Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelakon veteran Mak Otek meninggal dunia; hilangnya bakat seni disegani

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelakon veteran Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Otek, meninggal dunia pada 5.55 petang Jumaat (3 Jun). 

Menurut anak perempuannya, Fareena Mehr Omar, Allahyarhamha, 77 tahun, menghela nafas terakhirnya di rumah dalam keadaan yang tenang.  

Jenazah beliau akan bertolak dari rumahnya ke Pusara Abadi pada 10.00 pagi ini, kata Cik Fareena semasa dihubungi BERITAmediacorp. 

Allahyarhamha ditimpa penyakit angin ahmar tahun lalu dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. 

Beliau adalah antara artis veteran yang menerima sumbangan wang tunai serta hamper Kempen Sinar Kasih Mediacorp dengan kerjasama dua pertubuhan Melayu tempatan iaitu PRIHATIN Singapore dan Perkumpulan Seni Singapura.

Gelaran Mak Otek terlekat pada Allahyarhamha setelah beliau menyinari kaca televisyen buat julung-julung kalinya dalam drama Pak Awang Temberang. 

"Singapura kehilangan seorang insan seni yang sungguh berbakat. Allahyarhamhabanyak menyumbang dalam lebih 50 tahun kepada dunia lakonan di Singapura, baik di pentas, televisyen mahupun radio.

"Beliau merupakan antara bintang tanah air yang menerangi seni lakon Melayu dengan cukup cemerlang," ungkap Presiden PRIHATIN (Penggiat Seni Melayu Singapura), Encik Joe Jasmi. 

Mak Otek yang selalu komited dan serius dalam melakukan kerjanya merupakan salah seorang pelakon drama - TV, radio dan pentas - yang disegani dan dihormati oleh para penerbit, pelakon dan mereka yang pernah terlibat dalam program bersama beliau, kata Ketua Eaglevision dan Perhubungan Komuniti Melayu, Mediacorp, Cik Sabariah Ramilan. 

"Sebarang watak yang diberikan akan dipelajarinya agar dapat dilakonkan dengan lebih berkesan," kata Cik Sabariah.
 
"Walaupun berwajah serius, Allahyarhamha Mak Otek senang diajak berbicara dan seorang peramah. Beliau tidak lokek dengan ilmu lakonan yang sering dikongsi bersama pelakon yang lebih muda," ujarnya lagi. 

Selain bergiat aktif dalam dunia lakonan, Mak Otek juga dikenali sebagai salah seorang mak andam terkenal pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an selain pernah bergiat dalam industri penyediaan makanan. 

"Pemergian Allahyarhamha ini amat menyedihkan. Semoga keluarga Allahyarhamha Hjh Zainon tabah dan reda dengan kepulangan ini.

"Bagi pihak penerbitan dan mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarhamha Hjh Zainon, saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga beliau," kata Cik Sabariah.

"Kami di PRIHATIN mendoakan agar roh Allahyarhamha dicucuri rahmat dan mengucapkan takziah kepada seisi keluarganya," tambah Encik Joe. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa