Pelajari trend sosio-budaya mainan kanak-kanak di Mint Museum of Toys sempena cuti sekolah ini
BERITAmediacorp: Memaparkan trend peralihan sosio-budaya melalui pengalaman zaman kanak-kanak.
Itulah yang ingin ditonjolkan muzium mainan terbesar di Singapura dan Asia Tenggara, 'Mint Museum of Toys' menerusi pameran terbarunya sempena musim curi sekolah ini.
Pameran 'Unbox Presents: Toy Figurines' dibuka pada 28 Mei lalu dan akan berlangsung sehingga 28 November 2022 ini.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Ia menonjolkan lebih 100 mainan watak-watak popular, termasuk 'He-Man and the Masters of the Universe', 'M.A.S.K', dan 'Transformers' hingga ke yang moden seperti 'Monster High', 'Bratz', 'L.O.L Surprise' dan 'Rainbow High'.
Menerusi pameran itu, para pengunjung berpeluang mempelajari tentang kesan-kesan pengaruh sosio-budaya dalam trend permainan kanak-kanak dahulu hingga sekarang.
"Ia adalah peluang kami untuk menggunakan 10 koleksi ini untuk mendidik orang ramai tentang pelbagai isu-isu sosio-budaya yang boleh didapatkan daripada koleksi-koleksi berbeza," kata Pengurus Perhubungan Pemasaran, Cik Anna Koh.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Pameran 'pop-up' itu menampilkan mainan dan boneka yang dikumpul dan dipulihara sepanjang lebih tiga dekad milik pengumpul mapan tanahair, Encik Jian Yang.
KETENGAHKAN ISU-ISU PENTING MENERUSI MAINAN
Menurut Cik Koh, penyebaran pesat budaya pop global melalui Internet membolehkan ramai pembuat mainan meneroka menyentuh topik-topik taboo dan isu-isu semasa.
Ini termasuk isu diskriminasi jantina dan kesaksamaan adalah topik-topik penting untuk diketengahkan kata beliau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Melalui anak patung Barbie, kami dapat mempelajari tentang kepelbagaian dan mengajar kanak-kanak perempuan tentang harga diri dan untuk menyayangi diri sendiri tanpa perlu merasa takut.
"Koleksi G.I. Joe betul-betul mengajar anda tentang norma jantina. Bagaimana kanak-kanak perempuan juga boleh bermain dengan mainan-mainan maskulin, manakala kanak-kanak lelaki juga boleh bermain dengan mainan yang kurang maskulin," jelas beliau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Muzium tersebut yang dibuka sejak 15 tahun lalu turut mempamerkan koleksi peribadi pemiliknya dari tahun-tahun 1840an hingga 1980an.
Setiap tahun, sehingga 1,000 pengunjung termasuk pelancong dan rakyat tempatan berkunjung ke muzium itu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
MAINAN SEBAGAI JENDELA KEPADA SEJARAH
Pandangan serupa turut dikongsi pengumpul mainan Encik Suhaimi Subandie, 58 tahun.
"Saya rasa generasi sekarang lebih berfikiran terbuka. Saya fikir rakyat Singapura ini mewah sikit dan ada ada kelebihan untuk hobi sebegini
Orang-orang tua juga faham sekiranya anak-anak mereka minat mengumpul mainan seperti Star Wars. Kalau dulu - 'Apa ini dah tua-tua kumpul mainan? Suka cerita mengarut?' Masyarakat sekarang sudah menerima cereka fantasi dan sains," kata Encik Suhaimi.
Koleksi Encik Suhaimi yang melebihi 3,500 mainan termasuk watak-watak berunsur budaya pop seperti 'Star Wars', 'Godzilla', 'Monsters' dan banyak lagi.
Mainan-mainan tersebut dibelinya sejak tahun-tahun 1980an dan diperolehi dari merata dunia.
Meskipun tidak cukup berkemampuan dahulu, beliau tetap mengetepikan wang demi hobinya itu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Dulu gaji saya S$280. Kalau nak beli mainan pun bajet cuma S$5 begitu kan? Mungkin sebulan beli satu atau dua mainan," kongsi Encik Suhaimi tentang pengalaman beliau bekerja dahulu.
Menurut Encik Suhaimi lagi, para penggiat boleh juga mempelajari tentang budaya popular.
"Anda boleh mengenali sejarah menerusi komik, mainan, filem dan segalanya berkaitan dengan budaya pop. Saya rasa adalah lebih mudah untuk memahami sejarah menerusi budaya pop kerana ada elemen seronok. Apabila benda itu menyeronokkan, jadi senang untuk difahami," tambah Encik Suhaimi.
PERNAH DIKUTUK KERANA HOBI
Koleksi permainan Encik Suhaimi dipamerkan di flat empat biliknya.
Sebagai pengumpul mainan, beliau akur terdapat anggota masyarakat yang berpandangan negatif tentang hobinya itu.
"Mengumpul mainan ini dapat bawa balik kenangan lama masa kita kecil dulu zaman dulu. Kita macam tidak ada kemampuan kan nak beli mainan-mainan macam ini. Jadi apabila suatu hari kita mampu, ia seperti mengembalikan semula memori indah.
"Orang-orang macam saya ini yang mengumpul, tidak menyusahkan orang. Biarkan kami sahaja. Walaupun tidak boleh faham pun, janganlah menghina," luah Encik Suhaimi.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bahkan, pembakar semangat yang senantiasa menyokong hobinya selama ini adalah isteri dan empat orang cahaya matanya.
Walau bagaimanapun, Encik Suhaimi merancang untuk 'bersara' daripada hobinya ini apabila usianya mencecah 60 tahun.
Beliau merancang untuk menjual koleksinya yang dianggarkan bernilai lebih S$250,000.
"Mainan-mainan ini sudah membuat saya gembira sepanjang 40 tahun ini, sekarang saya mahu menggunakan wang dari mainan untuk membuat orang lain bahagia khususnya keluarga saya," kata Encik Suhaimi, yang akur beliau tidak akan menjual mainan pemberian keluarga kerana nilai sentimental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.