Skip to main content

Singapura

Pelajar NUS dituduh rakam wanita mandi di asrama, ditahan polis

Seorang lelaki 26 tahun ditahan pada Sabtu (11 Mei) selepas dituduh merakam seorang mahasiswi di bilik mandi di asrama Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar NUS dituduh rakam wanita mandi di asrama, ditahan polis

(Gambar: Petikan Google Maps)

Diterbitkan : 12 May 2019 03:59PM Dikemas Kini : 12 May 2019 04:07PM

SINGAPURA: Seorang lelaki 26 tahun ditahan pada Sabtu (11 Mei) selepas dituduh merakam seorang mahasiswi di bilik mandi di asrama Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dalam satu emel kepada Mediacorp, NUS menyatakan pihaknya menerima laporan bahawa kejadian itu berlaku di bilik mandi Raffles Hall pada sebelah pagi.

"Suspek dirakam melalui kamera CCTV yang baru dipasang," kata seorang jurucakap NUS.

"Aduan polis dibuat, dan suspek sudah ditangkap polis untuk siasatan lanjut."

Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Kent Ridge Crescent sekitar pukul 8.10 pagi.

Lelaki itu, pelajar NUS yang tinggal di asrama yang sama, kemudiannya ditangkap kerana kesalahan menceroboh, menurut polis.

Polis menambah bahawa suspek juga disiasat kerana menghina kehormatan seorang wanita.

Dalam kenyataannya, NUS menambah bahawa universiti itu sedang memberi pelajar wanita tersebut "sokongan dan bantuan terperinci".

"Pihak universiti bekerja rapat dengan polis dalam siasatan, dan akan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya," kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata sejak April, NUS sudah "meningkatkan keselamatan di kampus kami melalui pemantauan CCTV yang dipertingkatkan, kubikel mandi lebih selamat, kunci pada bilik tandas dan rondaan tambahan oleh pegawai keselamatan kampus".

BACA: NUS tingkatkan keselamatan bilik mandi, jumlah pengawal di kampus
"Semua langkah-langkah ini sedang dilaksanakan di Raffles Hall," katanya.

"Pihak Universiti juga sedang melakarkan kursus untuk mendidik masyarakat kami berkenaan sikap menghormati dan persetujuan."

Dalam makluman keselamatan yang dihantar kepada para pelajar NUS yang dilihat oleh Mediacorp, pasukan keselamatan kampus universiti itu menekankan keselamatan pelajar adalah penting. Notis itu menggesa semua pelajar dan kakitangan "supaya terus berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan".

Insiden ini menyusuli kes terbaru yang melibatkan mahasiswi NUS, Monica Baey yang dirakam di sebuah tandas mandi asrama oleh seorang pelajar, Nicholas Lim.

NUS sejak itu menghadapi tekanan awam sehingga mendorongnya untuk menyemak semula cara ia mengendalikan kes-kes salah laku seksual.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita