Pelajar & selebriti tikam lidah tentang AI dalam proses seni kreatif dalam Bahas Selebriti 4PM
SINGAPURA: Peluang untuk 'bertikam lidah' dengan para selebriti dan pempengaruh media sosial.
Itulah konsep unik dan kreatif Bahas Selebriti 4PM anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dengan kerjasama Persatuan Rakyat (PA) sempena Festival Belia M³ di Wisma Geylang Serai pada pada Sabtu (6 Jul).
Ia menghimpunkan personaliti tempatan, termasuk artis, pelakon, pelakon, aktivis belia dan bekas pembahas 4PM.
Menurut 4PM, ia salah satu cara untuk melibatkan golongan belia dalam perdebatan secara kreatif dan spontan di samping mencetuskan minat mereka dalam hal ehwal semasa, menggalakkan kesedaran budaya serta kecekapan linguistik.
Kali terakhir acara serupa diadakan adalah hampir sedekad yang lalu.
Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman kelebihan acara tahun ini.
"Tahun pertama Bahas Selebriti diadakan adalah pada tahun 2014 dan pada masa itu kami menjemput artis-artis daripada Mediacorp. Berbanding dengan tahun ini, kami sudah menjemput selebriti daripada pelbagai bidang termasuk juga pempengaruh tempatan atau lebih dikenali sebagai 'influencers'," kata Encik Kamal.
Menurut beliau, konsep selebriti sudah berubah pada masa ini di mana para pempengaruh media sosial lebih dikenali dalam kalangan golongan muda dan remaja.
Menurut Encik Kamal, 4PM juga berharap memperkenalkan bahas kepada masyarakat umum.
"Tujuan pertama acara Bahas Selebriti adalah untuk memperkenalkan bahas kepada masyarakat umum sebagai seni yang bukan teknikal atau susah tetapi merupakan perbincangan dan perkongsian idea dalam masyarakat umum," kata Encik Kamal.
KUMPULAN 'GEPREK' MUNCUL SEBAGAI JUARA BAHAS SELEBRITI 4PM 2024
Riefqan Iman, Joe Jasni, Nashin Putri dan Zalelo merupakan ahli kumpulan 'Ais Kepal' manakala Cef Mel Dean, Ariel Aiman, Haslinda Ali dan Al-Matin Yatim pula ahli kumpulan 'Geprek'.
Dua pasukan itu mengetengahkan pelbagai hujah menarik bagi mauduk 'Kecerdasan Buatan (AI) membantu proses kreatif dan penciptaan seni.'
Sebagai pihak pencadang, para pembahas dari kumpulan 'Geprek' berjaya mematahkan hujah-hujah yang dibentangkan pihak penyanggah dari 'Ais Kepal'.
Para pembahas dari pihak 'Geprek' berjaya mencabar dan membidas hujah-hujah lang dibentangkan pihak penyanggah 'Ais Kepal' untuk muncul sebagai juara acara.
Pemenang acara ditentukan melalui undian para penonton melalui kod QR yang disediakan.
Pelajar St Joseph's Institution, Ariel Aiman bersyukur pasukannya muncul sebagai juara kerana hanya sempat membuat persiapan sehari sebelumnya akibat jadual sekolah yang padat.
"Saya berasa amat bersyukur diberikan peluang ini untuk berbahas bersama ahli selebriti yang lain yang mempunyai kemahiran sendiri. Saya rasa melalui acara ini saya dapat menambah ilmu dan juga mendapatkan pengalaman yang mungkin dapat meningkatkan keyakinan saya dalam perbualan Bahasa Melayu," kata Aiman.
Bagi penyanyi rap Zalelo pula ia satu peluang baik untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan dan penghasilan lagu.
"Saya rasa amat penting untuk melibatkan diri dalam bahas ini terutama sekali kerana saya hendak buat lebih banyak muzik dalam bahasa Melayu. Saya juga rasa platform ini juga membantu saya berlatih dan bertukar fikiran dan idea," kata Zalelo.
Anak kepada Allahyarham penyanyi Aman Shah itu juga berharap beliau dapat membanggakan arwah bapanya itu melalui muzik yang dihasilkan dalam bahasa Melayu.
Menurutnya bahasa Melayu harus dilestarikan dan disemai dalam diri anak-anak muda.
"Ia sebahagian daripada identiti kita, ia juga bahasa kebangsaan kita dan juga nenek moyang kita menggunakan bahasa Melayu untuk membentuk masyarakat. Jadi tanpa bahasa Melayu, kita kehilangan sebahagian identiti kita," jelas Zalelo.
4PM merancang untuk menganjurkan acara Bahas Selebriti 4PM secara kerap di samping acara lain seperti pertandingan Bahas Muhibbah yang disertai pasukan antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.