Skip to main content

Singapura

Pelan peralihan kepimpinan 'kembali ikut jadual', meski ada kontroversi baru-baru ini

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan peralihan kepimpinan 'kembali ikut jadual', meski ada kontroversi baru-baru ini

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 20 Ogos 2023. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Diterbitkan : 21 Aug 2023 01:04AM Dikemas Kini : 21 Aug 2023 01:12AM
SINGAPURA: Pelan peralihan tampuk kepimpinan "kembali mengikut jadual ditetapkan" selepas pandemik COVID-19 berakhir, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (20 Ogos), sambil menambah bahawa kontroversi yang terjadi baru-baru ini tidak akan menyebabkan pembaharuan politik di sini tergendala.

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau yang ke-19, PM Lee berkata peralihan tampuk kepimpinan adalah satu "tugas penting" untuk mempersiapkan masa depan Singapura.

PM Lee berkata sebelum ini bahawa beliau merancang untuk mengundurkan diri sebelum ulang tahunnya yang ke-70, iaitu pada Februari 2022 lalu. Namun, niatnya itu terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik yang berlaku.

"Saya berjanji kepada rakyat Singapura saya akan memimpin negara mengharungi krisis ini, bersama barisan pemimpin sedia ada dan juga pasukan 4G," katanya.

"Kini COVID sudah meninggalkan kita, dan rancangan peralihan saya kembali mengikut jadual yang ditetapkan."
PM Lee sedia maklum bahawa beberapa kontroversi melibatkan Anggota Parlimen dan menteri baru-baru ini mencuri perhatian rakyat Singapura.

Insiden yang menjadi tajuk berita termasuk Menteri Pengangkutan S Iswaran ditangkap Biro Siasatan Amalan Rasuah, peletakan jawatan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan AP Cheng Li Hui kerana menjalin hubungan sulit, serta dakwaan, yang akhirnya didapati tidak berasas, bahawa dua menteri Kabinet mendapat layanan istimewa dalam penyewaan hartanah negara.

Meskipun mengakui bahawa isu-isu ini sudah beliau bahaskan di parlimen mahupun dalam amanat Hari Kebangsaan, PM Lee berkata: "Kami tangani setiap perkara yang terjadi dengan teliti dan telus.

"Izinkan saya memberi jaminan: Insiden-insiden ini tidak akan menjejas peralihan kepimpinan. Kami kembali mengikut jadual ditetapkan."
MENYOKONG PASUKAN 4G

Perdana Menteri berkata kepimpinan 4G yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong "kian menunjukkan kebolehan".

Misalnya, tema bagi ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini sama dengan tema bagi inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura, satu wacana yang diusahakan pasukan 4G untuk mengumpul maklum balas ramai.

"Lebih-lebih sekarang tugas saya ialah untuk menyokong pasukan 4G dan agenda mereka," kata PM Lee. "Saya mahu mereka mendapat permulaan yang terbaik."

"Pasukan 4G tidak lama lagi akan menggulung inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura, tetapi perjalanan mereka baru sahaja bermula. Masa depan kita di tangan mereka, (mereka) akan mendampingi anda untuk membawa Singapura ke hadapan."

PM Lee menambah bahawa beliau "sangat yakin" dengan Encik Wong dan pasukannya.

"Kami berkongsi pemahaman yang sama, iaitu kami adalah penjaga atau 'steward' Singapura, diberi tanggungjawab amat besar untuk memimpin dan menjaga negara kita ini; masa kami sebagai penjaga sementara sahaja, tetapi kami sedang membina Singapura bagi masa depan, berkhidmat dengan terbaik untuk menyerahkan Singapura yang lebih baik, lebih kukuh kepada generasi selepas kami," kata PM Lee.

"Saya dan pasukan sangat berterima kasih kerana anda terus mempercayai kami pada masa susah dan senang. Harap berikan Lawrence dan pasukannya sokongan padu anda, sekarang dan apabila mereka mengambil alih kepimpinan nanti."

PM Lee turut menyentuh tentang nilai-nilai asas Singapura.

Nenek moyang negara ini telah membina lebih daripada sekadar sebuah negara dengan bangunan pencakar langit dan ekonomi yang mantap, katanya. Mereka juga membina Singapura atas tunjang seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan beragama dan keharmonian kaum, ilitizam kukuh untuk mencapai kecemerlangan, sistem meritokrasi yang adil, serta "tekad tanpa sebarang kompromi" untuk mempunyai pemerintah yang jujur dan bersih, tegasnya.

PM Lee akur integriti dan bebas rasuah adalah "asas" buat Singapura, dan dua perkara itu menjadi landasan untuk mempunyai pemerintah yang "bersih dan berkesan", selain membawa kemajuan kepada Singapura.

Mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew "menganggap semua perkara ini sebagai perkara paling penting", katanya lagi.

Mengimbas kembali saat mendiang Lee Kuan Yew menghadiri satu sidang parlimen pada ulang tahunnya yang ke-90 pada 2013, PM Lee berkata: "Dalam keadaan sudah uzur dan sakit, Encik Lee hanya mengungkapkan beberapa perkataan. Beliau bercakap hanya tentang satu perkara.

"Beliau mengingatkan Singapura harus kekal bersih dan bebas rasuah, dan para menteri serta AP harus menjadi peran contoh. Kalau tidak, katanya, kita akan hancur."
Related article image
Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama para AP meraikan ulang tahun ke-90 mendiang Lee Kuan Yew di Parlimen pada 16 Sep 2013. (Gambar: MCI)
PM Lee berkata beliau tidak "akan melupakan kata-kata ringkas itu" dan, demi Singapura, akan "melakukan sedaya mungkin untuk terus yakin" akan harapan itu.

"Tidak kira betapa berat kesan yang ditanggung; tidak kira seberapa besar rasa malu atau kesan politik - saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sistem yang bersih," katanya. "Setiap generasi pemimpin PAP juga harus menegakkan perkara ini. Singapura bergantung kepada perkara ini."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita