Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan Induk Sifar Sisa pertama S'pura sasar kurangkan 30% sampah Pulau Semakau

Singapura merancang untuk mengurangkan sebanyak 30 peratus sisa setiap hari yang dihantar ke satu-satunya tapak pelupusan sampah di bawah Pelan Induk Sifar Sisa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan Induk Sifar Sisa pertama S'pura sasar kurangkan 30% sampah Pulau Semakau

Gambar fail Pulau Semakau.

Diterbitkan : 30 Aug 2019 03:38PM Dikemas Kini : 30 Aug 2019 03:42PM

SINGAPURA: Singapura merancang untuk mengurangkan sebanyak 30 peratus sisa setiap hari yang dihantar ke satu-satunya tapak pelupusan sampah di bawah Pelan Induk Sifar Sisa.

Pulau Semakau adalah tapak pelupusan sampah luar pesisir pertama di dunia yang dibina sepenuhnya dari kawasan laut. Tapak pelupusan sampah itu dibuka pada 1999 dan dijangka penuh menjelang 2035.

Dengan mengurangkan sisa yang dibuang di Pulau Semakau sebanyak 30 peratus menjelang 2030, ia akan melanjutkan tempoh hayat tapak pelupusan sampah itu menjangkaui 2035. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Dr Amy Khor pada Jumaat (30 Ogos).

Menurut kementerian itu, jumlah sisa yang dibuang di Singapura melonjak tujuh kali sepanjang 40 tahun lalu.

"Terdapat tapak yang terhad untuk membina loji pembakaran baru atau tapak pelupusan di Singapura. Mentelah lagi, pembakaran sisa, meskipun cekap dan mampu mengelakkan masalah pencemaran tapak serta laut, menghasilkan pelepasan karbon yang kemudian menyumbang kepada perubahan iklim," terang Dr Amy.

Beliau berkata Singapura perlu berusaha ke arah sebuah ekonomi mampan "yang baik untuk kedua-dua perniagaan dan sekitaran".

"Kami tidak mampu untuk menjalankan 'perniagaan seperti biasa'," katanya.

Sisa yang dibuang di Loji Pembakaran Sisa Tuas South. 

Sisa yang dibuang di Loji Pembakaran Sisa Tuas South. 

Sebagai sebahagian daripada pelan induk itu, Dr Khor juga menggariskan rangka kerja kawal selia di bawah Rang Kemampanan Sumber yang menyasarkan sisa elektronik, sisa bungkusan dan sisa makanan. Rang tersebut dijadualkan untuk bacaan kedua di Parlimen bulan depan.

PENGELUAR ELEKTRONIK BERTANGGUNGJAWAB BAGI E-SISA

Satu rangka kerja lanjutan mengenai tanggungjawab pengeluar bagi e-sisa akan dilancarkan menjelang 2021, kata Encik Lee Wei Yang, Timbalan Pengarah di Jabatan Dasar Sekitaran kementerian berkenaan.

Ini termasuk barang-barang seperti bateri, telefon, komputer, lampu, peralatan besar dan panel suria, yang meliputi sekitar 90 peratus e-sisa oleh pengguna di Singapura.

Encik Lee berkata rangka kerja tersebut akan memastikan para pengeluar bertanggungjawab atas pengumpulan dan pengitaran semula produk elektronik.

Beliau menambah pengeluar produk elektronik pengguna mesti menyertai skim tanggungjawab pengeluar manakala pengeluar produk elektronik bukan pengguna pula perlu menyediakan khidmat pulangkan semula secara percuma bagi kesemua peralatan yang sudah tamat tempoh hayatnya, atas permintaan.

Encik Lee juga berkata para peruncit juga perlu menyediakan khidmat pulangkan semula secara percuma sewaktu penghantaran produk baru. Peruncit yang lebih besar dengan ruang kedai lebih 300 meter persegi pula mesti menyediakan tempat pengambilan produk di kedai, sesuatu yang sudah menjadi perkara biasa sekarang ini.

MENUTUP LINGKARAN BUNGKUSAN

Rangka kerja lanjutan berhubung tanggungjawab pengeluar untuk sisa bungkusan juga akan dilancarkan menjelang 2025, kata Encik Lee.

Beliau menarik perhatian inisiatif Perjanjian Bungkusan Singapura secara rela sudahpun mengurangkan sisa bungkusan sebanyak 54,000 tan dan menjimatkan S$130 juta dari segi kos bahan bungkusan sejak ia dimulakan pada 2007.

Mulai 2021, ia juga akan menjadi wajib bagi penjana sisa makanan yang besar untuk mengasingkan dan merawat sisa makanan mereka.

Pemaju baru ruang komersil dan perindustrian yang besar mesti memperuntukkan dan mengetepikan ruang untuk sistem rawatan sisa makanan di lokasi. Mulai 2024, ruang sedia ada perlu melakukan perkara yang sama.

LABEL BARU BAGI TONG KITAR SEMULA

Label baru untuk tong kitar semula berwarna biru yang diletakkan di merata Singapura juga dilancarkan dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran bahan kitar semula.

Sebuah tong biru kitar semula yang diletakkan di estet perumahan HDB. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Label baru itu menyasarkan untuk menjadikan lebih jelas apa yang boleh dan tidak boleh dibuang ke dalam tong-tong tersebut. Label sedia ada akan digantikan dengan yang baru menjelang pertengahan 2020.

Semua trak kitar semula daripada pengumpul sampah awam juga akan mempunyai penampilan sama untuk membantu orang ramai mengenal pasti trak kitar semula dan membezakannya daripada kenderaan pengumpulan sampah, menurut kementerian itu.

Trak kitar semula biru 800 Super. 

Trak kitar semula biru 800 Super. 

Dr Khor berkata satu kumpulan kerja rakyat akan dilancarkan bulan depan untuk memberi tumpuan kepada cara-cara lain bagi menambah baik cara kitar semula keluarga dan mengurangkan pencemaran dalam tong kitar semula biru itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan