Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajari biodiversiti hidupan laut Singapura dalam buku dwibahasa kanak-kanak AR pertama 'Pengembaraan Tim'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekali pandang, buku bergambar kanak-kanak, berjudul "Pengembaraan Tim" kelihatan seperti buku cerita biasa sahaja.

Namun, watak-watak dalam bukunya ini sebenarnya boleh "hidup semula" dan kelihatan seolah-olah berenang di depan si pembaca jika dibaca menerusi aplikasi 'Artivive' pada telefon bijak. 

Para pembaca hanya perlu memuat naik aplikasi 'Artivive' tersebut di telefon bijak mereka. 

Ini merupakan keistimewaan buku dwibahasa Melayu dan Inggeris pertama yang menggunakan kaedah Realiti Terimbuh (AR). 

Encik Rhaimie Wahap (tengah) dan Encik Rizal Wahap (kanan) bersama Pengasas Bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat. 

Ia dihasilkan oleh sepasang adik-beradik Rhaimie Wahap, penulis buku itu dan Rizal Wahap yang bertanggungjawab menghasilkan ilustrasi, animasi dan AR bagi buku tersebut.  

"Buku biasa anda hanya perlu membaca dan kemudian anda selesai membaca. Tetapi bagi buku AR ini, ada banyak ruang lagi untuk ibu bapa atau pendidik berinteraksi dengan kanak-kanak," kongsi Encik Rhaimie. 

"Mereka boleh menggunakan realiti terimbuh (AR) ini untuk merangsangkan kanak-kanak menjadi lebih suka dengan buku cerita terutama sekali dengan adanya animasi. Ia akan menjadi seronok buat mereka," tambahnya lagi.
 
DAPAT KEMBARA DAN TEROKA KEKAYAAN BIODIVERSITI MENERUSI WATAK PENYU KARAH 

Menerusi watak penyu karah bernama Tim, para pembaca dibawa mengembara dan meneroka kekayaan biodiversiti kehidupan laut dari Pulau Subar Laut dan Pulau Subar Darat. 

Di pulau itulah sebuah pusat penetasan telur penyu pertama dibangunkan sebagai usaha pemuliharaan spesis penyu karah yang jarang ditemui. 

Kerencaman hidupan laut yang ada di negara ini jarang dipaparkan dalam buku kanak-kanak yang diterbitkan di negara ini, lantas menjadi ilham bagi Encik Rhaimie Wahap.

Selain ciri-ciri realiti terimbuh, terdapat juga video animasi, buku kegiatan dan lagu tema bagi memperkaya pengalaman si pembaca cilik. 

Berjudul “Nama Saya Tim”, lagu tema yang digubah oleh Encik Rhaimie boleh dinyanyikan oleh kanak-kanak sebelum atau selepas membaca buku tersebut. 

PERKAYA PENGALAMAN MEMBACA

Menurut penerbit buku, Ungu Pen, kaedah baru yang menggunakan teknologi ini amat penting demi menggalak budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak Melayu. 

"Kanak-kanak sekarang memang susah sedikit untuk mengenal Bahasa Melayu. Penyampaian cerita itu lantas harus menarik perhatian mereka," kongsi Pengasas Bersama Ungu Pen, Maria Mahat.

Beliau menambah bahawa kanak-kanak mudah tertarik sekiranya ada penggunaan visual bergerak, muzik dan bunyi. 

"Jadi kita harus cuba menggunakan teknologi sebaik mungkin supaya kita dapat menggalak budaya membaca dalam kalangan anak-anak kita," ujar Cik Maria.

Dengan teks dwibahasa yang disertakan dengan sebutan dalam Bahasa Melayu dalam kaedah bercerita menggunakan AR itu, Cik Maria menambah bahawa kaedah itu akan memudahkan lagi kanak-kanak mengenali kosa kata. 

Sebanyak 2000 buku ini sudah diedarkan di beberapa prasekolah.  

PENTING UNTUK MEMELIHARA BAHASA IBUNDA DAN PUPUK BUDAYA MEMBACA BUKU 

Penerbitan buku ini turut mendapat sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB).

(Gambar: Desmond Lee/Facebook)

Di majlis pelancaran buku itu baru-baru ini, Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee menekankan lagi tentang pentingnya memelihara Bahasa Ibunda dan memupuk budaya membaca buku.  

"Ia adalah amat penting untuk terus berjuang bagi memastikan buku sentiasa hidup, untuk memastikan kesusasteraan terus kukuh, dan memastikan kesusasteraan dalam Bahasa Ibunda sentiasa ada dan teguh," ucap beliau. 

"Ini kerana Bahasa Ibunda adalah kaitan kuat kepada budaya kita, asal-usul kita, nilai-nilai kita, sejarah kita dan memperkukuh identiti kita sebagai rakyat Singapura," tambah beliau lagi. 

Selain itu, Encik Lee juga menarik perhatian bahawa peranan buku seperti ini dianggap "penting" dalam membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembaca muda tentang kepentingan memulihara hidupan laut di Singapura. 

"Biodiversiti laut kita yang kaya ini adalah satu perkara yang membuat Singapura istimewa dan semua orang ada peranan yang penting untuk memulihara hidupan laut ini," ujar Encik Lee. 

"Mari kita sama-sama bekerjasama untuk membuat Singapura bandar kita dalam alam semulajadi agar anak-anak kita boleh hidup dengan gembira di samping hidupan liar tempatan bagi tahun-tahun yang akan datang," seru Encik Lee. 

Buku-buku yang baru dilancarkan (24 Dis) boleh dipinjam di semua cawangan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) atau dibeli menerusi laman Ungu Pen pada harga S$18. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan