Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelaksanaan VEP Malaysia: Trafik lebih lancar di pusat pemeriksaan, pemandu tidak terima peringatan setakat ini

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Sejak beberapa bulan yang lalu, para pemandu di Singapura dibelenggu kegusaran menjelang pelaksanaan dasar Permit Masuk Kenderaan (VEP) Malaysia.

Namun, pada hari pelaksanaannya hari ini (1 Okt) keadaan agak tenang.

Trafik agak lengang daripada biasa di Koswe Woodlands dan para pemandu yang memasuki Johor tanpa permit berkata mereka tidak menerima sebarang peringatan daripada pihak berkuasa Malaysia.

Selain itu, para pemandu yang menerima amaran boleh meneruskan perjalanan ke Johor, menurut seorang pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia yang mengetuai operasi di Johor.

Ini kerana Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak menetapkan sebarang sekatan menghalang mana-mana pemandu daripada masuk, kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan. Mediacorp sudah menghantarkan pertanyaan kepada kementerian itu.
 

Mediacorp bertemu dengan puluhan pemandu tanpa VEP yang menuju ke Johor dari Singapura pada Selasa pagi.

Menurut mereka, pihak berkuasa Malaysia tidak mengeluarkan sebarang peringatan di Koswe. Ini walaupun JPJ mengumumkan pada 27 September bahawa pemandu tanpa VEP akan menerima peringatan apabila mereka memandu ke Malaysia mulai 1 Oktober, dan akan menerima peringatan sebelum mereka meninggalkan Malaysia.

Ridhuan Abdullah, seorang juruteknik, juga terkejut dengan trafik yang lengang di Koswe dan hanya mengambil masa 15 minit untuk melalui imigresen di kedua-dua belah pihak.

Encik Ridhuan sudah memohon bagi tag VEP bulan lalu dan permohonannya masih belum diluluskan.

“Saya tidak menerima (apa-apa peringatan) dan lalu lintas lebih lancar daripada biasa. Ada kemungkinan sesetengah pemandu (berhati-hati) dan mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat sebelum mereka memandu masuk," tambah lelaki berusia 42 tahun itu.

Permohonan tag VEP Ridhuan Abdullah masih belum diluluskan. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Menurut aplikasi "Beat the Jam", iaitu perkhidmatan yang menjejaki keadaan trafik di kedua-dua Koswe Woodlands dan Tuas Linkedua, anggaran masa untuk pemandu kenderaan merentas kedua-dua lintasan darat adalah antara 15 dengan 20 minit, jauh di bawah purata 40 hingga 50 minit, berdasarkan data dari seminggu yang lalu.

LALU LINTAS LEBIH LANCAR, PUSAT VEP TIDAK SESAK

Menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri, jumlah trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), yang dihubungkan dengan Koswe Woodlands, adalah 20 peratus lebih ringan pada pagi Selasa, lapor akhbar The Star. Beliau tidak menyatakan asas perbandingan.

Pegawai itu berkata bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada penurunan itu disebabkan oleh pelaksanaan VEP.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke mengumumkan pada Mei lalu bahawa Malaysia akan mewajibkan semua kenderaan berdaftar asing memasuki negara itu melalui darat dari Singapura menggunakan permit masuk kenderaan (VEP) mulai 1 Oktober.

VEP akan membolehkan kerajaan menjejaki kenderaan asing yang masuk atau keluar negara, dan meminta pemandu untuk melangsaikan denda tertunggak sebelum mereka dibenarkan keluar.

Kenderaan bermotor asing tanpa VEP yang memasuki atau berada di Malaysia mulai tarikh itu berdepan denda sehingga RM2,000 (S$617) atau penjara sehingga enam bulan.

Namun, ramai pemandu mengalami masalah ketika mendapatkan VEP, dan JPJ mengumumkan pada 27 September bahawa penguatkuasaan akan "dilaksanakan secara berperingkat", bermula dengan peringatan dan amaran mulai 1 Oktober.

Malaysia belum mengesahkan bila ia akan menguatkuasakan sepenuhnya syarat-syarat VEP.

Jumlah orang di pusat VEP di Johor Bahru juga lebih kecil pada pagi Selasa berbanding minggu sebelumnya.

Di pusat di Danga Bay, yang dikendalikan oleh vendor pengangkutan TCSens, terdapat sekitar 40 pemandu yang datang mengambil tag mereka atau mengemukakan soalan. Ketika Mediacorp melawat pusat itu dua minggu lalu, terdapat sekurang-kurangnya 100 orang, termasuk barisan panjang pemandu yang menunggu nombor giliran.

Salah seorang pemandu di sana pada pagi Selasa ialah Peter Soh, yang berada di sana untuk mengambil dan memasang tagnya.
Pemandu Peter Soh berasa lega kerana berjaya memperoleh VEPnya. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Encik Soh melengkapkan permohonannya dengan bantuan penyedia perkhidmatan, firma Singapura Innox Group.

Katanya, beliau beralih kepada Innox kerana pendaftaran VEP kenderaannya terikat dengan pemilik sebelumnya.

Beliau berasa lega kerana akhirnya dapat menyelesaikan proses permohonannya.

“Saya pernah membaca bahawa pemandu yang masuk mungkin akan diberi amaran tetapi mereka yang tiada VEP juga boleh datang seperti biasa. Oleh itu, saya datang dengan harapan baik," kata Encik Soh.

“Kerajaan (Malaysia) memberi kami sedikit masa untuk menyelesaikan perkara ini…daripada menguatkuasakan undang-undang,” tambahnya.
Tidak banyak kenderaan berdaftar Singapura dilihat di Akademi Pengangkutan Jalan (Wilayah Selatan) di Jalan Kebun Teh Lama pada hari pertama penguatkuasaan VEP, 1 Oktober 2024. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
“KAMI TIDAK MAHU MENAKUTKAN PEMANDU SINGAPURA”

Pegawai kanan JPJ itu menegaskan bahawa amaran akan dikeluarkan mulai Selasa kepada pemandu tanpa VEP sama ada di pusat pemeriksaan darat atau di tempat lain di Johor Bahru. Ini akan ditingkatkan secara beransur-ansur pada bulan akan datang, katanya.

“Tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu menakut-nakutkan pemandu Singapura daripada masuk. Kami berharap mereka terus berbuat demikian dan juga datang untuk memasang tag VEP mereka di pusat VEP,” tambah pegawai itu.

Sementara itu, pemandu yang sudah mempunyai tag VEP memasuki Johor tanpa rasa bimbang pada Selasa.

Salah seorang daripada mereka ialah Abdul Aziz yang sudah bersara, yang berkata beliau memasang tag itu pada 2017 apabila dasar tersebut mula-mula diumumkan dan memperbaharuinya pada 2022. Setiap pendaftaran VEP sah selama lima tahun.

"Hari ini saya masuk dan sensor mengesan tag RFID (di imigresen Gedung Sultan Iskandar) supaya saya boleh memandu melaluinya."

Beliau turut membawa bersama kad TouchNGo sekiranya sistem tol tidak mengesan tag RFID keretanya, tetapi tidak perlu menggunakannya.

“Pada 2017 ketika mereka menguji tag RFID, sistem itu akan rosak sepanjang masa... ia kini lebih baik,” katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan