Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar tertentu di bawah LOA boleh duduki peperiksaan hujung tahun jika diuji negatif COVID-19

Para pelajar yang dikenakan Cuti Ketidak-hadiran atau LOA tanpa arahan kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan nasional hujung tahun ini sekiranya disahkan negatif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar tertentu di bawah LOA boleh duduki peperiksaan hujung tahun jika diuji negatif COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 Aug 2021 02:32PM Dikemas Kini : 28 Aug 2021 02:34PM

SINGAPURA: Para pelajar yang dikenakan Cuti Ketidak-hadiran atau LOA tanpa arahan kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan nasional hujung tahun ini sekiranya disahkan negatif COVID-19.

Pelajar-pelajar itu perlu melakukan ujian COVID-19 sendiri setiap dua hari di sekolah atau tempat peperiksaan mereka dari hari pertama peperiksaan sehingga LOA mereka dibatalkan, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) hari ini (28 Ogos).

Ujian pantas antigen (ART) akan dilakukan oleh pelajar itu sendiri dan diselia oleh kakitangan terlatih.

Bagaimanapun menurut MOE dan SEAB, pelajar di bawah LOA yang menunggu arahan kuarantin kerana merupakan kontak rapat dengan kes yang disahkan, tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan.

Peperiksaan bertulis akhir tahun nasional untuk mata pelajaran utama akan bermula pada Sep 15.

Sama seperti peperiksaan bertulis akhir tahun lalu, calon yang diuji positif COVID-19, dikenakan arahan kuarantin atau notis jangan keluar rumah (SHN) dan tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan.

Pada masa ini, MOE mengeluarkan cuti ketidakhadiran (LOA) dan cuti yang diluluskan kepada pelajar dan kakitangan dengan menghendaki mereka yang mungkin terdedah kepada virus untuk menjauhkan diri dari kampus sekolah untuk mengekang penularan COVID-19.

Pelajar yang menjalani cuti diluluskan kerana tinggal di rumah yang sama dengan anggota (berusia 6 tahun ke atas) yang mempunyai simptom seperti selesema dan belum mendapat keputusan ujian PCR negatif, akan dibenarkan menduduki peperiksaan selepas menjalani ujian ART sekali dan didapati negatif.

Mereka boleh lakukan ujian ART di rumah dan maklumkan pihak sekolah mengenai keputusannya sebelum peperiksaan, menurut MOE dan SEAB.

Mereka yang diberi cuti diluluskan kerana diletakkan di bawah rejim ujian wajib atau Amaran Risiko Kesihatan oleh Kementerian kesihatan (MOH) mesti menyelesaikan ujian PCR wajib MOH dan disahkan negatif sebelum menduduki peperiksaan.

Pelajar yang mengambil PSLE yang diwajibkan diuji COVID-19 di sekolah atau tempat peperiksaan boleh ditemani ibu bapa atau penjaga mereka yang dapat membantu menjalankan ujian "memandangkan usia mereka lebih muda", kata MOE dan SEAB.

Sebagai alternatif, ibu bapa juga boleh memberi kebenaran untuk anak-anak mereka lakukan ujian sendiri yang dipantau di tempat peperiksaan.

PELAJAR DENGAN CUTI SAKIT BOLEH DUDUKI PEPERIKSAAN JIKA DIUJI NEGATIF

Calon peperiksaan yang cuti sakit akibat gejala pernafasan akut mesti pulih dan diuji negatif ujian PCR jika mereka ingin menduduki peperiksaan, menurut MOE dan SEAB.

MOE dan SEAB menambah bahawa mereka yang cuti sakit kerana demam akan dibenarkan menduduki peperiksaan jika mereka tidak lagi demam, dan ujian ART sekali mereka negatif.

Mereka boleh melakukan ujian swab sendiri dengan kit ART di rumah dan memaklumkan sekolah mereka mengenai keputusan sebelum menduduki peperiksaan.

Dalam kenyataan tersebut, MOE dan SEAB menyatakan bahawa pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan dengan alasan yang sah boleh memohon pertimbangan khas.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT

Calon peperiksaan di bawah LOA atau cuti diluluskan yang dibenarkan menduduki peperiksaan akan melakukannya di sekolah atau tempat peperiksaan mereka, tetapi di bilik-bilik yang berasingan, menurut MOE dan SEAB.

Langkah-langkah pengurusan selamat yang dipertingkatkan seperti jarak sekurang-kurangnya 3 meter antara calon dan had 10 calon dalam setiap bilik peperiksaan akan dilaksanakan.

Langkah keselamatan lain untuk pelajar lain termasuk pengambilan suhu dan pemeriksaan visual semua calon, memakai pelitup sewaktu mengambil peperiksaan, serta masa bersurai secara berperingkat.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa