Pelajar pertukaran dipenjara kerana menghendap bekas rakan, upah penggodam akses akaun Telegram
Untuk mengetahui mengapa dua orang wanita tidak lagi berkawan dengannya, seorang lelaki berusia 23 tahun mengupah seorang penggodam menerusi 'dark web' untuk mendapatkan akses kepada akaun Telegram mereka dan membaca perbualan mereka.
Bangunan Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: Mediacorp)
- Kevin Gao, pelajar pertukaran dari Amerika Syarikat, dihukum penjara 20 minggu di Singapura kerana mengupah penggodam untuk mengakses akaun Telegram tiga remaja perempuan yang dikenalinya secara online.
- Beliau juga menghendap dan cuba menghubungi salah seorang mangsa berulang kali, dengan semua mangsa berumur bawah 18 tahun ketika kejadian berlaku.
- Peguam Gao berhujah bahawa tindakan tersebut dipengaruhi gangguan kemurungan dan keresahan, serta tekanan akibat pengakhiran persahabatan secara tiba-tiba.
- Hakim menegaskan Gao tetap perlu bertanggungjawab atas kemudaratan kepada mangsa, walaupun mengambil kira keadaan mentalnya, dan beliau akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman.
SINGAPURA: Untuk mengetahui mengapa dua orang wanita tidak lagi berkawan dengannya, seorang lelaki berusia 23 tahun mengupah seorang penggodam menerusi 'dark web' untuk mendapatkan akses kepada akaun Telegram mereka dan membaca perbualan mereka.
Kevin Gao, seorang pelajar pertukaran warga Amerika Syarikat, dijatuhi hukuman penjara 20 minggu pada Jumaat (19 Jun) atas tindakannya itu. Dia juga menghendap salah seorang daripada mereka serta seorang lagi bekas rakannya - kedua-dua merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian berlaku.
Dia mengenali ketiga-tiga mangsa secara online menerusi platform komunikasi Discord dan platform permainan Roblox.
Timbalan Pendakwa Ashley Chin memohon hukuman penjara antara tujuh hingga sembilan bulan bagi Gao, sambil menekankan tingkah lakunya yang "serius dan semakin melampau", serta menyatakan bahawa kesemua mangsanya berusia bawah 18 tahun ketika kejadian berlaku.
Peguam Gao, Encik Victor Lau dan Cik Ong Hui Wen daripada firma Drew and Napier, pula berhujah bahawa hukuman penjara selama dua bulan adalah memadai.
Menurut peguamnya dalam rayuan mitigasi, pakar psikiatri privet dan pakar psikiatri daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) sama-sama bersetuju bahawa lelaki itu mengalami gangguan kemurungan teruk yang disertai keresahan.
Doktor IMH itu mendapati keadaannya juga mungkin menyumbang kepada jenayah yang dilakukan - merasakan diri sebagai tidak berharga dan tahap keresahan yang tinggi menjejaskan pertimbangan serta keupayaannya untuk berfikir secara rasional, sekali gus menyebabkan keputusan yang kurang bijak diambil, kata Encik Lau di mahkamah pada Jumaat.
Gao juga mencederakan dirinya sendiri dalam dua kejadian, termasuk mengelar dirinya menggunakan kaca pada Ogos 2024 dan cuba membunuh diri ketika berada dalam tahanan reman pada Januari 2025, tambah beliau.
Menurut Encik Lau, tindakan Gao berpunca daripada pengakhiran mengejut persahabatannya dengan mangsa-mangsa tersebut dan keadaan itu menjejaskan keupayaannya membuat keputusan. Beliau menambah bahawa tingkah laku Gao adalah "tidak menentu, di bawah paras normal dan menunjukkan kekurangan kawalan diri".
Beliau turut menekankan, Gao merupakan seorang pelajar universiti muda yang hidup keseorangan di negara asing, dan jurang usia antara beliau dengan mangsa-mangsanya tidak begitu besar. Beliau menggesa hakim agar memberi lebih penekanan kepada pemulihan berbanding pencegahan.
Dalam menimbangkan keperluan untuk menghalangnya daripada mengulangi kesalahan yang sama, Encik Lau menarik perhatian bahawa Gao akan dihantar pulang sejurus selepas selesai menjalani hukuman.
"Kedua-dua doktor berpendapat bahawa sebaik sahaja Kevin kembali ke negara asalnya dan menerima sokongan keluarga serta sosial yang diperlukan, risiko untuk beliau mengulangi kesalahan itu adalah rendah," tambah beliau.
Menjawab hujah pihak pembela, Cik Chin tidak bersetuju dengan gambaran bahawa tingkah laku Gao adalah "tidak menentu", memandangkan dia mengupah penggodam dari Rusia untuk menggodam akaun Telegram mangsa, selain mencuba untuk menghubungi mangsa ketiganya sekurang-kurangnya 1,000 kali.
Laporan IMH juga menyatakan bahawa Gao tidak kehilangan sepenuhnya keupayaan untuk mengawal tindakannya, dan dia memahami bahawa perbuatannya adalah salah, tambah Cik Chin.
Setelah mengambil kira keadaan mental Gao, Hakim Daerah Ong Hian Sun bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa Gao masih perlu dipertanggungjawabkan atas kemudaratan yang dialami tiga mangsa remaja tersebut, lalu menjatuhkan hukuman penjara 20 minggu ke atasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.