Pelaksanaan semula langkah sekatan ketat COVID-19 adalah pilihan terakhir: Ong Ye Kung
Pelaksanaan semula langkah-langkah sekatan ketat COVID-19 di Singapura adalah "pilihan terakhir", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (22 Nov), sedang negara ini melonggarkan sedikit had bagi perhimpunan sosial dan kegiatan makan luar di bawah pendekatan pembukaan semula disesuaikan.
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Pelaksanaan semula langkah-langkah sekatan ketat COVID-19 di Singapura adalah "pilihan terakhir", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (22 Nov), sedang negara ini melonggarkan sedikit had bagi perhimpunan sosial dan kegiatan makan luar di bawah pendekatan pembukaan semula disesuaikan.
Encik Ong juga berkata hab pelancongan dan perjalanan antarabangsa akan terus membuka "laluan perjalanan" dengan banyak lagi negara bagi pelawat lengkap divaksin.
Singapura secara bertahap-tahap memberikan lebih kebebasan kepada sejumlah kecil penduduk lengkap divaksin, menyambung semula acara perniagaan dan membenarkan perjalanan bebas kuarantin daripada negara-negara tertentu sedang ia mempertingkatkan program dos penggalak.
"Saya rasa penting untuk melakukannya dengan cara sebegini kerana dengan cara sedemikian kita tidak perlu mengubah keputusan dengan terlalu kerap," kata Encik Ong kepada Reuters dalam wawancara pada Isnin bagi rancangan Reuters Next yang seterusnya.
"Anda tidak boleh menolak kemungkinan di mana kita kadangkala perlu mengubahnya tetapi ia haruslah sebagai ikhtiar terakhir kerana ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan bagi ramai orang."
Singapura bertukar-tukar antara melonggar dengan mengetatkan sekatan bagi penduduk seramai 5.45 juta dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana seperti negara-negara lain, ia dilanda gelombang jangkitan baru yang disebabkan oleh virus varian Delta.
Encik Ong berkata terlalu sukar untuk menetapkan tempoh bila Singapura akan mencapai "norma baru" namun beliau berharap kadar vaksinasi tinggi di Singapura dan pelaksanaan suntikan dos penggalak ketika ini bermakna ia dapat terus melonggarkan sekatan.
"Saya berharap apa saja kebebasan sekalipun yang kita laksanakan secara bertahap-tahap ia akan dapat dikembalikan semula kepada penduduk, semoga kita juga boleh mengekalkannya sehingga tahun depan meskipun gelombang jangkitan yang baru akan melanda," kata Encik Ong.
Singapura merupakan salah satu daripada beberapa negara yang dikatakan bebas COVID, yang melaksanakan langkah-langkah sekatan paling ketat di dunia bagi membendung jangkitan dan korban jiwa angkara pandemik - masing-masing sekitar 252,200 dan 662 - iaitu jumlah yang agak rendah.
Tahun ini, Singapura berubah strategi kepada langkah meneruskan kehidupan dengan virus itu sebagai endemik. Sekitar 94 peratus penduduk yang layak sudah mendapatkan vaksin sementara 23 peratus daripada keseluruhan penduduk Singapura sudah menerima dos penggalak.
Antara langkah-langkah sekatan yang dilonggarkan baru-baru ini, had bagi pergaulan sosial dan kegiatan makan di luar dilonggarkan daripada dua kepada lima orang, iaitu langkah yang masih tetap ketat berbanding dengan kebanyakan negara lain.
Pihak berkuasa juga memperketat langkah-langkah bagi individu belum divaksin dengan melarang mereka daripada makan di luar atau memasuki pusat beli-belah dan mula mengenakan bayaran rawatan COVID-19 jika mereka enggan mendapatkan vaksin mengikut pilihan.
HAB PERJALANAN
Singapura sudah memperluaskan aturan perjalanan bebas kuarantin kepada puluhan negara, termasuk Britain, Perancis, Jerman, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat melalui "laluan perjalanan" pelawat sudah divaksin atau VTL.
Laluan VTL bagi Malaysia dan India akan bermula pada hujung bulan ini. Laluan itu membenarkan pelawat lengkap divaksin untuk memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin jika mereka diuji negatif bagi COVID-19.
"Ia penting untuk kita melaksanakannya kerana sebagai sebuah negara kecil yang berorientasi ke luar, kita perlu berhubung dengan seluruh dunia," kata Encik Ong.
"Untuk masa hadapan yang dapat dijangkakan, saya rasa laluan perjalanan pelawat sudah divaksin akan menjadi satu norma."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.