Pelajar perempuan Menengah 1 boleh dapatkan vaksinasi percuma barah pangkal rahim
Para pelajar perempuan di Menengah 1 boleh memilih untuk mendapatkan vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV) secara percuma. Vaksin tersebut dapat mencegah barah pangkal rahim.
SINGAPURA: Para pelajar perempuan di Menengah 1 boleh memilih untuk mendapatkan vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV) secara percuma. Vaksin tersebut dapat mencegah barah pangkal rahim.
Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Kesihatan Amy Khor dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya hari ini (6 Mac).
Semua warga atau penduduk tetap perempuan lain daripada kohort yang sama termasuk mereka yang menuntut di institusi-institusi pendidikan privet juga layak untuk mendapatkan vaksinasi tersebut, tambahnya.
Inisiatif itu akan dimulakan pada April tahun ini.
Satu program sekali sahaja untuk pelajar perempuan sekolah menengah kohort sekarang mendapatkan vaksinasi, juga akan dilaksanakan secara bertahap-tahap.
Negara-negara lain seperti United Kingdom dan Brunei juga menjalankan program serupa untuk menyediakan vaksinasi menerusi program-program kesihatan di sekolah nasional, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Dr Khor.
Sekitar 70 wanita mati setiap tahun disebabkan penyakit itu, tambahnya. Antara 2011 dengan 2015, terdapat sekitar 200 kes baru barah pangkal rahim setiap tahun.
MANFAAT MENGATASI KOS VAKSINASI HPV
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan ia akan memperuntukkan S$2.5 juta setiap tahun bagi program vaksinasi HPV dan sekitar S$10 juta bagi program sekali sahaja.
Biaya vaksinasi HPV wanita dinilai membawa manfaat bagi pencegahan barah pangkal rahim di Singapura.
"Manfaat yang dijangkakan daripada vaksinasi HPV seperti jangka hayat lebih panjang dan pencegahan barah termasuk kos rawatan, mengatasi kos memberi vaksin pada jangka lebih panjang," kata seorang jurucakap MOH.
Di samping itu, MOH akan memperkenalkan kaedah untuk mengesan barah pangkal rahim dengan lebih tepat. Kaedah tersebut tidak memerlukan pesakit untuk kerap berjumpa doktor.
Dengan ujian baru itu, wanita berusia 30 tahun dan ke atas hanya perlu menjalani pemeriksaan sekali setiap lima tahun, berbanding ujian Pap yang perlu dilakukan setiap tiga tahun.
"Kos bagi ujian lebih tepat itu lebih tinggi, tetapi Pemerintah akan memberikan lebih banyak subsidi agar kos yang perlu ditampung sama dalam jangka panjang," kata Dr Khor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.