Skip to main content

Singapura

Pelajar SG akhirnya dapat tiket pulang selepas lebih 11 jam terkandas di Doha

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar SG akhirnya dapat tiket pulang selepas lebih 11 jam terkandas di Doha

Para penumpang terkandas di Lapangan Terbang Hamad, Doha beratur panjang menunggu tiket untuk meneruskan penerbangan masing-masing. (Gambar: Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah)

DOHA: Seramai 15 pelajar Singapura yang terkandas di Doha, Qatar selama lebih 11 jam berjaya mendapatkan tiket pulang ke tanah air.

Mereka dijadualkan mendarat sekitar 5.30 petang Rabu (25 Jun).

Salah seorang daripada mereka, Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah, 20 tahun, yang merupakan penuntut tahun pertama dalam jurusan Syariah di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan, berkongsi pengalaman beliau kepada BERITA Mediacorp.

Menurutnya, penerbangan asal mereka QR948 dari Amman ke Doha telah dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz di Madinah, Arab Saudi, apabila ruang udara Doha ditutup secara mendadak.

“Perjalanan kami bermula dengan penerbangan dari Amman ke Doha, namun ia secara tidak diduga dialihkan ke Madinah. Kami perlu menunggu selama 4 jam 22 minit di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Doha,” katanya.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, para pelajar itu dijadualkan menaiki penerbangan sambungan pada pukul 2.30 pagi, namun ia ditunda ke 6.45 pagi, sebelum beberapa kali mengalami kelewatan dan akhirnya dibatalkan.

Jumlah keseluruhan masa perjalanan mereka setakat ini telah menjangkau 26 jam.

“Sekarang kami berada di lapangan terbang Doha dalam barisan yang panjang dan agak kacau-bilau untuk mendapatkan tiket penerbang baharu,” kata Syakirah.

Mujur, selepas lebih 11 jam menunggu, kumpulan itu akhirnya berjaya mendapat tiket pulang ke tanah air.

Mereka dijadualkan berlepas pada jam 9.30 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba sekitar 5.30 petang Rabu (25 Jun).

Qatar Airways memberitahu Mediacorp pada pagi Selasa (24 Jun) bahawa tumpuan utamanya adalah untuk membantu para penumpang dalam perjalanan mereka menyusuli pembukaan semula ruang udara Qatar.

Ia menambah, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, pemerintah dan pihak berkuasa lain untuk memulihkan operasi "secepat mungkin".

"Kami juga telah mengerahkan kakitangan tambahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan lapangan terbang utama lain untuk membantu para penumpang yang terjejas dengan mengurangkan gangguan dan menawarkan jagaan dan sokongan sebaik mungkin kepada semua pelanggan.

"Apabila operasi disambung semula, kami menjangkakan penangguhan ketara pada jadual penerbangan kami," menurut Qatar Airways.

Para penumpang diminta supaya memantau dan memeriksa laman syarikat penerbangan itu atau aplikasi mudah alihnya sebelum melakukan perjalanan.

CABARAN DIHADAPI SYARIKAT PENERBANGAN

Syarikat-syarikat penerbangan bergegas membatalkan penerbangan dan melencongkan laluan pesawat pada Isnin (23 Jun) selepas beberapa negara Timur Tengah menutup ruang udara masing-masing buat sementara waktu selepas Iran menyerang pangkalan tentera Amerika, Al Udeid di Doha.

Amerika telah menyerang tapak-tapak nuklear Iran pada Ahad (22 Jun).

Ketegangan yang semakin memuncak sudah mula menjejaskan syarikat-syarikat penerbangan di luar Timur Tengah, di mana laluan penerbangan utama terjejas sejak Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 13 Jun.

Syarikat penerbangan tambang jimat Scoot menyatakan pada Selasa ia membatalkan dua penerbangan antara Singapura dengan Jeddah di Arab Saudi pada Isnin, dan kemudian membatalkan lagi dua penerbangan yang dijadualkan pada Khamis.

Negara-negara Timur Tengah, termasuk Qatar, membuka semula ruang udara masing-masing secara bertahap-tahap menyusuli pengumuman gencatan senjata di mana kedua-dua negara dituduh melanggarnya.

Dengan ruang udara Rusia dan Ukraine ditutup kepada hampir kesemua syarikat penerbangan disebabkan oleh perang yang meletus, Timur Tengah menjadi laluan yang semakin penting bagi penerbangan antara Eropah dengan Asia.

Di tengah-tengah serangan peluru berpandu dan udara semasa konflik Israel-Iran, syarikat-syarikat penerbangan telah melencongkan laluan pesawat mereka ke arah utara menerusi Laut Kaspia atau ke arah selatan menerusi Mesir dan Arab Saudi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita