Skip to main content

Singapura

Pelajar SG muncul terbaik dalam ujian pemikiran kreatif OECD

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jun 2024 06:52PM Dikemas Kini : 19 Jun 2024 07:50AM
SINGAPURA: Pelajar Singapura berusia 15 tahun muncul terbaik dalam pemikiran kreatif, namun mereka tidak semestinya berasa mereka kreatif.

Demikian menurut hasil dapatan Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

Ia menilai keupayaan pelajar untuk menjana idea-idea kreatif, dan tampil dengan penyelesaian baharu terhadap masalah.

6,600 pelajar dari 149 sekolah menengah dan 15 sekolah swasta, termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah agama, mengambil bahagian dalam kajian itu, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media pada Selasa (18 Jun). Singapura juga di tempat pertama bagi matematik, sains dan membaca.

Penilaian itu mendapati bahawa kira-kira 60 peratus pelajar Singapura mencatat prestasi terbaik.

Ini lebih seganda lebih tinggi berbanding pelajar sebaya di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) lain iaitu 27 peratus.

Singapura juga mempunyai bahagian terkecil pelajar berprestasi rendah, iaitu hanya 6 peratus.

Ini berbanding purata 22 peratus.

Pelajar Singapura yang kurang berada pula, bukan sahaja mencatat prestasi lebih baik berbanding rakan sebaya mereka dari negara lain, malah mereka mendapat markah melebihi purata OECD sebanyak 33 mata.

MOE menyatakan, keputusan itu mengesahkan peranan guru dalam memupuk pemikiran kreatif.

Ia juga mempamerkan peranan kurikulum kebangsaan dalam membantu pelajar mencipta nilai.

"Jika anda ingin memupuk pemikiran kreatif dengan lebih kuat, saya fikir anda perlu memberi lebih banyak ruang kepada pelajar untuk mengalami aktiviti tidak berstruktur dan memberi mereka lebih banyak pendedahan kepada aspek-aspek yang membolehkan mereka menghasilkan idea yang berbeza. Dan meneliti aspek yang mengiktiraf idea yang pelbagai dan asli," kata Pengarah Agung Pendidikan (Kurikulum), Sng Chern Wei.

Namun begitu, meskipun mencatat markah penilaian yang bagus, sebahagian besar pelajar Singapura tidak percaya bahawa mereka kreatif.

Tidak sampai separuh yang ditinjau percaya mereka boleh menghasilkan cerita yang baik, melukis atau mencipta perkara baharu dengan corak kreatif.

Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding purata OECD.
Sumber : CNA/SM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita