Skip to main content

Singapura

Pelajar Sekolah Sukan SG yang meninggal dunia dikejarkan ke NUH sejajar dengan protokol: SCDF

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar Sekolah Sukan SG yang meninggal dunia dikejarkan ke NUH sejajar dengan protokol: SCDF

Pelajar Sekolah Sukan Singapura Pranav Madhaik meninggal dunia pada 11 Oktober 2023 selepas dia dimasukkan ke hospital berikutan ujian kecergasan yang dijalaninya enam hari sebelumnya. (Gambar: Raj Verma)

Diterbitkan : 24 Oct 2023 11:48PM Dikemas Kini : 24 Oct 2023 11:49PM
SINGAPURA: Pelajar Sekolah Sukan Singapura yang meninggal dunia selepas berasa kurang sihat semasa menjalani ujian kecergasan, dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) sejajar dengan protokol perubatan.

Demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Selasa (24 Okt).

NUH dilengkapi dengan prasarana perubatan kecemasan pediatrik dan merupakan pilihan paling pantas pada ketika itu, menurut SCDF dalam menjawab pertanyaan mengapa Pranav Madhaik, yang berusia 14 tahun, tidak dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat, yang teletak berdekatan dengan sekolah itu di Woodlands.

Berdasarkan garis masa responsnya, SCDF mendedahkan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan sekitar pukul 6.50 petang pada 5 Oktober.

Budak lelaki itu, yang merupakan sebahagian daripada akademi badminton sekolah itu, dilaporkan berasa kurang sihat selepas menjalani ujian masa kecergasan 400m.

SCDF menyatakan bahawa apabila pegawainya tiba sekitar pukul 7.00 malam, pelajar Menengah 2 itu dilihat terbaring di trek berlari.

Seorang paramedik segera memberikan bantuan kepada Pranav, yang ketika itu masih sedarkan diri dan mampu bercakap seperti biasa.

"Tanda utama Pranav termasuk kadar degupan jantung dan tahap oksigen dalam darah dinilai stabil apabila dia dibawa ke dalam ambulans," jelas SCDF.

"Namun, memandangkan tekanan darah Pranav rendah dan dia tercungap-cungap, kakitangan ambulans memberikannya oksigen dan membimbingnya untuk mengawal pernafasannya. Kakitangan tersebut mengangkat kakinya untuk meningkatkan lagi pengedaran darahnya."

Kira-kira pukul 7.20 malam, tekanan darah Pranav bertambah baik.
 
"Sejajar dengan protokol perubatan Kementerian Kesihatan dan SCDF bagi para pesakit stabil di bawah usia 16 tahun, Pranav dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional, oleh kerana ia dilengkapi dengan prasarana perubatan kecemasan pediatrik," jelas SCDF.

Meskipun Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak juga dilengkapi dengan prasarana demikian, SCDF menyatakan bahawa ia adalah lebih cepat untuk melakukan perjalanan ke NUH pada ketika itu. Pihaknya menambah bahawa Hospital Khoo Teck Puat bagaimanapun tidak mempunyai prasarana seumpama itu.

Dalam perjalanan ke NUH, kakitangan ambulans mendapati budak lelaki itu mula berasa mengantuk.

"Paramedik tersebut segera memaklumkan NUH mengenai keadaan pesakit itu agar ia bersiap sedia untuk menerima pesakit tersebut. Ambulans tiba di hospital pada pukul 7.35 malam dan Pranav diserahkan kepada pasukan kecemasan hospital itu, yang sedang bersiap sedia untuk menerimanya," tambah SCDF.

Pranav malangnya, meninggal dunia enam hari kemudian pada 11 Oktober.

Sekolah Sukan Singapura sebelum ini mendedahkan bahawa punca kematian Pranav adalah serangan jantung dengan sejarah kecacatan kongenital saluran koronari.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita