Skip to main content

Singapura

Pelajar tidak dilarang masuk sekolah jika tiada app, hilang atau lupa token TraceTogether

Pelajar tidak dilarang masuk sekolah jika tiada app, hilang atau lupa token TraceTogether.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar tidak dilarang masuk sekolah jika tiada app, hilang atau lupa token TraceTogether

Token TraceTogether. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 22 Apr 2021 02:52PM Dikemas Kini : 22 Apr 2021 03:16PM

SINGAPURA: Para pelajar tidak akan dilarang daripada memasuki sekolah sekiranya mereka tidak mempunyai aplikasi TraceTogether atau terlupa atau hilang token TraceTogether mereka.

Demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (22 Apr).

Namun para pelajar perlu ingat untuk membawa token atau aplikasi berkenaan jika mereka terlibat dalam kegiatan luar darjah di lokasi-lokasi yang memerlukan SafeEntry menggunakan hanya aplikasi atau token TraceTogether bagi memastikan mereka dapat menyertai kegiatan-kegiatan tersebut.

Dalam kemas kininya kepada senarai soalan yang sering ditanya (FAQ) di lamannya, MOH menyatakan sekolah-sekolah "lazimnya selamat" dengan semua langkah pengurusan selamat sedia ada dilaksanakan.

Dengan pelaksanaan SafeEntry yang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja di merata negara mulai 1 Jun, para pelajar "sangat digalakkan" untuk menggunakan aplikasi atau membawa token TraceTogether ke sekolah.

"Ini akan membantu untuk segera mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat tentang kes-kes COVID-19 dan mengasingkan mereka untuk membendung risiko penularannya," menurut MOE.

Mulai 1 Jun, SafeEntry yang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja diwajibkan di semua lokasi yang menerima "jumlah pengunjung lebih tinggi dan/atau berkemungkinan berada dalam jarak dekat antara satu sama lain bagi tempoh yang panjang", menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) hari ini (22 Apr).

Ini termasuk pusat-pusat beli-belah, tempat-tempat kerja, rumah-rumah ibadat dan sekolah-sekolah.

Kaedah lain SafeEntry, seperti pengimbas kod QR daripada kamera telefon bimbit, aplikasi SingPass dan mengimbas barkod pada kad pengenalan, tidak akan digunakan lagi.

Meskipun kedua-dua aplikasi dan token TraceTogether mempunyai fungsi yang sama, MOE menyatakan para pelajar digalakkan untuk membawa token itu ke sekolah untuk memudahkan pengesanan kontak kerana mereka mungkin tidak mempunyai akses kepada telefon bimbit pada setiap waktu di sekolah semasa dalam kelas atau melakukan kegiatan luar darjah.

Ibu bapa pelajar berkeperluan khas digalakkan untuk mendapatkan dan menggunakan token TraceTogether bagi kegiatan luar anak mereka yang memerlukannya selain kegunaan peribadi.

Menurut MOE, ibu bapa pelajar yang tidak secara rutin membawa token TraceTogether perlu tahu bahawa sebahagian kegiatan luar darjah memerlukan mereka masuk ke bangunan-bangunan awam atau komersil yang memerlukan aplikasi atau token TraceTogether mulai 1 Jun.

"Bagi kegiatan sedemikian, ibu bapa mungkin mahu membuat aturan dengan pihak sekolah untuk memudahkan penggunaan token (TraceTogether) anak-anak bagi kegiatan sedemikian," menurut MOE.

Para pelajar yang terlepas tarikh unuk membuat permintaan bagi token TraceTogerther daripada sekolah masing-masing masih boleh mendapatkannya di mana-mana kelab atau pusat masyarakat yang disenaraikan di laman TokenGoWhere. Ibu bapa juga boleh mendapatkannya bagi pihak anak mereka.

Mereka yang kehilangan token tersebut boleh mendapatkan gantinya. Ganti kali pertama adalah percuma.

MOE menambah SafeEntry yang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja juga dilaksanakan di institut pengajian tinggi dan privet. Para pelajar dan kakitangan yang belum menggunakan aplikasi atau token TraceTogether harus memuat turun aplikasi itu atau mendapatkan token tersebut.

Bateri token TraceTogether dijangka bertahan selama enam bulan dan tidak boleh dicas.

Para pengguna boleh memeriksa sama ada token milik mereka masih berfungsi dengan melihat lampur hijau yang berkelip-kelip sekitar sekali setiap minit.

Jika lampunya berkelip-kelip merah atau tiada lampu langsung, mereka perlu mendapatkan ganti token itu di mana-mana kelab atau pusat masyarakat atau di pusat-pusat penggantian token TraceTogether yang ditempatkan di pusat-pusat beli-belah.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita