Pelanggan dinasihati jangan bayar yuran keahlian, penyenggaraan kepada Global ATC
Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Selasa (9 Jun) menasihati orang ramai agar tidak membuat pembayaran kepada Global ATC Holding, yang mendakwa mewakili Asian Travel Club (ATC).

Gambar fail.
SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Selasa (9 Jun) menasihati orang ramai agar tidak membuat pembayaran kepada Global ATC Holding, yang mendakwa mewakili Asian Travel Club (ATC).
CASE menerima 69 aduan antara 1 Nov 2019 dengan 31 Mei 2020 daripada para pelanggan yang mendakwa bahawa Global ATC menuntut bayaran bagi yuran keahlian pemilikan percutian (timeshare) tertunggak atau hutang yuran penyenggaraan yang didakwa perlu dibayar kepada ATC.
"Dalam kebanyakan kes, para pelanggan menerima tuntutan pembayaran meskipun sudah menamatkan keahlian mereka secara formal," menurut CASE dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada Selasa.
Jumlah bayaran dalam invois-invois itu adalah di antara S$320 dengan S$23,800.
Beberapa pelanggan juga mengadu bahawa mereka tidak diberitahu oleh ATC atau Global ATC mengenai cara menggunakan perjanjian 'timeshare' mereka dan gagal menerima sebarang khidmat atau wang di bawah perjanjian sedemikian.
Pada 2015, CASE juga memberi amaran kepada para pengguna tentang pernyataan yang dibuat oleh pelbagai kakitangan atau ejen ATC, yang mendakwa boleh mendapatkan kembali wang yang dibayar bagi perjanjian 'timeshare' yang lalu, daripada ATC.
Kesemuanya 22 aduan diterima mengenai pengembalian wang yang dibayar untuk perjanjian 'timeshare'. Para pelanggan juga mengadu mengenai dakwaan mengelirukan, dakwaan palsu dan desakan untuk menandatangani perjanjian dengan syarikat itu.
Apabila Global ATC dihubungi pegawai CASE mengenai asas undang-undang untuk menuntut bayaran bagi pihak ATC, Global ATC menyatakan pihaknya diarahkan oleh ATC untuk menerima yuran itu.
Bagaimanapun, ia gagal mengemukakan sebarang maklumat yang menyokong dakwaan itu atau "asas undang-undang untuk menyokong dakwaannya", meskipun diminta berbuat demikian sejak Mac, menurut CASE.
Ia menyatakan bahawa ia akan memantau keadaan dengan teliti dan tidak akan "teragak-agak untuk mengambil tindakan perlu", termasuk merujuk hal itu kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).
Ia juga menggesa para pelanggan yang diminta membuat bayaran meskipun sudah menamatkan keahlian mereka secara formal. untuk mendapatkan bantuan daripada CASE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.