Skip to main content

Singapura

Pelan jagaan kesihatan pekerja hijrahan disemak; majikan bayar kadar lebih rendah mulai Apr 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan jagaan kesihatan pekerja hijrahan disemak; majikan bayar kadar lebih rendah mulai Apr 2027

Para pekerja binaan di tapak pembinaan Aurelle of Tampines pada 30 Jun 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 03:24PM Dikemas Kini : 07 Aug 2026 08:59PM
SINGAPURA: Sekitar 94 peratus majikan pekerja hijrahan akan membayar kadar lebih rendah bagi mendapatkan khidmat jagaan kesihatan untuk pekerja mereka apabila Pelan Penjagaan Asas (PCP) yang diwajibkan disemak mulai 1 April 2027.

Sejak 2022, majikan diwajibkan membeli PCP bagi pemegang permit kerja dan Pas S yang tinggal di dormitori atau bekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan.

Majikan kini membayar antara S$108 dengan S$138 bagi setiap pekerja setahun.

Mulai April 2027, kadar yang disemak adalah antara S$97 dengan S$113, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (6 Ogos).

Bayaran tahunan itu, yang dikenali sebagai kadar kapitasi, dibayar kepada pengendali utama bagi menyediakan khidmat kepada pekerja sepanjang tahun, termasuk pemeriksaan kesihatan, konsultasi perubatan dan rawatan.

Di bawah pelan yang disemak, sekitar 94 peratus majikan akan membayar antara S$2 dengan S$41 lebih rendah bagi setiap pekerja setahun.

Sekitar tiga peratus atau kurang sedikit daripada 500 majikan pula akan membayar tambahan S$5 bagi setiap pekerja setahun, manakala kadar bagi baki tiga peratus majikan dijangka tidak berubah.

KLINIK LEBIH DEKAT DENGAN PEKERJA

Pelan yang disemak itu juga akan menempatkan klinik dalam lingkungan dua kilometer dari tempat tinggal kebanyakan pekerja hijrahan, berbanding tiga kilometer sekarang.

Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash berkata pelan yang dipertingkat itu mencerminkan komitmen MOM untuk memastikan pekerja hijrahan mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan asas yang dimampui, mudah diakses dan terjamin.

Pada masa yang sama, kos bagi majikan dapat dikekalkan pada paras yang terkawal dan mampan.

BAYARAN BERSAMA TELEPERUBATAN NAIK

MOM menyatakan kadar lebih rendah itu dapat dilaksanakan antara lain menerusi kadar bayaran bersama baharu bagi teleperubatan serta kontrak lima tahun yang membolehkan kos diagihkan bagi tempoh lebih panjang.

Bayaran bersama bagi konsultasi teleperubatan akan dinaikkan daripada S$2 kepada S$5 mulai April 2027 bagi mengambil kira kos yang lebih tinggi.

Bayaran bersama bagi konsultasi secara fizikal di klinik pula kekal S$5.

Waktu konsultasi teleperubatan juga akan dikurangkan daripada 24 jam kepada 17 jam sehari.

Menurut MOM, tempoh itu masih dapat memenuhi 99 peratus keperluan konsultasi teleperubatan.

Waktu operasi klinik pada Ahad juga akan dipendekkan selepas didapati pekerja hijrahan jarang memerlukan konsultasi perubatan pada sebelah malam hari tersebut.

PCP bagi pekerja hijrahan dibentuk semasa pandemik COVID-19, apabila pengendali perlu menyediakan khidmat perubatan sepanjang masa.

PERUBAHAN PADA ZON JAGAAN KESIHATAN

Di bawah pelan yang disemak, enam zon geografi bagi khidmat jagaan kesihatan utama sekarang akan disatukan menjadi empat zon yang dikendalikan empat pengendali utama.

Zon utara akan dikendalikan SATA CommHealth, dengan dua pusat perubatan zon dan empat klinik rakan kongsi bagi menyediakan khidmat kepada sekitar 120,000 pekerja.

Kadarnya adalah S$113 bagi setiap pekerja setahun.

Fullerton Health pula akan mengendalikan zon barat dengan kadar S$106 setahun bagi setiap pekerja. Ia akan menyediakan satu pusat perubatan zon dan tiga klinik rakan kongsi bagi sekitar 100,000 pekerja.

Di zon selatan, Hospital St Andrew's Mission akan mengendalikan satu pusat perubatan zon dan dua klinik rakan kongsi bagi sekitar 80,000 pekerja, dengan kadar S$108 setahun bagi setiap pekerja.

Healthway Medical Group pula akan mengambil alih zon timur dan menyediakan khidmat kepada sekitar 90,000 pekerja menerusi satu pusat perubatan zon dan lapan klinik rakan kongsi.

Kadarnya sebanyak S$97 bagi setiap pekerja setahun merupakan yang terendah antara empat pengendali.

Menurut MOM, zon yang lebih besar membolehkan pengendali meraih skala ekonomi lebih besar, sekali gus membantu mengurangkan kadar.

Sistem tempahan janji temu yang dipertingkat juga akan membolehkan pekerja menempah, mengubah atau membatalkan janji temu di klinik yang ditetapkan lebih awal.

Sebuah portal PCP berpusat yang baharu juga akan diperkenalkan mulai April 2027 bagi memudahkan majikan mendaftarkan pekerja.

MOM menyatakan SATA CommHealth, Fullerton Health dan Healthway Medical Group dipilih menerusi tender terbuka.

Hospital St Andrew's Mission, sebuah pertubuhan bukan pemerintah, pula akan meneruskan kerjasama berteraskan kebajikan dengan MOM untuk mengendalikan zon selatan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita