Skip to main content

Singapura

Pelan transformasi industri khidmat profesional diperbaharui, cipta 3,800 pekerjaan setahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebanyak 3,800 pekerjaan tambahan bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) akan diwujudkan setiap tahun sehingga 2025 di bawah pelan induk lima tahun yang diberi suntikan baru untuk mengubah industri perkhidmatan profesional.

Peta Transformasi Industri (ITM) yang baru itu juga diharapkan dapat mengembangkan industri tersebut sebanyak tiga hingga empat peratus setiap tahun dan mencapai nilai tambah sebanyak S$27 billion menjelang 2025.

Mengumumkan pelancaran pelan induk itu di Parlimen pada Selasa (28 Feb), Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata rancangan yang dikemas kini itu akan membantu mengukuhkan peranan Singapura sebagai hab perniagaan terunggul.

"Sektor perkhidmatan profesional kami berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan perniagaan didorong oleh pendigitalan, kemampanan, pasaran baru dan pelanggan baru di Asia Tenggara," katanya semasa perbahasan
Jawatankuasa Perbekalan bagi kementerian MTI.

Industri perkhidmatan profesional terdiri daripada ibu pejabat syarikat dan pelbagai jenis syarikat yang menyediakan khidmat seperti perakaunan, pengiklanan, runding cara dan reka bentuk.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah ITM yang baru itu, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) akan terus berusaha menarik syarikat-syarikat baru untuk menubuhkan ibu pejabat global atau serantau mereka di Singapura.

EDB juga akan meyokong syarikat yang sudah berada di Singapura untuk mengubah fungsi korporat masing-masing.

Bagi syarikat yang mempunyai "mandat jelas untuk mencipta perniagaan baru", EDB akan bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk mewujudkan usaha niaga baru yang dapat "menjana saluran pendapatan baru di luar perniagaan syarikat induk," kata agensi pemerintah itu dalam satu kenyataan media berasingan.

Bagi tujuan itu, EDB akan meneruskan Program Pelancaran Korporat, yang diberi rangsangan tambahan S$20 juta pada Julai lalu untuk membantu lebih banyak syarikat dengan inovasi produk dan perkhidmatan baru.

ITM yang dikemas kini juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan syarikat khidmat profesional di Singapura.

Ia termasuk membantu syarikat lebih kecil untuk menggunakan teknologi melalui geran dan bantuan khas, membangunkan bakat dengan kepakaran dalam bidang semakin berkembang seperti kemampanan.

Ia juga akan menyokong pekerja dalam mempelajari kemahiran baru agar kekal relevan serta menempatkan mereka semula melalui skim seperti Program Penukaran Kerjaya (CCP).

Perkhidmatan profesional ITM pertama kali dilancarkan pada 2018 sebagai salah satu daripada 23 pelan induk sektor untuk memacu usaha transformasi.

Dari 2016 hingga 2021, sektor ITM mencapai tumbuhan nilai tambah sebanyak 2.9 peratus setiap tahun - "lebih sedikit" daripada prestasi ekonomi keseluruhan sebanyak 2.8 peratus setahun.

Dari segi daya penghasilan, 23 sektor itu mencapai pertumbuhan 4 peratus setahun antara 2016 dan 2021, juga mengatasi pertumbuhan daya penghasilan tahunan ekonomi keseluruhan sebanyak 3.5 peratus, kata Encik Gan.

Sementara itu, sekitar 134,000 peluang pekerjaan diwujudkan dari 2016 hingga 2021 meskipun berlakunya pandemik.

WAWASAN 2030

Para menteri juga memberikan perkembangan mengenai wawasan Ekonomi Singapura 2030 yang dibentangkan tahun lalu sebagai "wawasan kolektif" jangka panjang bagi ekonomi meliputi empat tunggak utama.

Menteri Negara MTI Alvin Tan berkata "kemajuan ketara" dibuat untuk mencapai wawasan 2030 bagi sektor pengilangan.

Diumumkan buat pertama kali pada 2021, matlamatnya ialah untuk meningkatkan nilai tambah sektor itu sebanyak 50 peratus dari 2020 hingga 2030.

Tahun lalu, sektor itu mencatat peningkatan lebih 15 peratus pada nilai tambah dari tahun 2020 dengan menerima jumlah rekod pelaburan sebanyak S$17 bilion pada aset tetap.

Projek-projek tersebut dijangkakan mencipta lebih 4,600 pekerjaan dalam lima tahun akan datang, kata Encik Tan.

Pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan industri itu untuk membangunkan lebih banyak bakat bagi memenuhi pekerjaan baru tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita