Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan Perlindungan Bersepadu rangkumi rawatan hospital bagi komplikasi vaksin COVID-19

esemua tujuh syarikat insurans yang menawarkan Pelan Perlindungan Bersepadu akan memperluaskan perlindungan untuk merangkumi kos rawatan hospital akibat komplikasi daripada vaksin COVID-19, menurut Persatuan Insurans Hayat Singapura (LIA Singapore) pada Isnin (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan Perlindungan Bersepadu rangkumi rawatan hospital bagi komplikasi vaksin COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Jan 2021 12:58PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 01:02PM

SINGAPURA: Kesemua tujuh syarikat insurans yang menawarkan Pelan Perlindungan Bersepadu akan memperluaskan perlindungan untuk merangkumi kos rawatan hospital akibat komplikasi daripada vaksin COVID-19, menurut Persatuan Insurans Hayat Singapura (LIA Singapore) pada Isnin (25 Jan).

Perlindungan ditawarkan kepada pemegang polisi Pelan Perlindungan Bersepadu yang menerima vaksin yang diluluskan Penguasa Sains Kesihatan (HSA). Perlindungan ditawarkan hingga 31 Disember tahun ini, namun LIA Singapore menambah bahawa lanjutan akan dipertimbangkan bergantung kepada perkembangan situasi.

"Usaha ini adalah bagi menyokong langkah-langkah negara untuk melindungi masyarakat dan membolehkan Singapura kembali kepada keadaan biasa," kata LIA Singapore dalam kenyataan medianya.

Presiden LIA Singapore Encik Khor Hock Seng berkata perlindungan yang diperluaskan itu akan memberi keyakinan sedang program pemvaksinan Singapura diteruskan.

“Komitmen proaktif oleh para anggota kami akan memberi warga Singapura ketenangan fikiran bahawa perlindungan akan disediakan bagi sebarang kesan buruk akibat vaksin yang menyebabkan rawatan di hospital," kata Encik Khor.

Pelan Perlindungan Bersepadu terdiri daripada dua komponen - MediShield Hayat yang dikendalikan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan komponen insurans privet tambahan yang dikendalikan syarikat-syarikat insurans. Komponen insurans privet menyediakan perlindungan bayaran bagi kos rawatan di wad A dan B1 di hospital awam serta hospital privet.

Syarikat-syarikat insurans yang menawarkan Pelan Perlindungan Bersepadu adalah: AIA, Aviva, AXA, Great Eastern Life, NTUC Income, Prudential dan Raffles Health Insurance.

Laman web Kementerian Kesihatan (MOH) menyenaraikan beberapa kesan sampingan biasa vaksin COVID-19 yang telah dilaporkan, yang serupa dengan kesan sampingan vaksin-vaksin lain. Ini termasuk rasa sakit, kemerah-merahan dan bengkak di tempat suntikan, demam, rasa menggigil, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, keletihan dan kelenjar yang bengkak.

Kesan-kesan sampingan itu biasanya hilang dalam masa tiga hari dengan rehat atau pengambilan ubat parasetamol.

Dalam kes yang sangat jarang berlaku, vaksin boleh menyebabkan alahan yang teruk, dengan gejala seperti kesukaran bernafas; bengkak pada muka, tekak, mata atau bibir; degupan jantung yang pantas; dan rasa pening, menurut laman web MOH.

Kementerian itu menasihati mereka yang mengalami gejala seperti itu untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.

MOH juga akan memperkenalkan program bantuan kewangan kecederaan vaksin dalam waktu terdekat, kata kementerian di lamannya, sambil menambah bahawa tuntutan boleh dibuat di bawah MediShield Hayat bagi komplikasi berkaitan vaksinasi.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan