Skip to main content

Singapura

Pelajaran CCE berhubung konflik Israel-Hamas akan terus disesuaikan ikut usia berbeza, lebih banyak sokongan untuk guru: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Mar 2024 02:15PM Dikemas Kini : 04 Mar 2024 09:01PM
SINGAPURA: Pelajaran mengenai konflik Israel-Hamas dalam kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) akan terus disesuaikan bagi pelajar dari kumpulan usia berbeza. Para guru pula akan menerima lebih banyak sokongan.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (4 Mac).

Bagi pelajar lebih muda, bahan pembelajaran akan diringkaskan lagi, dengan tumpuannya untuk memupuk rasa belas ihsan kepada nasib mangsa yang tidak bersalah, kata Encik Chan di Parlimen.

Ini akan mengajar mereka bagaimana untuk menzahirkan rasa simpati dan menunjukkan empati terhadap orang lain dan bagaimana untuk menangani emosi mereka berkait konflik tersebut, tambah beliau.

Para pelajar lebih dewasa pula akan diajar cara menilai sumber-sumber maklumat yang berbeza.

Bagi "kebanyakan pelajar lebih matang", bahan-bahan pembelajaran akan dikemas kini berdasarkan peristiwa terkini untuk membantu mereka memahami dengan lebih baik kepentingan negara.

Misalnya, bahan-bahan itu akan mengupas respons Singapura terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, yang mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan negaranya.

"Namun respons ketenteraaan Israel sudah melampaui batas. Keadaan dahsyat di Gaza memerlukan gencatan senjata kemanusiaan untuk meringakan kesengsaraan mangsa dalam kalangan orang awam dan membolehkan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada mereka," kata Encik Chan, mengulangi pendirian Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen minggu lalu.

Sekolah-sekolah juga akan menjelaskan "pendirian berprinsip Singapura berhubung isu Israel-Palestin" sejak berdekad lamanya, menurut Encik Chan.

Ini akan meliputi bagaimana Singapura mengundi menyokong ketetapan yang menggesa bagi gencatan senjata segera di pperingkat antarabangsa, dan bagaimana negara ini menyumbang kepada usaha membangunkan keupayaan Penguasa Palestin.

Bahan-bahan bagi pelajar lebih dewasa juga akan menangani bagaimana Singapura akan terus memainkan peranannya untuk memajukan usaha-usaha antarabangsa untuk mencapai huraian dua negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami tentu sekali akan menyampaikan kepelbagaian pandangan daripada masyarakat kita dalam bahan pembelajaran, dan ini adalah objektif utama pembelajaran untuk pelajar kita memahami bagaimana untuk menguruskan perbezaan dan kerencaman dengan cara saling menghormati dan bersikap sensitif," kata Encik Chan.

"Untuk mencapainya, kami juga akan menyediakan bahan pembelajaran dalam bentuk yang dapat mengelak bahagian-bahagian tertentu daripada diambil di luar konteks."

Encik Chan menekankan bahawa pembelajaran itu bukan bertujuan untuk mengajar pelajar mengenai sejarah Israel dan Palestin atau politik di Timur Tengah.

"Mustahil untuk melakukan demikian dalam sesi pembelajaran sejam sahaja, dan dari awalnya memang bukan tujuan kami untuk melakukan demikian," tambah beliau.

Ini adalah kali kedua Menteri Pendidikan itu memberi respons terhadap itu tersebut setelah timbul keprihatinan online pada bulan lalu mengenai apa yang diajarkan di sekolah mengenai konflik di Gaza.

SOKONGAN UNTUK GURU

Para guru akan dilengkapi dengan lebih baik lagi untuk berbincang dengan pelajar mereka semasa CCE, kata Encik Chan.

MOE akan menganjurkan bengkel-bengkel CCE tambahan untuk guru yang memerlukan lebih banyak sokongan, untuk mereka membincangkan perancangan pembelajaran dengan para pakar dan guru berpengalaman, tambah Encik Chan.

"Individu rujukan" juga akan membantu dalam sesi bengkel tersebut, ujar Encik Chan, sambil menarik perhatian bahawa ia adalah sokongan tambahan kepada persiapan yang dibuat golongan guru di sekolah masing-masing.

Memandangkan latar belakang dan pengalaman meluas para guru, sesetengah sekolah sudah menempatkan guru mereka dalam pasukan untuk mengajar CCE, tambah beliau.

Untuk guru yang masih tidak selesa untuk mengajar CCE dan meminta dikecualikan, pihak sekolah menyokong permintaan mereka, kata Encik Chan.
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita