Pelajar Yale-NUS positif COVID-19, satu blok asrama ditutup
Seorang pelajar di Maktab Yale-NUS diuji positif COVID-19. Sehubungan itu, TODAY difahamkan bahawa asrama pelajar di mana beliau tinggal ditutup selama seminggu.
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Seorang pelajar di Maktab Yale-NUS diuji positif COVID-19. Sehubungan itu, TODAY difahamkan bahawa asrama pelajar di mana beliau tinggal ditutup selama seminggu.
Menurut dua emel dari dekan pelajar Yale-NUS, Dave Stanfield pada hari Jumaat (30 April) yang dihantar ke sekolah dan penghuni blok asrama yang terjejas, pelajar berkenaan mengalami gejala seperti demam selesema pada 26 April. Beliau menjalani ujian swab pada 28 April dan diuji positif keesokan harinya pada 29 April.
Usaha mengesan kontak rapat sedang dilakukan, dan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di-tempat-tempat dikunjungi pelajar berkenaan telah selesai dijalankan, menurut emel tersebut.
TODAY telah mengesahkan kesahihan kedua-dua emel tersebut dan menghubungi Yale-NUS untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pelajar itu juga merupakan penghuni di Cendana College, salah satu daripada tiga maktab Yale-NUS, dengan dua yang lain adalah Saga dan Elm College. Menurut emel tersebut, pelajar itu kini berada di sebuah "kemudahan perubatan".
Emel yang dilihat oleh TODAY mengatakan: “Kami meminta semua penghuni di Menara A Cendana College untuk mengasingkan diri di dalam bilik mereka selama tujuh hari hingga 12 tengah malam 7 Mei, dan mematuhi peraturan pengasingan diri yang telah dikongsi dengan mereka."
Pelajar yang terjejas diberi cuti ketidakhadiran, menurut arahan yang diberikan kepada penghuni di menara asrama yang terjejas.
Mereka yang tinggal di kampus harus mengasingkan diri di bilik mereka sementara mereka yang berada di rumah, tetapi telah mengunjungi Menara A Cendana antara 24 dan 29 April boleh menjalani kuarantin di rumah.
Mereka juga boleh memilih untuk kembali ke asrama untuk menjalani kuarantin di sana jika mereka mempunyai orang yang mudah terjejas jangkitan di rumah.
Pelajar yang sedang menjalani kuarantin boleh meninggalkan bilik mereka sebentar hanya untuk kegiatan penting seperti mencuci pakaian dan menerima pesanan makanan dari khidmat penghantaran makanan. Makanan dari dewan makan juga akan dihantar ke bilik mereka.
Pejabat pelajar memberitahu pelajar supaya menghadiri peperiksaan secara online dan memaklumkan kepada pensyarah dan profesor mereka jika mereka mempunyai kelas, tugas kerja bagi program perantisan, atau projek penyelidikan.
Para pelajar dimaklumkan bahawa tindakan disiplin akan diambil ke atas sebarang pelanggaran peraturan ini termasuk dibatalkan penginapan mereka di kampus, digantung atau dibuang dari maktab.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.