Skip to main content

Singapura

Pelanggan DBS tidak boleh akses khidmat perbankan digital

Para pelanggan DBS melaporkan bahawa mereka tidak boleh mengakses khidmat perbankan digital, termasuk DBS PayLah! pada Rabu (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pelanggan DBS melaporkan bahawa mereka tidak boleh mengakses khidmat perbankan digital, termasuk DBS PayLah! pada Rabu (29 Mac).

Aduan mengenai gangguan perkhidmatan itu mula meningkat sekitar pukul 8.30 pagi, menurut laman Downdetector, dengan lebih 300 laporan dibuat.

Kira-kira pukul 9.00 pagi, Mediacorp masih tidak dapat mengakses aplikasi DBS PayLah! dan khidmat digibank menerusi online dan mudah alih. Kata Kunci Sekali (OTP) juga tidak dihantar kepada nombor telefon bimbit yang dipesan.

Para pengguna aplikasi DBS meninggalkan komen pada catatan Facebook terkini bank tersebut bagi meluahkan keprihatinan bahawa mereka tidak boleh mengakses aplikasi tersebut.

Sesetengah pengguna berkata mereka perlu menggunakan aplikasi tersebut dengan segera.

"Tolong pulihkannya dengan segera," kata pengguna Facebook, Karen Boo. "Bagaimana perasaan anda jika anda pelanggan yang perlu menggunakan khidmat itu dengan segera? Ini sangat membingitkan!" katanya.

Seorang lagi pengguna, William Tan berkata: "Sebelum ini sistem anda alami gangguan besar-besaran yang menimbulkan banyak masalah dan kesulitan kepada pengguna."

Sesetengah pengguna pula berkata mereka tidak menerima sebarang OTP.

Seorang lagi pengguna berkata mereka fikir mereka "digodam" sehinggalah mereka membaca komen-komen yang ditinggalkan online.

Dalam satu catatan Facebook sekitar pukul 9.20 pagi, DBS menyatakan khidmat digitalnya tidak dapat diakses buat masa ini dan ia sedang berusaha untuk menyelesaikan isu itu dan akan memberi kemas kini sebaik sahaja khidmat itu pulih.

DBS juga memohon maaf atas kesulitan yang berlaku, sambil menambah bahawa "sistem-sistem kekal stabil dan tidak terjejas".

Mediacorp sudah pun menghubungi DBS bagi mendapatkan komen.

Khidmat perbankan digital DBS sebelum ini mengalami gangguan selama dua hari pada November 2021.

DBS ketika itu menyatakan sistemnya "kekal stabil" dan ia bukanlah sasaran serangan siber.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menganggap isu itu sebagai "satu gangguan serius" dan mengenakan keperluan modal tambahan kepada DBS.

DBS perlu memohon bagi pengganda 1.5 kali ganda kepada aset berwajaran risikonya untuk risiko operasi.

Jumlah itu adalah S$930 juta dalam modal kawal selia tambahan, menurut MAS pada Februari 2022. Jumlah itu adalah berdasarkan penyata kewangan DBS yang dilaporkan setakat 30 September 2021.

Sebagai perbandingan, ia adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah yang dikenakan bagi gangguan serupa yang dialami DBS pada 2010.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita