Skip to main content

Singapura

Pelancong kurang beli-belah, sebaliknya berbelanja lebih untuk pengalaman di SG; hasil pelancongan melebihi 2019

Para pelancong kini kurang membeli-belah, namun lebih banyak yang berbelanja untuk menjamu selera dan mendapatkan pengalaman lain, sekali gus meningkatkan jumlah hasil pelancongan melebihi paras 2019 meskipun jumlah pelancong yang datang ke negara ini lebih rendah.
Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong kurang beli-belah, sebaliknya berbelanja lebih untuk pengalaman di SG; hasil pelancongan melebihi 2019
Marina Bay Sands pada 11 September 2025. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Para pelancong kini kurang membeli-belah, namun lebih banyak yang berbelanja untuk menjamu selera dan mendapatkan pengalaman lain, sekali gus meningkatkan jumlah hasil pelancongan melebihi paras 2019 meskipun jumlah pelancong yang datang ke negara ini lebih rendah.

Satu laporan oleh Divisyen Ekonomi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dengan maklumat daripada Lembaga Pelancongan Singapura (STB), mendapati bahawa perbelanjaan setiap pelawat meningkat 24.4 peratus dari 2019 hingga 2024, melonjakkan hasil pelancongan.

“Peningkatan (hasil pelancongan) pada 2024, berbanding 2023, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam komponen perbelanjaan utama, termasuk lawatan, hiburan dan permainan ... serta penginapan,” kata para penyelidik pada Jumaat (21 Nov). “Lonjakan perbelanjaan ini disokong sebahagian besarnya oleh rangkaian acara yang kukuh (seperti konsert dan acara hiburan utama) sepanjang tahun.”

Pelancongan merupakan tunjang penting bagi ekonomi Singapura, menyumbang sekitar enam peratus kepada eksport perkhidmatan Singapura pada 2024, menurut MTI. Ia juga memainkan peranan kritikal dalam mengukuhkan ketersambungan dan reputasi Singapura.
“2019 merupakan tahun di mana pelancongan di Singapura berada pada puncaknya, apabila semua faktor seakan-akan selari sebelum COVID melanda,” kata pengarah urusan syarkat perundingan MasterConsult Services, Encik Christopher Khoo.

Pada tahun itu, Singapura menerima 19.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa dan mencatat S$27.7 bilion dalam hasil pelancongan, menurut data STB. Kedua-dua angka itu menjunam apabila pandemik bermula dan negara-negara menutup sempadan atau mengenakan syarat-syarat kuarantin yang ketat.

Tahun lalu, Singapura menerima 16.5 juta pelawat, tetapi hasil pelancongan mencecah S$29.8 bilion.

MTI menyatakan pertumbuhan kumulatif 7.6 peratus dalam hasil pelancongan disokong oleh peningkatan perbelanjaan setiap pelawat, yang melebihi kekurangan ketibaan pelawat antarabangsa pada 2024 berbanding 2019.

Para penganalisis menunjukkan bahawa inflasi mungkin menyumbang kepada kenaikan hasil pelancongan, namun menekankan bahawa peningkatan tersebut tidak berlaku secara sekata.
PERALIHAN DARIPADA BELI-BELAH

Berbanding 2019, hasil pelancongan dalam sektor makanan dan minuman (F&B) pada 2024 melonjak 71 peratus. Sebaliknya, hasil pelancongan bagi penginapan dan membeli-belah masing-masing merosot tujuh peratus dan 7.8 peratus.

Pada 2025, perbelanjaan untuk F&B, penginapan serta lawatan, hiburan dan permainan turut meningkat, mengimbangi penurunan perbelanjaan untuk membeli-belah.

“Terdapat peralihan jelas ke arah pengalaman berbanding barangan, dengan makan dan hiburan semakin menjadi tumpuan sejak tempoh pemulihan pascapandemik,” kata ketua ahli ekonomi Asia Pasifik Mastercard, Encik David Mann.

Beliau menambah bahawa trend itu semakin ketara sejak 2022, dipacu oleh kenaikan harga hotel dan makanan serta keutamaan pelawat terhadap pengalaman mendalam berbanding membeli-belah.

Beliau berkata perbelanjaan runcit mungkin lebih rendah disebabkan oleh dolar Singapura yang kukuh, dan kini menyumbang kurang daripada 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan seorang pelancong di Singapura. Ini sekitar lima mata peratusan lebih rendah berbanding perbelanjaan runcit seorang pelancong pada 2019.

Encik Khoo berkata membeli-belah di Singapura tidak lagi menjadi tarikan utama seperti 20 hingga 30 tahun dahulu dan bahawa perkara ini “tidak mengejutkan” kerana industri runcit global terpaksa menyesuaikan diri dengan dominasi pembelian secara online.

“Kita bernasib baik kerana kita telah memperluas tarikan kita lebih daripada hanya sekadar membeli-belah dengan menambah banyak ciri-ciri dan pengalaman baharu untuk memenuhi kehendak pelancong masa kini,” katanya, sambil menambah bahawa Singapura sudah memperkenalkan lebih banyak tarikan mesra keluarga dan memposisikan dirinya sebagai destinasi hijau dan mampan.

“Makanan, lawatan, hiburan dan permainan adalah pengalaman yang perlu dinikmati secara fizikal dan lazimnya menjadi aktiviti teras bagi pelawat yang mahu berriadah dan sebahagiannya juga bagi para pelawat perniagaan,” kata pengerusi kursus pengurusan pelancongan dan resort Politeknik Ngee Ann, Encik Joshua Loh.

Beliau berkata membeli-belah secara fizikal kini mungkin lebih tertumpu kepada produk tempatan yang unik, dan pengalaman semakin menjadi “pemangkin utama” untuk perjalanan seorang pelancong.

Beliau turut menarik perhatian bahawa konsert-konsert besar dan tarikan baharu seperti Rainforest Wild Asia dan Minion Land di Universal Studios Singapore menawarkan sesuatu yang dinanti-nantikan para pelawat apabila mereka datang ke Singapura.

“Seperti mana-mana destinasi, Singapura perlu sentiasa memperbaharui dirinya untuk mengekalkan daya tarikannya di mata pelawat,” kata beliau.

USAHA SG UNTUK TARIK PELANCONG YANG BERBELANJA BESAR

Laporan MTI menyatakan bahawa STB berharap untuk meningkatkan hasil pelancongan Singapura kepada antara S$47 bilion hingga S$50 bilion menjelang 2040, dengan menumpukan usaha untuk menarik “pelawat yang berbelanja besar” serta meningkatkan daya tarikan Singapura sebagai “destinasi utama bagi pelancong untuk tujuan riadah dan perniagaan”.

Agensi itu turut berusaha memanjangkan tempoh tinggal pelawat di Singapura bagi meningkatkan perbelanjaan setiap pelancong, kata pensyarah gaya hidup dan pengalaman pengguna di Politeknik Temasek, Encik Benjamin Cassim.

Peningkatan perbelanjaan juga mungkin disumbang oleh para pelawat yang datang untuk acara berasaskan hiburan seperti konsert, yang lazimnya mempunyai pendapatan yang boleh dibelanjakan yang lebih tinggi, di samping kesediaan untuk berbelanja, katanya.

Pada April 2025, Menteri Bertanggungjawab untuk Hubungan Perdagangan Grace Fu, berkata satu segmen yang perlu diberikan tumpuan oleh Singapura adalah para pelawat yang datang untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Secara purata, seorang pelawat MICE membelanjakan dua kali ganda lebih banyak berbanding pelawat yang beriadah, menjadikannya segmen yang amat bernilai bagi Singapura,” kata beliau.

Encik Cassim berkata STB perlu terus berusaha untuk meningkatkan daya tarikan Singapura.

“Pasaran pelancongan sangat berdaya saing dan kita tidak boleh berpeluk tubuh,” katanya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita