Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar Sekolah Menengah Temasek bantu selamatkan nyawa lelaki lanjut usia

Encik Norizam sedang membimbing Aniq dalam mata pelajaran Prinsip Akaun, bagi peperiksaan prelim Peringkat N tidak lama lagi, apabila mereka dihampiri seorang wanita lewat 80-an tahun dalam keadaan panik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar Sekolah Menengah Temasek bantu selamatkan nyawa lelaki lanjut usia

Muhammad Aniq Hilman (kiri) membantu menyelamatkan nyawa lelaki warga emas. (Gambar: Facebook/Norizam Baharon)

BERITAmediacorp: Keadaan di Blok 270 Tampines Street 21 tenang-tenang sahaja semasa Muhammad Aniq Hilman Mohd Talib, 16, dan Norizam Baharon, 25, duduk di kolong blok pada sekitar 4.00 petang Rabu (19 Ogos).

Encik Norizam sedang membimbing Aniq dalam mata pelajaran Prinsip Akaun, bagi peperiksaan prelim Peringkat 'N' tidak lama lagi, apabila mereka dihampiri seorang wanita lewat 80-an tahun dalam keadaan panik.

Wanita itu meminta bantuan sambil menggambarkan keadaan seorang lelaki tua yang jatuh terlentang dan berlumuran darah.

Aniq, yang juga pelajar di Sekolah Menengah Temasek, membuka cerita kepada BERITAmediacorp: "Saya tahu ia sesuatu yang serius kerana saya dapat rasakan daripada raut wajahnya yang panik dan cara dia berbual. Nenek itu kelihatan sangat bimbang dan cemas."

Prihatin akan keadaan wanita tersebut, kedua-dua Aniq dan Encik Norizam bergegas bersamanya ke tingkat lapan blok tersebut.

TERBARING DALAM KEADAAN BERDARAH

Setibanya di pintu rumah itu, seorang lelaki lanjut usia berusia 90-an tahun dilihat terbaring di lantai dalam keadaan berdarah. Beliau juga mengadu rasa sakit di bahagian belakang tubuhnya.

Encik Norizam memberitahu BERITAmediacorp: "Kami segera menghampirinya dan memberi bantuan kecemasan asas. Kami bertanya lelaki itu sama ada beliau dapat mendengar kami dan sama ada beliau sedar.

"Namun saya kagum, dalam keadaan tidak menentu itu, Aniq terus mencapai kemeja-T untuk menghentikan pendarahan yang banyak mengalir dari lengan lelaki itu."

Aniq yang juga bekas staf sarjan Pasukan Kadet Pertahanan Awam Kebangsaan (NCDCC) di sekolahnya pula berkongsi: "Apa yang dapat saya ingat ialah walau apa pun terjadi, saya tidak akan panik atau rasa gerun dengan keadaan itu. Jika saya takut dan tidak yakin, saya tidak mungkin dapat membantu pakcik itu.

"Saya memilih untuk menghentikan pendarahan itu dahulu kerana saya tahu beliau boleh lebih menderita apabila hilang darah yang banyak atau melalui jangkitan. Menerusi ilmu yang ditimba daripada NCDCC, kita mesti menghentikan pendarahan bagi mengelak sebarang komplikasi lanjut."

GUNA INISIATIF JIMATKAN MASA

Menurut Encik Norizam, Aniq turut menggunakan inisiatif beliau untuk sama-sama memberi arahan bagi memindahkan lelaki lanjut usia itu dari ruang tamu ke katilnya.

Aniq juga terus menenangkan diri warga tua tersebut, sementara menunggu paramedik tiba.

Malah Aniq juga menunggu anggota paramedik di kolong blok bagi menjimatkan masa mereka mencari lif dan unit yang betul, dedah Encik Norizam.

Lelaki tua itu kemudian dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dengan ucapan terima kasih daripada wanita, dipercayai isteri lelaki tersebut.

"Kebolehan Aniq untuk memahami keadaan itu dan menggunakan kemahiran yang beliau ada adalah sesuatu yang jarang dilihat dalam belia sekarang.

"Tahap kematangan yang dipamerkannya sangat menakjubkan. Inilah yang ingin dicapai dalam pendidikan seseorang, bukan sekadar dalam bidang akademik, tetapi juga mengenai nilai dan mengambil tindakan dengan nilai-nilai yang ada itu," kata Encik Norizam kepada BERITAmediacorp.

TINDAKAN ANIQ WAJAR DICONTOHI

Yang pasti, keberanian, keihsanan dan keyakinan yang ditonjolkan Aniq bukan sahaja mengagumkan Encik Norizam, malah wajar dicontoh belia lain.

"Anda sudah membanggakan sekolah, keluarga dan masyarakat anda! Lebih penting lagi, anda menyelamatkan nyawa seseorang!" coret Encik Norizam di laman Facebook.

Dengan penghargaan bertali arus yang diterimanya di media sosial, Aniq akur janggal dengan pengiktirafan seumpama itu.

Bagaimanapun, beliau melahirkan harapan individu lain juga tidak keberatan membantu sesiapa yang memerlukan pertolongan.

"Saya berasa terkejut kerana tiba-tiba ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya. Namun, saya juga berasa seronok kerana berpeluang membanggakan keluarga, sekolah dan orang-orang di sekeliling.

"Saya berharap orang ramai tidak takut menghulurkan bantuan kepada orang lain kerana ia juga penting dalam masyarakat. Saya hanya gembira dapat mengamalkan ilmu dan kemahiran yang diajarkan oleh sekolah dan kegiatan luar darjah saya," ujar Aniq dengan rendah hati. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan