Skip to main content

Singapura

Pelancong China semakin berminat teroka pengalaman baharu, percutian lebih santai di SG bersama keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong China semakin berminat teroka pengalaman baharu, percutian lebih santai di SG bersama keluarga

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 12:23PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 12:24PM
SINGAPURA: Para pelawat dari China - yang cuba dipikat oleh banyak negara disebabkan oleh kedudukan kewangan dan perbelanjaan mereka - kembali ke Singapura, tetapi kumpulan pelancong yang datang berduyun-duyun dalam bas-bas sewa sudah berkurangan.

Sebaliknya, ramai daripada para pelawat dari China kini melakukan perjalanan dalam kumpulan-kumpulan lebih kecil yang lebih suka pilihan bebas dan mudah, kata para pemain industri.

Mereka juga mahukan pengalaman budaya dan memilih percutian yang lain daripada yang biasanya ditawarkan.

"Memandangkan mereka bukan pelawat kali pertama ke Singapura... Mereka sedang mencari pengalaman baharu. Tiada lagi Universal Studios, tetapi mungkin lawatan ke kawasan kejiranan, melihat kehidupan rakyat tempatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Oriental Travel & Tours, Stanley Foo .

Beliau menambah, pilihan baharu lain yang ditawarkan oleh agensinya ialah lawatan ke destinasi yang kurang dikenali seperti Pulau Ubin dan Pulau Kusu (juga dikenali sebagai Pulau Tembakul).

Didorong oleh pelawat lain yang berkongsi pengalaman mereka di platform media sosial seperti Xiaohongshu, juga dikenali sebagai Rednote atau Little Red Book, para pelawat China semakin memilih lawatan yang lebih pendek dan lebih peribadi, kata Encik Wyman Poon, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemandu Pelancong Singapura.

Dengan kira-kira 2.9 juta pelancong dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, China mengatasi Indonesia sebagai sumber utama pelawat Singapura. Singapura menyambut 3.35 juta pelawat dari China dalam tempoh yang sama pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Walaupun bilangan pelawat dari China tidak mencapai paras sebelum pandemik, mereka berada lebih lama di sini secara purata pada tahun lalu - 3.8 hari, meningkat daripada 3.04 hari pada 2019.

BERALIH DARI MEMBELI-BELAH

Sedang mereka meneroka lebih banyak aspek unik Singapura, para pelawat dari China, yang terkenal dengan berbelanja barangan mewah semasa bercuti, telah beransur-ansur beralih daripada tabiat tersebut.

“Bagi para pelawat dari China secara umumnya, pada masa lalu, ia adalah mengenai konsumerisme. Ia adalah mengenai membeli barangan berjenama. Tetapi sekarang, mereka berada di peringkat di mana mereka lebih menginginkan pengalaman,” kata Encik Poon.

Akibat pandemik dan kesan ekonominya, para pelawat dari China kini lebih berhati-hati tentang cara mereka membelanjakan wang mereka, kata Encik Benjamin Cassim, pensyarah kananSekolah Perniagaan Politeknik Temasek.

“Sebelum ini, sebahagian besar aktiviti mereka berunsurkan membeli-belah. Tetapi kini mereka sudah berkata: 'Baiklah, membeli-belah penting, tetapi bukan asas utama mengapa kami bercuti ke luar negara'. Pemacu dan motivasi agak berbeza sekarang, jadi mereka lebih berminat untuk menimba pengalaman,” tambahnya.

Ekonomi China hambar disebabkan oleh faktor-faktor seperti krisis hartanah, permintaan pengguna yang lemah dan paras hutang yang tinggi.

Sesetengah kedai, seperti label barangan mewah Nee Vintage, telah mengalami perubahan ini dalam tingkah laku para pelawat dari China. Pelawat China menyumbang kira-kira 70 peratus daripada penjualan mereka sebelum 2022, tetapi mereka kini membentuk hanya sekitar 30 peratus, kata pengurus produk dan penjualannya.

MELANCONG BERSAMA KELUARGA

Peralihan demografi pelawat China dan corak perbelanjaan mereka telah memberi kesan kepada industri hospitaliti Singapura, kata Encik William Haandrikman, Pengarah Urusan Hotel Fairmont Singapore dan Swissôtel The Stamford.

"Sejak pandemik, kami telah menyaksikan peningkatan ketara pada perjalanan keluarga dan berbilang generasi dari China," katanya, sambil menambah bahawa 15 peratus daripada tetamu hotel adalah keluarga dari China.

“Lonjakan pada perjalanan bersama keluarga ini sebahagiannya didorong oleh reputasi Singapura sebagai destinasi yang selamat dan terjamin, yang telah menjadi faktor penentu utama bagi pelancong dalam dunia pascapandemik,” tambahnya.

Ini telah membawa kepada permintaan yang semakin meningkat untuk bilik bercantum bagi keluarga, katanya.

Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pasaran China, Accor, yang menguruskan hotel, telah memperkenalkan program dengan kerjasama firma teknologi China Alibaba untuk memastikan hotelnya dilengkapi sepenuhnya untuk memenuhi keperluan para pelawat dari China.

Ini termasuk menawarkan perkhidmatan Bahasa Cina, hidangan Cina pada menu, kakitangan berbahasa Cina dan sistem pembayaran seperti Alipay.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita