Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan Induk Pengangkutan 2040: 9 saranan capai sistem lebih pantas, selamat dan inklusif

Panel penasihat yang ditugaskan untuk meneliti pelan induk Pengangkutan 2040 menyerahkan sembilan saranan untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang inklusif, terhubung dengan baik dan pantas, kepada Pemerintah pada Jumaat (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Feb 2019 06:46PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 11:04PM

SINGAPURA: Panel penasihat yang ditugaskan untuk meneliti pelan induk Pengangkutan 2040 menyerahkan sembilan saranan untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang inklusif, terhubung dengan baik dan pantas, kepada Pemerintah pada Jumaat (15 Feb).

Dalam mengemukakan saranan, panel yang dipimpin Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary menimbangkan lebih 7,400 respons daripada orang awam sepanjang enam bulan lalu.

Respons-respons itu dibahagikan kepada tiga bidang utama.

PERJALANAN 20 MINIT KAWASAN KEJIRANAN, 45 MINIT TENGAH BANDAR

Di bawah bidang pertama, panel tersebut menyarankan supaya Pemerintah berusaha mengurangkan waktu perjalanan ke pusat kejiranan terdekat kepada kurang 20 minit. Perjalanan pada waktu sibuk pula disasarkan mengambil masa kurang 45 minit.

Ini, menurut panel itu, akan membantu penumpang untuk menjimatkan kira-kira 15 minit waktu perjalanan pada waktu sibuk setiap Isnin hingga Jumaat

Untuk mencapai sasaran itu, panel tersebut menyarankan tiga strategi. Pertama adalah mengutamakan sistem pengangkutan awam dengan meluaskan lagi rangkaian kereta api dan mempertingkat kelajuan bas.

Pengalaman para penumpang dari awal hingga akhir perjalanan juga boleh dipertingkat dengan adanya prasarana lebih baik bagi pejalan kaki dan penunggang basikal. Ini boleh dilakukan dengan memperuntukkan ruang di jalan raya untuk membangunkan lebih banyak Koridor Keutamaan Transit seperti di Bencoolen Street.

Koridor Keutamaan Transit adalah lorong bas dan basikal khusus di dalam kawasan pusat bandar.

Kedua, panel itu menyarankan perjalanan lebih lancar dengan mengurangkan pertukaran pengangkutan atau menyepadukan dengan lebih baik perjalanan berbilang pengangkutan menerusi teknologi.

Panel penasihat dipimpin Dr Janil Puthucheary. (Gambar: Fann Sim)

Strategi ketiga pula adalah untuk meninjau peluang-peluang bagi memperkenalkan lebih banyak pekerjaan dan kemudahan di luar kawasan bandar.

PENGANGKUTAN UNTUK SEMUA

Untuk menjadikan pengangkutan awam lebih inklusif, panel itu menyarankan supaya Pemerintah menjalankan usaha memupuk budaya baik budi dan saling prihatin dalam masyarakat serta meluaskan lagi perjalanan bebas hadangan.

Untuk melakukan demikian, panel itu menyarankan supaya para pekerja pengangkutan awam dilatih untuk mengenal pasti dan membantu mereka dengan keperluan berlainan.

Di samping itu, prasarana lebih baik seperti akses bebas hadangan bagi pengguna berkerusi roda dan mereka yang membawa kereta sorong bayi juga akan membantu golongan ini untuk lebih berdikari.

Panel tersebut turut mengusulkan llebih banyak platform seperti 'Heart Zones' dibangunkan bagi menggalak rakyat Singapura membantu para penumpang lain yang memerlukan dan mengiktiraf kelakuan baik budi.

GAYA HIDUP SIHAT, PERJALANAN LEBIH SELAMAT

Untuk menjadikan sistem pengangkutan Singapura lebih selamat, panel itu menyarankan supaya Pemerintah memperuntukkan lebih banyak ruang bagi pengangkutan awam, penggunaan masyarakat dan mobiliti aktif seperti berjalan dan mengayuh basikal.

Dengan menjadikan pengalaman kegiatan berjalan lebih selesa dan mempertingkat keterhubungan alat mobiliti aktif dengan pengangkutan awam, jalan-jalan boleh dijadikan lebih mesra pejalan kaki dan mesra pengguna alat mobiliti aktif.

Meskipun kadar kemalangan rendah, panel itu menggesa Pemerintah supaya terus menekankan tentang kepentingan keselamatan jalan raya dan menyasarkan sekitaran "Visi Sifar", dengan jumlah kematian berkaitan pengangkutan lebih rendah. Jalan raya dan laluan jalan boleh direka khas untuk mempertingkat keselamatan atau memupuk sikap lebih bertanggungjawab, menurut panel itu.

Akhir sekali, bagi mutu kehidupan lebih baik menerusi udara lebih bersih dan sekitaran lebih tenang, panel tersebut menyarankan supaya Pemerintah menggunakan sumber bahan bakar lebih bersih dan cekap tenaga bagi penggunaan bas awam.

Para pengendali khidmat kongsi pengangkutan juga boleh menimbangkan untuk menetapkan sasaran bagi kenderaan lebih mesra alam bagi teksi dan khidmat kereta sewa privet.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan