Skip to main content

Singapura

Pelajar SJI International maut semasa lawatan sekolah ke Maldives dikenal pasti sebagai rakyat SG 15 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar SJI International maut semasa lawatan sekolah ke Maldives dikenal pasti sebagai rakyat SG 15 tahun

Gambar fail: SJI International/Facebook

Diterbitkan : 09 Nov 2024 01:37PM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 01:42PM
SINGAPURA: Pelajar St Joseph's Institution (SJI) International yang meninggal dunia ketika melakukan lawatan sekolah ke Maldives, dikenal pasti sebagai Jenna Chan.

Jenna Chan merupakan seorang rakyat Singapura berusia 15 tahun.
Pihak Mediacorp sebelum ini melaporkan pada Jumaat (8 Nov) bahawa, lawatan itu berkaitan dengan projek penyelidikan jerung paus.

Menurut satu laporan daripada saluran berita Maldives, The Edition, remaja itu sedang melakukan kegiatan snorkeling sebelum dilaporkan dilanggar sebuah bot berhampiran pulau Dhigurah.

Ia terletak kira-kira 100 kilometer barat daya ibu kota Maldives, Male.

"Dengan kesedihan yang mendalam, kami mengesahkan pemergian seorang pelajar rakyat Singapura Gred 9, Jenna Chan, 15 tahun, semasa ekspedisi luar negara Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) di Maldives," kata Dr Michael Johnston, ketua pegawai eksekutif SJI International kepada Mediacorp dalam satu kemas kini pada Sabtu.

"Ingatan kami bersama keluarga, rakan Jenna dan seluruh badan sekolah ini semasa tempoh sukar ini."

Keluarga mendiang telah melakukan perjalanan ke Male bersama sebuah pasukan yang dipimpin oleh pengetua sekolah itu.

"Kami juga telah menugaskan khidmat kaunseling dan sokongan kesedihan kami di kampus untuk anggota sekolah kami dengan segera hujung minggu ini dan seterusnya," kata Dr Johnston, sambil menambah bahawa beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana siasatan oleh pihak berkuasa Maldives sedang dijalankan.

"Keutamaan kami kekal untuk menyokong keluarga Jenna dan pelajar serta kakitangan kami melalui masa yang sukar ini. Kami juga meminta penghormatan terhadap privasi keluarga itu semasa tempoh sukar ini."

Menurut laman SJI International, sekolah itu menawarkan program pendidikan luar – yang dipanggil "ekspedisi" - untuk sekolah rendah dan menengahnya.

Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan adalah sebahagian daripada kurikulum Gred 9, kata laman sekolah itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita