Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan latihan relawan KelasMateMatika diperkukuh, dedah Dr Faishal

Latihan bagi semua relawan dan fasilitator program KelasMateMatika@CC (KMM@CC) akan diperkukuhkan lagi, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim pada Ahad (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Latihan bagi semua relawan dan fasilitator program KelasMateMatika@CC (KMM@CC) akan diperkukuhkan lagi, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim pada Ahad (15 Mac).

Menurut Dr Faishal, tujuan latihan tersebut adalah bagi meningkatkan keupayaan mereka dengan kemahiran relevan untuk mendampingi para peserta KMM dengan lebih baik.

Rancangan tersebut didedahkan Dr Faishal semasa mengunjungi satu sesi latihan di Kelab Masyarakat Tampines West bagi kohort ke-10 relawan dan fasilitator program tersebut. 11 peserta yang hadir pada sesi pada Ahad adalah kohort yang pertama untuk melalui latihan yang diperluaskan dengan modul-modul baru.

"Pada masa hadapan, kami akan melengkapi modul teras Pengalaman Pembelajaran Bermediasi atau Mediated Learning Experience (MLE) dan Konsep Matematik Awal atau Early Maths Concept dengan modul-modul baru untuk memperkukuh set kemahiran mereka dalam dua bidang yang dikenal pasti," kata Dr Faishal, dalam kenyataan media yang dikeluarkan Mendaki pada Isnin (16 Mac).

"Bidang pertama adalah pembangunan kemahiran hubungan sesama manusia agar para relawan dapat mendampingi keluarga dan memahami mereka dengan lebih baik, dan kedua adalah kemahiran pemudahcaraan bagi mengadakan sesi KMM yang lebih berkesan."

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Mendaki menjelaskan buat masa ini terdapat tiga modul teras bagi latihan para relawan dan fasilitator KMM@CC. Dua modul baru yang diumumkan Dr Faishal juga akan dilanjutkan kepada sekitar 50 relawan dan fasilitator yang sudah selesai lalui latihan sebelum ini.

90% LANGKAH KE DARJAH 1 LEBIH BERSEDIA TANGANI SUBJEK MATEMATIKS

Di acara yang sama, Dr Faishal mendedahkan lebih 90 peratus murid tadika yang menghadiri program KMM@CC pada 2018 dan 2019 dapat melangkah masuk ke Darjah 1 tahun ini dengan “keupayaan dan kesediaan mengakses mata pelajaran matematiks tahap Darjah 1”.

Menurut Mendaki, ini bermakna program itu berkesan dalam menyiapkan dan memperkukuh kemahiran asas peserta untuk memahami konsep matematik tahap Darjah 1 tanpa sokongan tambahan.

Seramai 1,350 kanak-kanak dan ibu bapa meraih manfaat daripada program KMM@CC pada 2018 dan 2019.

Dengan pengembangan program KMM@CC mulai 2020, Dr Faishal menyeru lebih ramai anggota masyarakat tampil meluangkan masa menjadi relawan dan fasilitator.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan