Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelancong dipenjara lapan minggu, ancam hempas pesawat sebelum berlepas dari Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong dipenjara lapan minggu, ancam hempas pesawat sebelum berlepas dari Changi

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 16 Jan 2025 08:02AM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 08:54AM

SINGAPURA: Marah kerana rancangan percutiannya terganggu, seorang pelancong mengugut sebanyak dua kali untuk menyebabkan penerbangannya terhempas ketika menunggu untuk menaiki pesawat di Lapangan Terbang Changi.

Moncrieff Marli Curtis Philip, warga Australia berusia 36 tahun, dihukum penjara selama lapan minggu pada Rabu (15 Jan) selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kata-kata ugutan untuk menimbulkan kebimbangan.

Pertuduhan kedua yang serupa dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa sebelum 20 Nov 2024, Moncrieff menaiki penerbangan Jetstar dari Perth ke Phuket, singgah di Singapura.

Menurut pendakwaraya, Moncrieff telah merancang bagi lawatan itu dan ia menelan belanja yang besar.

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan masuk ke Phuket kerana sebahagian visanya terkoyak. Dia ditempatkan dalam penerbangan ke Singapura, di mana dia juga tidak dibenarkan masuk atas sebab yang sama.

Di Lapangan Terbang Changi, pegawai imigresen membantu Moncrieff mendapatkan ubat preskripsi untuk kemurungan daripada bagasi daftar masuknya.

Dia kemudian dibawa ke bilik tahanan di pintu masuk untuk menunggu penerbangan Jetstar JQ96 bagi membawanya pulang ke Perth.

Pada kira-kira 5.40 pagi pada 20 Nov 2024, Moncrieff sedang diiringi ke penerbangan sebagai penumpang pertama yang menaiki pesawat.

Marah kerana rancangan percutiannya terganggu, dia membuat ugutan dengan berkata: "Aku mahu pesawat ini terhempas dan membunuh semua orang."

Seorang pramugari mendengarnya berkata demikian dan berasa cemas. Dia berunding dengan pengurusnya dan kapten, dan mereka memutuskan untuk mengeluarkan Moncrieff daripada penerbangan.

Mereka memeriksa tubuh Moncrieff dan bagasinya tetapi tidak menjumpai apa-apa yang membimbangkan.

Mereka kemudian menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan, yang membawanya ke kaunter ketibaan Jetstar untuk menunggu penerbangan membawanya pulang.

Semasa menunggu, Moncrieff sedang bercakap dengan teman wanitanya apabila dia berkata: "Jika mereka letak saya dalam penerbangan lain, saya akan memberitahu mereka bahawa saya akan menghempaskan pesawat itu sekali lagi."

Kata-kata ini didengari oleh seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Moncrieff berasa gelisah apabila dia berkata demikian, walaupun dia tidak meninggikan suara atau menggunakan kata-kata kesat, kata pendakwa raya.

Pegawai ICA itu bertanya kepada Moncrieff apa yang telah dia katakan untuk mengesahkannya. Moncrieff mengulangi ancaman itu.

Pegawai ICA berkenaan cuba menenangkannya, tetapi Moncrieff tetap marah dan terus meminta pegawai itu menghantarnya ke penjara sambil berkata dia mahu mati.

Pegawai itu membuat laporan polis selepas membincangkan perkara itu dengan rakan sekerjanya, dan Moncrieff ditangkap.
 

Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan