Skip to main content

Singapura

Pelancong Muslimah semakin membentuk landskap pelancongan global

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah pelancong wanita Muslim meningkat sebanyak 27 juta orang dalam tempoh tujuh tahun sahaja.

Tahun lalu, sekitar 90 juta Muslimah melakukan perjalanan antarabangsa berbanding 63 juta pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus.

Bahkan ia kini membentuk hampir separuh (48 peratus) golongan pelancong Muslim secara global.

Demikian menurut laporan Muslim Women in Travel 2026 yang diterbitkan Mastercard dan CrescentRating pada Isnin (18 Mei).

Laporan tersebut turut menunjukkan golongan Muslimah kini semakin memainkan peranan dalam menentukan bagaimana dan ke mana sesuatu perjalanan dirancang sama ada bagi percutian keluarga, perjalanan solo, urusan kerja mahupun pengalaman peribadi.

Trend itu turut mencerminkan bagaimana wanita Muslim kini semakin yakin meneroka ke destinasi baharu secara lebih berdikari berbanding sebelum ini.

Laporan itu juga mendapati Malaysia, Arab Saudi dan Indonesia menjadi tiga destinasi paling popular dalam kalangan pelancong wanita Muslim.

Bagi negara-negara bukan majoriti Islam pula, Jepun, Singapura dan Korea Selatan menjadi pilihan golongan tersebut.

MEDIA SOSIAL, AI BANTU BUAT PERANCANGAN PELANCONGAN

Media sosial pula kini memainkan peranan besar dalam cara golongan Muslimah merancang perjalanan mereka, malah menjadi rujukan utama bagi ramai untuk menilai sama ada sesuatu destinasi benar-benar mesra Muslim dan selamat untuk dikunjungi.

Sebanyak 68 peratus responden berkata media sosial mempengaruhi keputusan perjalanan mereka, dengan Instagram menjadi platform paling popular, diikuti YouTube dan TikTok.

Ramai yang menggunakan wadah tersebut untuk mencari cadangan makanan halal, lokasi ruang solat, tip keselamatan dan pengalaman daripada pelancong Muslim lain.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) pula semakin digunakan bagi membantu pelancong Muslim mendapatkan maklumat dengan lebih pantas dengan lokasi restoran halal, ruang solat dan penilaian tahap keselamatan sesuatu destinasi antara perkara yang sering dicari.

Naib Presiden Kanan Pusat Penyelesaian Pelanggan Mastercard Asia Tenggara, Aisha Islam, berkata perkembangan itu menunjukkan pelancongan Muslim kini tidak lagi tertumpu kepada akses dan kemudahan semata-mata.

“Pelancongan Muslim kini memasuki fasa yang semakin berkembang di mana keyakinan, keterangkuman dan tujuan perjalanan menjadi sama penting dengan akses dan kemudahan,” katanya.

KESELAMATAN DAN KESELESAAN FAKTOR UTAMA PERTIMBANGAN

Meski semakin ramai wanita Muslim meneroka dunia, laporan tersebut mendapati masih terdapat jurang dalam aspek pelancongan inklusif.

Menurut laporan itu, 60 peratus responden meletakkan faktor keselamatan dan keselesaan sebagai keutamaan ketika memilih destinasi, diikuti faktor mesra Muslim.

Ini termasuk keyakinan untuk mendapatkan makanan halal, mencari ruang solat, berpakaian sopan dan mengamalkan agama tanpa diskriminasi.

Antara kebimbangan utama termasuk isu keselamatan diri, Islamofobia, privasi serta akses kepada kemudahan asas seperti ruang solat dan makanan halal.

Laporan Trend Pelancongan Halal 2026, yang turut diterbitkan menyatakan bahawa ramai wanita Muslim mahu melancong dengan selesa tanpa perlu berasa identiti mereka dipersoalkan atau dipandang asing.

Pengarah Operasi CrescentRating, Raudha Zaini, berkata: “Pelancong Muslim kini mencari pengalaman yang lebih bermakna, inklusif dan mudah diyakini."

Dengan peningkatan jumlah pelancong Muslimah, ia seiring dengan pertumbuhan keseluruhan pelancongan Muslim global yang dijangka meningkat kepada 245 juta Muslim menjelang 2030 berbanding 186 juta tahun lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita