Skip to main content

Singapura

Pelajar SG yang kembali dari Jordan syukuri peluang beraya dengan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Mar 2026 08:02PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 12:46AM
SINGAPURA: Tahun lalu, ketika takbir raya bergema di tanah air, Deanna Yusra Rashid hanya mampu menatap skrin telefonnya.

Perbezaan waktu itu bukan sekadar jarak geografi, malah ia turut memisahkan diri pelajar tahun kedua Universiti Yarmouk di Jordan itu daripada keluarganya di tanah air.

“Apabila mereka sudah bertakbir (tahun lalu), saya masih lagi sedang berbuka puasa dan itu membuatkan saya rasa seperti saya ada dengan mereka pada waktu itu,” kongsi Deanna Yusra, 20 tahun.

Namun, berbeza pula suasananya tahun ini kerana dia dapat menyambut Aidilfitri di pangkuan keluarga.

Dia antara 42 pelajar yang menuntut di Jordan yang dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) ekoran peperangan yang melanda rantau itu.

Kepulangannya ibarat membawa satu hikmah yang tidak disangkakan.

Dengan penuh rasa syukur, Deanna Yusra berkata: “Beberapa minggu yang lalu, saya telah melalui kebimbangan dan ketakutan dan alhamdulillah sekarang Allah telah menghadiahkan sebuah kesempatan untuk saya meraikan hari raya dengan keluarga tersayang.”

“Susunan itu sangatlah indah kerana ianya bertepatan dengan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” tambahnya.
Related article image
Selepas hanya mampu beraya dari jauh tahun lalu, Deanna Yusra Rashid (kanan) akhirnya kembali menyambut Aidilfitri bersama keluarga. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
SUDAH JANGKA TAK DAPAT SAMBUT AIDILFITRI BERSAMA KELUARGA 4 TAHUN

Penuntut tahun kedua dalam jurusan Bahasa dan Sastera Arab itu sebenarnya baru memulakan pengajiannya pada Oktober tahun lalu.

Dengan tempoh pengajian selama empat tahun, beliau sebelum ini sudah menjangkakan akan menyambut Aidilfitri jauh dari keluarga untuk tempoh yang panjang.

Sebagai anak kedua daripada empat beradik dalam sebuah keluarga yang rapat, pengalaman berjauhan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaluinya dan tahun lalu menjadi pengalaman pertamanya beraya jauh dari keluarga.

Rasa rindu yang pada awalnya tertahan, lama-kelamaan menjadi semakin kuat.

Namun dalam keterasingan itu, Deanna cuba membina keluarga kedua bersama rakan-rakan di sana, bergotong-royong memasak rendang dan ayam masak merah, mencipta suasana Raya seadanya.
Related article image
Beraya jauh di perantauan, Deanna Yusra Rashid menyambut Aidilfitri 2025 di Jordan bersama rakan-rakan. (Gambar: Deanna Yusra Rashid)
Lebih menyentuh hati, kepulangan tahun ini juga hadir dengan satu kehilangan yang tidak dapat diganti.

Ia merupakan Aidilfitri pertama tanpa nenek tersayang yang meninggal dunia tahun lalu.

“Jadi saya lebih menghargai orang-orang yang masih ada di sekeliling saya, keluarga, teman-teman,” tambahnya.

Menurut ibunya, Siti Salha Salihoddin, mereka memang tidak menjangkakan Deanna dapat pulang beraya memandangkan cuti semester yang singkat dan bukan pada Aidilfitri.

Sambil menahan sebak, guru Bahasa Inggeris itu berkata: “Jadi agak rasa sedih menyambut hari raya tahun ini tapi dengan adanya Deanna bersama, mungkin rasa kesedihan itu agak kurang."

Bagi bapanya pula, Rashid Ramli, kehadiran Deanna Yusra membawa kembali seri sambutan Aidilfitri di rumah mereka.

Menurutnya, Deanna sememangnya anak yang sering menceriakan suasana, apatah lagi ketika membuat persiapan Hari Raya.

“Selalunya Deanna yang akan sibuk ajak kakak dan adik-adik buat kuih, buat persiapan. Tahun lepas bila dia tak ada, suasana macam lemau sikit, tak semeriah,” kata Encik Rashid yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Masjid Darussalam.
Related article image
Ibu bapa Deanna Yusra Rashid, Cik Siti Salha Salihoddin, 50 tahun, dan Encik Rashid Ramli, 49 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Sedang meraikan Lebaran dengan penuh keceriaan, Deanna Yusra juga tidak melupakan nasib rakan-rakan yang masih di Jordan.

Menurutnya, mereka hanya mampu menyambutnya secara sederhana melalui perjumpaan Hari Raya secara kecil-kecilan.

Ini kerana keadaan keselamatan yang masih belum menentu dengan semboyan keselamatan masih kedengaran dan peluru berpandu kadangkala kelihatan.

Bagi pengajiannya pula, Deanna Yusra juga menghadapi beberapa persoalan dan masih membuat beberapa pertimbangan mengenainya.

Dengan peperiksaan pertengahan tahun dijadualkan pada April dan peperiksaan akhir pada Mei, keputusan yang perlu dibuat bukanlah sesuatu yang mudah.

“Baru saja semalam saya diberitahu tentang khabar daripada pihak Universiti Yarmouk dan mereka telah pun membenarkan kami untuk mengadakan pengajian secara talian.

“Dan itu sangat membuat saya berasa lega kerana kebanyakan rakan-rakan saya mahu melanjutkan pengajian mereka dan tidak mahu menangguhkannya,” katanya.

Beliau masih berbincang dengan keluarganya dan jika dia menangguhkan pengajiannya, semester baharu akan bermula pada Oktober ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita