Skip to main content

Singapura

Pelajar sekolah rendah SG tidak perlu bayar sebarang yuran mula 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jul 2023 03:38PM Dikemas Kini : 05 Jul 2023 08:58PM
SINGAPURA: Pelajar sekolah rendah di sekolah pemerintah dan sekolah bantuan pemerintah tidak perlu membayar sebarang yuran bermula 2024.

Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pada Rabu (5 Jul) lebih banyak bantuan kewangan akan diberikan kepada kira-kira 350,000 pelajar rakyat Singapura.

Ini termasuk penambahbaikan pada skim Edusave dan Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE untuk menampung segala yuran, menurut kementerian itu dalam satu sidang media.

Setiap rakyat Singapura mempunyai akaun Edusave yang didaftar secara automatik buat mereka. Mereka di dalam sekolah-sekolah MOE menerima sumbangan tahunan dari permulaan pendidikan sekolah rendah sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah.

Pelajar sekolah rendah menerima S$230 setahun, manakala pelajar sekolah menengah menerima S$290 setahun.

YURAN-YURAN LAIN

Yuran keseluruhan yang dibayar pelajar setiap bulan termasuk yuran sekolah, yuran standard yang lain dan yuran peringkat kedua. Mereka yang berada di sekolah
berautonomi juga harus membayar yuran tambahan.

Pelajar sekolah rendah tidak membayar yuran sekolah, pelajar sekolah menengah membayar S$5 setiap bulan dan pelajar prauniversiti membayar S$6 sebulan.

Selain yuran sekolah, pelajar juga harus membayar yuran standard yang lain serta yuran peringkat kedua yang lain. Yuran pertama ditetapkan MOE manakala yuran kedua ditetapkan sekolah dan dihadkan pada 100 peratus yuran standard yang lain.

Buat masa ini, sekolah pemerintah dan sekolah bantuan pemerintah mengenakan kedua-dua yuran yang lain, yang digunakan untuk membiayai barangan sekolah dan program bagi pelajar.

Pelajar rakyat Singapura hanya boleh menggunakan Edusave untuk menampung yuran peringkat kedua yang lain.

Mereka di bawah FAS tidak perlu membayar sebarang yuran - yuran sekolah dan yuran standard yang lain ditampung skim tersebut, sedang mereka boleh menggunakan Edusave untuk membayar yuran peringkat kedua yang lain.

Bermula dari 2024, kedua-dua Edusave dan MOE FAS akan dilanjutkan untuk menampung semua yuran lain sepenuhnya, umum MOE. Pelajar di bawah FAS masih tidak diperlukan membayar yuran sekolah mereka.

Ini bermakna, pelajar sekolah rendah rakyat Singapura tidak lagi harus membayar sebarang yuran kerana yuran yang lain akan ditanggung oleh Edusave atau MOE FAS.

Menurut MOE, ia dijangka membelanjakan lagi S$3.8 juta setiap tahun untuk melanjutkan sokongan bagi yuran MOE FAS yang lain, yang akan membantu kira-kira 40,000 pelajar.

Seramai 310,00 pelajar lain yang tidak berada di bawah FAS boleh menggunakan Edusave untuk membayar yuran yang lain.

YURAN LAIN DIGABUNGKAN

Yuran standard dan yuran peringkat kedua akan digabungkan menjadi satu peringkat pada 2024.

Yuran lain satu peringkat itu akan ditetapkan pada jumlah yuran standard dan yuran peringkat dua akan dikenakan kepada semua warganegara, menurut MOE.

Yuran satu peringkat itu akan ditetapkan MOE.

Sebagai contoh, yuran standard lain setiap bulan bagi pelajar sekolah rendah adalah S$6.50 dan yuran maksimum peringkat kedua adalah S$6.50. Bermula 2024, kedua-dua peringkat akan digabungkan bagi jumlah keseluruhan S$13.

Sama juga bagi yuran satu peringkat yang baru bagi sekolah menengah dan prauniversiti yang akan ditetapkan masing-maisng pada S$20 dan S$27.

Tiada tindakan yang harus diambil oleh ibu bapa yang menggunakan Edusave anak-anak mereka untuk membayar yuran peringkat kedua, tambah kementerian itu.

Potongan secara automatik akan dilakukan daripada Edusave untuk membayar yuran satu peringkat yang baru bermula 1 Januari 2024.

Ibu bapa yang membayar yuran peringkat kedua buat anak-anak mereka melalui cara lain tetapi ingin menggunakan Edusave untuk membayar yuran satu peringkat yang baru itu boleh menyerahkan permintaan secara online.

Mereka juga boleh menyerahkan borang online melalui Parents Gateway.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita