Pelajar SG di Mesir, Jordan tenang buat persiapan bagi peperiksaan di tengah-tengah konflik Timur Tengah
Para pelajar Singapura di Mesir. (Gambar: PERKEMAS/Facebook)
SINGAPURA: Para penuntut Singapura di Mesir dan Jordan perlu menghadapi peperiksaan mereka di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah akibat perang Israel-Iran.
Meskipun keadaan rata-rata masih tenang di kedua-dua negara itu, masih terbit juga rasa bimbang dalam diri mereka kerana peperangan itu berlaku semasa musim peperiksaan.
"Alhamdulillah, keadaan pelajar-pelajar di Mesir masih tenang sedang kami ulang kaji untuk peperiksaan, walaupun ada beberapa kerisauan daripada waris-waris kami," kongsi mahasiswa Universiti Al-Azhar, Danniesh Asyraff Mohsain dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp.
"Ini kerana kami dinasihati dengan tegas untuk tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti-aktiviti atau bentuk perkumpulan berkaitan dengan isu tersebut demi mengutamakan keselamatan pelajar-pelajar kami di sini," tambahnya.
Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (SIRAJ) juga mengatakan para penuntut di sana sedang menumpukan perhatian kepada peperiksaan buat masa ini.
PELAJAR DI MESIR HUBUNG RAPAT DENGAN MUIS, MFA, DUTA SG
Danniesh Asyraff yang juga merupakan Presiden Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (PERKEMAS) turut berkongsi bahawa para pelajar di Mesir sedang berhubung rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kementerian Ehwal Luar serta kedutaan Singapura di Mesir.
"Pelajar-pelajar di sini terus berhubung dengan badan-badan tersebut untuk sentiasa peka dan kekal maklum akan khabar-khabar terkini yang penting untuk menjaga kemaslahatan pelajar-pelajar semua," ujar Danniesh Asyraff.
"Ini dapat dilakukan dengan hubungan talian terus seperti melalui WhatsApp antara pelajar-pelajar kami dan Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) kami yang berhubung kuat dengan pihak kedutaan Singapura. Pihak Kedutaan Singapura di Mesir juga mempunyai talian kecemasan 24 jam untuk waktu-waktu kemudaratan," tambah pelajar tahun keempat itu.
PERSIAPKAN DIRI DENGAN LANGKAH KESELAMATAN KRISIS
Meskipun keadaan tenang di Mesir pada masa ini, para pelajar tetap mempersiapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan krisis bagi memastikan keselamatan mereka.
"Pada mulanya, memang kami berasa risau terutamanya kerana perkara ini berlaku pada musim peperiksaan kami. Namun begitu, selepas mendapat nasihat dari pihak kedutaan dan Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) kami, kami dapat berasa tenang sedikit," dedah Danniesh Asyraff.
"Ini kerana Barisan EXCO di sini dengan kerjasama pihak kedutaan Singapura dan MUIS sedang menyiapkan langkah-langkah keselamatan krisis jika berlakunya apa-apa kejadian yang memerlukan tindakan segera," tambahnya.
Sebelum ini, MUIS telah berkongsi dalam satu catatan di Facebook bahawa ia sedang memantau dengan teliti perkembangan semasa di Timur Tengah berikutan ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.
MUIS juga memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri (MFA) serta Konsulat-Jeneral Kehormat Republik Singapura di Amman, Jordan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.