Pelajar positif COVID-19: Sekolah Rendah Yio Chu Kang jalankan HBL mulai 14 Mei
Tempoh pembelajaran dari rumah itu akan bermula dari esok (14 Mei) hingga Selasa depan (18 Mei).
SINGAPURA: Sekolah Rendah Yio Chu Kang akan melaksanakan pembelajaran dari rumah (HBL) selama tiga hari selepas seorang daripada pelajarnya diuji positif COVID-19. Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (13 Mei).
Tempoh pembelajaran dari rumah itu akan bermula dari esok (14 Mei) hingga Selasa depan (18 Mei) "kerana ia akan mengambil sedikit lagi masa untuk menyelesaikan dan memuktamadkan keputusan siasatan-siasatan epidemiologi", menurut MOH menerusi kenyataan medianya.
"MOE sedang berhubungan dengan sekolah itu untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi para guru dan pelajar dalam menjalankan pembelajaran dari rumah. Para guru juga sudah menghubungi pelajar dan ibu bapa," menurutnya.
MOH sudah menentukan bahawa jangkitan yang dialami pelajar itu bukan dari sekolah kerana dia dijangkiti daripada seorang anggota keluarga. Kali terakhir pelajar itu berada di sekolah adalah pada Isnin (10 Mei) dan dia sihat pada waktu itu. Bagaimanapun, dia tidak sihat keesokan harinya dan berjumpa doktor.
Sekolah Rendah Yio Chu Kang sudahpun menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di premis tersebut dan MOH sudah meletakkan para pelajar dan kakitangan yang merupakan kontak rapat pelajar tersebut di bawah perintah kuarantin dari 12 Mei hingga 24 Mei.
Semua kontak rapat akan menjalani ujian swab COVID-19 PCR seperti yang diwajibkan oleh MOH.
"MOE akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan sekolah dan ibu bapa untuk memastikan kesejahteraan kakitangan dan pelajar," menurut kementerian itu.
"Dengan kenaikan jumlah kes tempatan sejak seminggu lalu, kami menggesa semua pelajar dan kakitangan supaya terus mengamalkan kebersihan peribadi dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat.
"Ini termasuk memakai pelitup, kerap membasuh tangan, mengelap peralatan dan meja, berjumpa doktor jika tidak sihat dan kembali ke sekolah hanya setelah sembuh sepenuhnya."
Awal bulan ini, Sekolah Menengah Edgefield juga beralih ke pembelajaran dari rumah selepas seorang pelajar berusia 15 tahun diuji positif COVID-19 pada 29 April. Sekolah itu menyambung pembelajaran di sekolah pada 10 Mei, menyusuli pembelajaran dari rumah selama empat hari dari 4 Mei hingga 7 Mei.
Sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung sebarang risiko penularan jangkitan COVID-19, sekitar 1,500 pelajar, kakitangan dan penyedia khidmat dari luar di Sekolah Menengah Edgefield menjalani ujian swab seperti yang diwajibkan MOH. Mujur keputusannya semua negatif.
Hari ini, Singapura melaporkan 24 kes baru COVID-19 dalam masyarakat, dengan lagi lapan kes import.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.