Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan Hijau 2030 manfaatkan 'pengaruh pemerintah dengan lebih konkrit'

Pelan Hijau Singapura 2030, satu gerakan seluruh negara ke arah kemampanan, bermatlamat untuk manfaatkan pengaruh pemerintah dengan "cara yang lebih konkrit" untuk mendorong tindakan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Jumaat (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan Hijau 2030 manfaatkan 'pengaruh pemerintah dengan lebih konkrit'

Bay East Garden. (Gambar: Gardens by the Bay/Facebook)

Diterbitkan : 28 Feb 2021 09:33PM Dikemas Kini : 28 Feb 2021 09:42PM

SINGAPURA: Pelan Hijau Singapura 2030, satu gerakan seluruh negara ke arah kemampanan, bermatlamat untuk manfaatkan pengaruh pemerintah dengan "cara yang lebih konkrit" untuk mendorong tindakan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Jumaat (26 Feb).

Rancangan tersebut, yang dilancarkan awal bulan ini, melakarkan sasaran hijau Singapura dalam tempoh 10 tahun akan datang dan dipimpin oleh lima kementerian, termasuk kementerian pendidikan, pembangunan nasional dan pengangkutan.

"Elemen penting dalam (pelan ini) adalah bagaimana perkhidmatan awam akan menggunakan sumbernya, menggunakan pengaruh kolektifnya untuk mewujudkan kemampanan," kata Cik Fu, yang berucap setelah siaran perdana A Wicked Problem, satu siri dokumentari perubahan iklim terbitan CNA.

Beliau bercakap dengan hos siri itu, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary.

Khususnya, salah satu contoh penggunaan sumber daya untuk memacu usaha pelestarian adalah menggunakan geran untuk "mempengaruhi pihak berkepentingan untuk bergerak" dalam bidang penyelidikan dan pengembangan (R&D), katanya.

"R&D biasanya mempunyai masa pemeraman yang sangat panjang, tetapi pada masa yang sama juga berisiko tinggi mengalami kegagalan.

"Dan di sinilah Pemerintah harus menanggung sebahagian besar pendanaan, kerana pihak korporat tidak akan mengambil risiko seperti itu," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata bahawa Pemerintah juga "dalam kedudukan untuk mempengaruhi" institusi yang dibiayainya, seperti hospital, sekolah dan universiti.

"Ini semua adalah institusi awam yang saya kira dapat memikirkan tentang kemampanan dengan cara yang lebih praktikal, dengan cara yang lebih segera.

"Jadi saya fikir dengan apa yang kita lakukan, pelan GreenGov.SG, ia memanfaatkan pengaruh pemerintah dengan cara yang lebih konkrit, dan kami berharap dapat melihat hasil yang lebih cepat, bukan untuk (30 atau 40 tahun) tetapi dalam tempoh lima, 10 tahun mendatang, " ujarnya.

APA PERANAN PERUSAHAAN?

Menyentuh pula tentang peranan korporat, seorang penonton menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat mungkin belum bersedia atau tidak yakin bagaimana ia dapat menyumbang, kerana ia merasa Pemerintah sudah melakukan secukupnya.

Dr Puthucheary bersetuju bahawa ini adalah sentimen yang kerap dibangkitkan oleh mereka yang diwawancara dalam rancangan itu.

Siri empat bahagian itu menyiasat apa yang Singapura lakukan untuk memerangi perubahan iklim, dan merangkumi topik seperti plastik, tenaga dan makanan.

Menjawab, Cik Fu berkata komen itu adalah bernas.

"(Saya) beri anda satu contoh. Selama 20 tahun lalu, dua dekad, pertumbuhan terkumpul GDP kami adalah 5 peratus tetapi CO2 kami kurang 2 peratus, yang bermaksud bahawa sebenarnya kami meningkatkan GDP kami (dengan) cara yang kurang intensif dari segi tenaga atau CO2," jelas beliau.

Cik Fu menambah bahawa kerana Singapura "tidak bermula dari tahap sifar", lebih sukar untuk membuat penambahbaikan apabila dibandingkan dengan penanda aras atau petunjuk.

Namun beliau berkata masih banyak ruang untuk syarikat terlibat dalam usaha kemampanan, terutama dalam sektor penjanaan tenaga dan pengindustrian.

(A Wicked Problem disiarkan di CNA setiap Isnin pada 9.00 malam dari 1 hingga 22 Mac.)

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa