Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan baru S$20 juta untuk perhebat program sukan, penganjuran acara besar-besaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan baru S$20 juta untuk perhebat program sukan, penganjuran acara besar-besaran

(Gambar: ActiveSG Pasir Ris Sports Centre/Facebook)

SINGAPURA: Sebanyak S$20 juta akan diperuntukkan kepada usaha untuk menyegarkan semula arena sukan di Singapura, dengan mengajak penduduk bermain sukan serta saling berhubungan dan berinteraksi.

Demikian diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Khamis (10 Mac). 

Pelan yang dipanggil 'Bring Sport Back' ('Bawa Kembali Sukan') akan memberi tumpuan kepada tiga unsur utama, kata Encik Tong semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). 

Ia bertujuan untuk memperkenalkan semula acara-acara yang melibatkan penyertaan besar-besaran dengan selamat untuk semua penduduk melalui lebih banyak acara peringkat masyarakat dan pesta sukan, katanya lagi. 

Bagi tujuan itu, SportSG akan memberi geran untuk membiayai acara-acara sedemikian sehingga S$50,000 bagi setiap permohonan yang berjaya. 

Penyertaan secara bersemuka itu ditetapkan antara 1,000 hingga 3,000 orang, bergantung kepada langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada dan akan ditambah dengan penyertaan secara maya, menurut MCCY dalam satu dokumen fakta. 

Permohonan bagi geran itu dibuka bulan ini dan diharap dapat menyokong sekitar 40 acara atau pesta tahun ini. Ia dibuka selama empat minggu, tambah MCCY. 

BENARKAN LEBIH BANYAK TURUT SERTA 

Rancangan ini juga berharap dapat memperhebatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan sukan menerusi "program  dipertingkat" dan lebih banyak kegiatan secara berkumpulan, dedah Encik Tong. 

Buat masa ini, lebih 170 kemudahan sukan sudah membenarkan semula sukan berkumpulan, melibatkan lima lawan lima, tambahnya. 

"Kami sedang berusaha untuk memulakan semula sukan berkumpulan yang lebih besar di lebih banyak kemudahan merata Singapura, kepada tahap kapasiti penuh secara beransur-ansur," kata Encik Tong. 

"Kami akan memperkenalkan lebih banyak pertandingan dan liga sukan untuk penduduk setiap peringkat usia di bawah ActiveSG. Ini termasuk pelancaran Piala ActiveSG dan Liga ActiveSG untuk sukan atletik, badminton dan kanu." 

Acara-acara baru itu akan memberi peluang kepada sekitar 22,000 peserta untuk mengambil bahagian pada 2022, tambah MCCY. 

Akademi dan kelab ActiveSG juga akan menambah kapasiti "program bermutu tinggi" untuk memperkukuhkan pembangunan sukan, integrasi sosial, kesihatan dan kesejahteraan, sekali gus menyemai nilai-nilai ini, kata Encik Tong. 

Ini termasuk program-program baru dan juga zon latihan bagi kegiatan tarian di jalanan, serta lebih banyak program untuk akademi badminton, gimnastik dan ping pong tenis meja ActiveSG, menurut MCCY. 

Program-program baru itu akan menawarkan peluang kepada sekitar 10,000 peserta, manakala akademi baru pula akan menarik penyertaan sekitar  2,500 orang.

Pelan baru itu juga bertujuan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan ruang untuk menggalakkan orang ramai kembali bersukan bersama, kata Encik Tong. 

"Kami harap langkah-langkah ini akan merangsang penduduk Singapura untuk kembali bersukan dan melakukan aktiviti-aktiviti kesihatan dengan selamat," ujar Encik Tong.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan