Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelakon veteran Momo Latiff meninggal dunia pada usia 93 tahun

Seniwati Marfuah Bte Makarim yang lebih dikenali sebagai Momo Latiff meninggal dunia pada usia 93 tahun pada pukul 5.50 petang tadi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seniwati Marfuah Bte Makarim yang lebih dikenali sebagai Momo Latiff meninggal dunia pada usia 93 tahun di rumah anaknya di Woodlands, pada pukul 5.50 petang tadi (10 Dis).

Anak Allahyarhamha, iaitu Kamaliah Latiff, yang mengesahkan pemergian ibunya itu memberitahu BERITAMediacorp bahawa ibunya itu sebenarnya baru dibawa pulang dari Hospital Khoo Teck Puat (KPTH) ke kediamannya petang tadi. Allahyarhamha menghembuskan nafasnya yang terakhir tidak lama kemudian.

BERITAMediacorp difahamkan, bahawa penyanyi dan pelakon veteran itu meninggal dunia setelah mengalami koma akibat darah tinggi.

Cik Kamaliah, anak kelima daripada 12 anak Mak Momo, juga mengikut perjuangan ibunya sebagai seorang anak seni yang popular sebagai penyanyi pada tahun 1970-an dan 1980-an dulu.

MENINGGAL DUNIA AKIBAT DARAH TINGGI

"Dia mula berada dalam keadaan koma kerana darah tingginya terlalu tinggi, menyebabkan urat besar di bahagian otak pecah. Semalam semuanya berlaku terlalu pantas, selepas solat maghrib, dia tidak dapat mengimbangi diri ketika berdiri dan jatuh tertimpa saya, saya peluk dia," cerita Cik Kamaliah tentang saat-saat akhir lagenda bangsawan itu.

Seniwati Momo Latiff meninggal dunia pada usia 93 tahun. (Gambar: ihsan Cik Ismawati Ismail)

Allahyarhamha yang dilahirkan pada tahun 1923, merupakan seorang penyanyi dan pelakon filem Melayu era 30-an hingga 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia dan Singapura.

Antara filem lakonannya termasuk Topeng Shaitan, Musang Berjanggut dan Pendekar Bujang Lapok di mana beliau memainkan watak sebagai isteri kepada Pendekar Mustar.

Beliau turut dikenali melalui lagu-lagu dendangannya seperti Bengawan Solo, Gemala Hati dan Merpati Dua Sejoli, yang juga merupakan lagu duetnya bersama Allahyarham P. Ramlee.

ASAL USUL NAMA 'MOMO LATIFF'

Allahyarhamha mula berjinak-jinak dalam bidang seni sejak usia tujuh tahun, sebagai penghibur cilik dalam opera bangsawan pada awal 1930-an.

Beliau mendapat gelaran 'Momo' daripada seorang pemilik sarkis Rusia, yang bernama Frank Isako, yang begitu kagum dengan kebolehannya berlawak jenaka dan bernyanyi, demikian menurut buku MUSIKA, Arena Muzik Silam di Malaya (1900-1965), tulisan Azlan Said.

Bakatnya yang begitu menyerlah turut berjaya menambat hati pelbagai pihak terutama para penonton dan ia berjaya mengangkat namanya dalam persada seni pada waktu itu.

Momo Latiff dan keluarganya berpindah ke Singapura setelah menerima tawaran dari Shaw Brothers untuk berlakon sebagai heroin dalam filem Topeng Shaitan, sebelum menemui cinta hatinya dengan seorang pelakon bangsawan bernama Latiff, menurut Encik Azlan di dalam buku itu lagi.

Gambar di bawah ini merupakan antara gambar-gambar terakhir yang beliau ambil, iaitu sekitar dua minggu lalu, semasa penyanyi Julie Sudiro datang berkunjung melawat Mak Momo. Bapa Julie Sudiro, iaitu Raden Sudiro merupakan orang pertama yang memberi khabar kepada Momo Latiff, bahawa Shaw Brothers menawarkannya peranan dalam filem pada tahun 1939.

(Gambar: ihsan Cik Ismawati Ismail)

SEORANG YANG TABAH DAN MERENDAH DIRI

Dengan nada yang sebak, Cik Kamaliah memaklumkan bahawa ibunya adalah seorang yang suka merendah diri dan Cik Kamaliah berharap ciri-ciri in dapat diterapkan dalam diri anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya.

"Mak memang seorang manusia yang tabah, dia menerima apa keadaan pun dengan seadanya, selalu bersyukur," tambahnya dengan nada yang sayu.

Menurut Cik Kamaliah solat jenazah bagi lagenda bangsawan dan filem Jalan Ampas itu akan diadakan di Masjid Ahmad Ibrahim selepas solat Jumaat esok (11 Dis).

Antara rakan-rakan artis yang sudahpun datang melayat jenazah Mak Momo malam ini tadi termasuklah penyanyi Sanisah Huri, Mahani Mohamad, M Wari, Rahimah Rahim dan pelakon Jalan Ampas, Zaiton.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa