Skip to main content

Singapura

Pelancong cuba sogok S$50 setelah disaman pegawai NEA

Seorang pelancong berusia 41 tahun pada Khamis (17 Apr) didakwa kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengelak daripada disaman atas kesalahan merokok di kawasan yang tidak ditetapkan sebagai ruang merokok di Orchard Road.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong cuba sogok S$50 setelah disaman pegawai NEA

Notis yang menunjukkan para perokok hanya boleh merokok di kawasan ditetapkan di Orchard Road. (Gambar fail: CNA)

Diterbitkan : 17 Apr 2025 09:39PM Dikemas Kini : 17 Apr 2025 10:26PM
SINGAPURA: Seorang pelancong berusia 41 tahun pada Khamis (17 Apr) didakwa kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengelak daripada disaman atas kesalahan merokok di kawasan yang tidak ditetapkan sebagai ruang merokok di Orchard Road.

Huang Qiulin menghadapi tuduhan rasuah memberi suapan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Dia sedang bercuti di Singapura pada 26 Mac semasa dia merokok di luar sebuah pusat beli-belah di Orchard Road.

Kawasan itu tidak ditetapkan sebagai ruang merokok, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataan medianya.

Sejak Januari 2019, merokok telah dilarang di kawasan-kawasan awam di Orchard Road kecuali ruang merokok yang ditetapkan.

Huang dipercayai menawarkan rasuah S$50 kepada pegawai penguat kuasa NEA, Tan Tar Chuak, sebagai suapan untuk Encik Tan dan dua rakannya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Pegawai penguat kuasa itu menolak sogokan tersebut, kata CPIB.

Huang yang berasal dari China memberitahu mahkamah daerah bahawa dia akan mengaku bersalah. Dia dibebaskan dengan jaminan S$5,000 dan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 15 Mei.

Hukuman bagi kesalahan rasuah ialah hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah yang disaman kerana merokok di tempat larangan mungkin perlu membayar denda S$200. Jika sabit kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda sehingga S$1,000.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita