Skip to main content

Singapura

Pelan Tiga tahun ke-8 MUIS beri tumpuan pada panduan agama, pendidik dan perkhidmatan lebih cemerlang

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini mengumumkan pelan strategik tiga tahun terbarunya bagi memperkukuh kehidupan beragama masyarakat Islam menerusi Seminar Pelan Kerja MUIS bertemakan "Masyarakat Gemilang, Bersama Kita Cemerlang".

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan Tiga tahun ke-8 MUIS beri tumpuan pada  panduan agama, pendidik dan perkhidmatan lebih cemerlang

Lebih 200 pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan menghadiri seminar yang diadakan pada 7 Mei 2025 bagi membincangkan Pelan Tiga Tahun Ke-8 MUIS. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini mengumumkan pelan strategik tiga tahun terbarunya bagi memperkukuh kehidupan beragama masyarakat Islam menerusi Seminar Pelan Kerja MUIS bertemakan "Masyarakat Gemilang, Bersama Kita Cemerlang".

Lebih 200 pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan menghadiri seminar yang diadakan pada Sabtu (7 Mei) bagi membincangkan Pelan Tiga Tahun Ke-8 MUIS, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dan pembangunan strategi praktikal demi manfaat masyarakat Islam Singapura.

Pelan itu dibina berasaskan kejayaan Pelan Tiga Tahun Ke-7 yang dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2024.

Antara pencapaian utama dalam pelan terdahulu termasuk pembukaan semula masjid-masjid pasca pandemik COVID-19, penyaluran bantuan zakat yang lebih besar kepada keluarga rentan, serta peningkatan pembangunan profesional dalam kalangan asatizah menerusi pelaksanaan Garis Panduan Gaji Umum.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, menyifatkan pencapaian di bawah Pelan Tiga Tahun Ke-7 sebagai bukti komitmen berterusan MUIS untuk memperkukuh kehidupan beragama masyarakat Islam setempat.

“Pencapaian di bawah Pelan Tiga Tahun Ke-7 ini menunjukkan komitmen teguh kami dalam memperkukuh kehidupan beragama masyarakat kita, yang menjadi teras segala usaha kami. Bagi meneruskan komitmen ini dalam Pelan Tiga Tahun Ke-8 yang akan datang, kami akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama yang saling melengkapi bagi menyokong matlamat tersebut: mempertingkat panduan agama, membangunkan pendidik agama, dan menambah baik mutu perkhidmatan,” kata Encik Kadir.
Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen. (Gambar: MUIS)
Dalam usahanya untuk membangunkan para pendidik agama, MUIS akan memperkukuh keupayaan Pegawai Agama Masjid melalui pembangunan profesional secara terstruktur dalam bidang Khidmat Penjagaan Kerohanian Islam dan Kaunseling.

Langkah itu bertujuan membolehkan pegawai agama mendampingi lebih ramai individu daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia, keluarga dan warga emas.

Ia juga diharap dapat menyokong pertumbuhan rohani masyarakat yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian.

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan masjid, MUIS akan melaksanakan Rangka Kerja Kecemerlangan Masjid atau Mosque Excellence Framework.

Rangka kerja menyeluruh itu akan memperkenalkan penanda aras bagi khidmat bermutu, kecekapan operasi dan penglibatan masyarakat.

Walaupun rangka kerja itu menetapkan piawaian seragam dalam hal tadbir urus, pengurusan sumber dan penyampaian khidmat, ia tetap memberi ruang kepada setiap masjid untuk membangunkan program-program unik yang mencerminkan keperluan khusus masyarakat setempat.

Dalam pada itu, platform digital MuslimSG terus memainkan peranan penting sebagai penghubung utama bagi masyarakat Islam di Singapura, dengan mencatat lebih 25 juta tontonan aplikasi tersebut setakat tahun 2024.

Bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang, MUIS merancang untuk mempertingkat platform itu menerusi penambahbaikan menyeluruh terhadap aplikasi dan laman web MuslimSG menjelang tahun 2027.

Peningkatan tersebut akan dirangka berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat, dan dijangka menawarkan ciri serta kandungan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan pengguna dengan lebih berkesan.

PERBINCANGAN PANEL TURUT DIADAKAN

Seminar tersebut turut menampilkan sesi perbincangan panel yang menyaksikan sokongan padu daripada para pemimpin dan pihak berkepentingan terhadap hala tuju strategik MUIS.

Dalam perbincangan tersebut, para peserta mengutarakan pelbagai pandangan mengenai pendekatan inovatif dalam pendidikan Islam yang mampu menyeimbangkan tradisi dengan keperluan semasa, amalan terbaik dalam tadbir urus masjid dan komuniti, strategi memperkukuh jati diri Muslim dalam masyarakat majmuk, serta inisiatif untuk meningkatkan penglibatan bermakna golongan belia dan warga emas.

Lantaran itu, Encik Kadir menekankan kepentingan semangat kerjasama dalam usaha berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau mengiktiraf bahawa kejayaan pelaksanaan program-program yang berkesan adalah hasil usaha bersama para asatizah, pegawai masjid, sukarelawan dan pelbagai rakan kongsi.

"Dengan berganding bahu, kita dapat merangka program yang lebih baik dan membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh. Apabila kita berkhidmat dengan penuh keikhlasan, harapan kita adalah untuk terus memelihara kepercayaan masyarakat. Melalui kepercayaan ini jugalah, kita amat bersyukur apabila anggota masyarakat terus menyumbangkan masa, tenaga dan bakat mereka," kata beliau.

Menurut beliau lagi, usaha bersama itu mewujudkan satu kitaran yang positif.

Semakin kukuh kerjasama yang terjalin, semakin besar pencapaian yang dapat diraih demi membina masa depan yang inklusif, sambil terus memelihara nilai dan tradisi yang menjadi tunjang masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita