, dan kami percaya kebanyakan pelanggan, akan melakukan perkara yang betul," tambah beliau.

Kakitangan yang bertugas di kaunter-kaunter layan diri akan juga mengingatkan para pelanggan untuk mengimbas kod bar tersebut jika mereka gagal berbuat demikian.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan