Pelan TPG Telecom untuk pisahkan operasi di S'pura mesti diluluskan IMDA
TPG Telecom untuk memisahkan operasinya di Singapura pada atau sebelum penggabungannya dengan Vodafone Hutchinson Australia yang bernilai AS$11 bilion (S$15 bilion).

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Pelan TPG Telecom untuk memisahkan operasinya di Singapura pada atau sebelum penggabungannya dengan Vodafone Hutchinson Australia yang bernilai AS$11 bilion (S$15 bilion) perlu terlebih dahulu diluluskan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Seorang jurucakap IMDA memberitahu Mediacorp dalam kiriman emel pada Khamis (30 Ogos) bahawa pihaknya maklum akan pengumuman berhubung penggabungan itu pagi tadi (30 Ogos) dan rancangan TPG untuk mengasingkan perniagaan khidmat mudah alih Singapura. Bagaimanapun, ia mesti mendapatkan keizinan IMDA sebelum penyusunan semula sedemikian boleh dilaksanakan, tambah jurucakap tersebut.
"Keutamaan IMDA adalah memastikan agar TPG Singapore mematuhi semua syarat lesen dan peraturannya, dan tiada kesan sebaliknya terhadap landskap industri Singapura yang sengit atau mencetuskan keprihatinan awam," menurut jurucakap itu.
Syarikat yang berpangkalan di Australia itu sudah berjaya menjadi syarikat telko keempat di Singapura pada Disember 2016, dan buat masa ini sedang membangunkan infrastruktur rangkaian telefon bimbit syarikatnya. Sebelum itu, ia menyatakan bahawa produk pertamanya akan disasarkan kepada warga tua.
Ini sebelum berita mengenai penggabungan bernilai berbilion dolar dengan Vodafone didedahkan, dengan kedua-dua pertubuhan itu bersiap sedia untuk bersaing dengan pesaing-pesaing utama seperti Telstra dan Optus di Australia. Perjanjian itu dijangka akan dimuktamadkan tahun depan.
Dalam satu kenyataan media berasingan, TPG menyatakan bahawa ia "kekal komited" untuk menembusi pasaran telefon bimbit Singapura dan lembaga syarikat itu berhasrat untuk memastikan TPG Telecom Singapore mempunyai dana yang mencukupi" apabila infrastruktur barunya siap kelak.
Ia menambah bahawa ujian produk mudah alihnya boleh dijangkakan pada suku keempat tahun ini.
Seorang jurucakap TPG memberitahu Mediacorp dalam satu emel bahawa perniagaan di Singapura dikendalikan oleh kumpulan tempatan yang kukuh. Namun, ia tidak pula memberikan sebarang butiran mengenai siapakah yang akan menerajuinya.
Ia menambah bahawa entiti di Singapura akan "mempunyai modal yang mencukupi untuk menjalankan rancangannya".
Namun, perinciannya tidak diberikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.