Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan kesihatan nasional libatkan warga emas 60 tahun dan ke atas mulai 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah pelan nasional yang memberikan kuasa kepada para doktor masyarakat memastikan kesihatan para penduduk akan bermula tahun depan.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas bakal menjadi golongan terdahulu untuk dilibatkan dalam pelan itu kerana risiko mereka mengalami penyakit kronik.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan meneliti kos ubat-ubatan yang berbeza sedang ia menggalakkan orang ramai agar berjumpa dengan doktor yang sama.

Mengorak langkah demi kesihatan dengan berjalan kaki beramai-ramai, menggerakkan otot-otot dan tubuh atau berjumpa dengan seorang doktor saja bagi kesemua keperluan perubatan.

Ia sebahagian strategi 'Healthier SG' yang disokong dua daripada tiga responden dalam tinjauan Kementerian Kesihatan (MOH).

Ramai penduduk suka jika dapat memilih doktor sendiri atas faktor-faktor seperti kemudahan, keselesaan dan mutu jagaan.

Namun, isu kos kadangkala menimbulkan keprihatinan.

"Mereka mengatakan mereka boleh berjumpa seseorang doktor dengan kerap tetapi jika mereka menghidapi penyakit kronik, mereka memerlukan ubat kolesterol atau ubat kencing manis, mereka tetap perlu ke poliklinik kerana harga ubatnya lebih murah. 

"Jadi, mereka bertanya sama ada boleh dapatkan ubat dari klinik yang mereka langgani atau berdaftar dengan," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung. 

MOH menyatakan pihaknya sedang menimbangkan langkah agar harga ubat-ubatan sedemikian setanding dengan harga di poliklinik.

Namun doktor-doktor keluarga (GP) memberitahu Mediacorp prosesnya tidak begitu mudah kerana harga ubat berbeza antara klinik.

Aspirin, misalnya, yang lazim digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, dijual pada harga antara S$7 hingga S$30 bagi bekalan sebulan. Di poliklinik, harga bagi bekalan yang sama adalah serendah S$3 meskipun tanpa subsidi pemerintah.

Perbezaannya terletak pada jumlah tempahan yang dibuat.

Menurut seorang doktor keluarga, klinik-klinik menempah jumlah ubat-ubatan yang jauh lebih kecil berbanding poliklinik dan lantaran itu, harga yang ditetapkan pihak pembekal juga berbeza.

Mentelah lagi, ubat-ubat berjenama buatan pengilang asal lebih popular meskipun ia lebih mahal.

Ubat-ubat generik mengandungi bahan-bahan yang sama dan juga berkesan, namun ia lebih murah dan dihasilkan oleh syarikat ubat-ubatan lain.

"Ini juga bermakna kita hanya boleh memberikan para pesakit jenama ubat yang ditetapkan MOH. Mereka mungkin tidak menawarkan jenama asal kepada para pesakit yang mungkin lebih cenderung kepada jenama ubat asal," kata Pengarah Chua Medical Clinic & Surgery, Dr Chua Guan Kiat. 

Saranan-saranan lain di bawah 'Healthier SG' termasuk pelan jagaan yang dirancang bersama oleh para pesakit dengan doktor masing-masing untuk memantau kesihatan di samping program-program masyarakat termasuk pendidikan dan aplikasi kesihatan.

Saranan-saranan tersebut akan dikemukakan dalam Kertas Putih yang akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen dalam minggu-minggu mendatang.

Sumber : CNA/ZM/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan