Pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Junior) kes pertama penularan COVID-19 di sekolah: MOE
Seorang murid 11 tahun di Sekolah Anglo-Chinese (Junior) yang baru-baru ini diuji positif COVID-19 merupakan kes pertama penularan koronavirus yang berlaku di sekolah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (22 Mei).
Sekolah Anglo-Chinese (Junior) (Petikan skrin: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang murid 11 tahun di Sekolah Anglo-Chinese (Junior) yang baru-baru ini diuji positif COVID-19 merupakan kes pertama penularan koronavirus yang berlaku di sekolah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (22 Mei).
Pelajar itu terkait sebuah kelompok baru yang buat masa ini merangkumi tiga kes jangkitan; lagi dua kes ialah rakan sekelasnya yang berusia 12 tahun dan seorang pegawai bank DBS rakyat tempatan yang berusia 46 tahun.
Dia kali terakhir berada di sekolah pada 18 Mei dan dalam keadaan baik ketika itu. Namun, dia telah dikenakan kuarantin kerana seorang rakan sekelasnya diuji positif COVID-19 pada keesokan harinya.
Dia mula mengalami demam pada 20 Mei lalu mengambil ujian swab reaksi rantai polimerase (PCR). ACS (Junior) dimaklumkan pada 21 Mei tentang hasil ujiannya yang disahkan positif, menurut MOE dalam satu kenyataan media.
"Kontak rapat kedua-dua kes yang disahkan sudah dikenal pasti dan dikenakan arahan kuarantin. Mereka juga akan diwajibkan mengambil ujian swab PCR COVID-19," menurut kementerian itu.
ACS (Junior) sudah melaksanakan pembelajaran di rumah (HBL) sepenuhnya sejak 19 Mei. Premis sekolah itu sudah dibersihkan dan dibasmi dari kuman secara menyeluruh "sebagai langkah waspada tambahan", menurut MOE.
Kementerian Pendidikan menarik perhatian bahawa kes pertama penularan di sekolah itu "adalah satu peringatan jelas" kepada semua orang bahawa "kita perlu berganding bahu untuk menjamin keselamatan sekolah-sekolah kita".
"MOE menggesa semua ibu bapa supaya mematuhi dasar penyaringannya dengan memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan memaklumkan pihak sekolah dengan segera jika salah seorang anggota isi rumah mengalami masalah pernafasan akut, atau dipercayai dijangkiti COVID-19," menurut MOE.
"Murid-murid harus mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka rasa tidak sihat, terus mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.