Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelajar Melayu capai banyak kemajuan jika dibandingkan dengan para pelajar luar negara: Tharman

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, ia kritikal untuk warga Singapura menjadi sebuah masyarakat yang optimis.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar Melayu capai banyak kemajuan jika dibandingkan dengan para pelajar luar negara: Tharman

Simposium Mendaki keenam bertemakan 'Memikirkan Semula Pendidikan'. (Gambar: Rosli A Razak)

BERITAmediacorp: Penting bagi Singapura untuk mewujudkan ruang di mana setiap warga mempunyai peluang yang saksama untuk capai kecemerlangan dan pertingkatkan diri.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, ia kritikal untuk warga Singapura menjadi sebuah masyarakat yang optimis.

Encik Tharman menggariskan tiga cara untuk mencapai matlamat itu.

Yang pertama adalah merapatkan jurang di peringkat awal, cara kedua pula adalah untuk meluaskan lagi kelebihan yang dikenalpasti dan digalakkan dalam meritokrasi serta ketiga untuk mengukuhkan semangat kebersamaan merentasi kumpulan sosioekonomi yang berbeza dengan lebih gigih lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Simposium Mendaki 2022 di Pusat Konvensyen Suntec City pada Khamis (30 Jun).

Simposium Mendaki keenam itu bertemakan 'Memikirkan Semula Pendidikan'.

Dalam pada itu, Encik Tharman berkata jurang dapat dilihat di peringkat prasekolah lagi.

"Jurang itu sangat jelas kepada kita semua yang terlibat dalam pendidikan. Ia sudah dapat dilihat di peringkat prasekolah dan di darjah satu.

"Ia memerlukan usaha bersepadu pemerintah, kumpulan masyarakat dan sekolah untuk menangani jurang ini. Bagi masyarakat Melayu, ini adalah isu yang sangat penting," kata Encik Tharman.

Beliau menarik perhatian bahawa masyarakat Melayu telah mencapai banyak kemajuan di setiap peringkat pendidikan jika dibandingkan dengan para pelajar di luar negara.

Sebagai contoh pelajar-pelajar Melayu Singapura mencatat prestasi lebih baik dalam subjek matematik berbanding para pelajar lain di dunia dari negara-negara OECD.

"Peningkatan dalam masyarakat Melayu dalam penyertaan dalam pendidikan pos menengah dan seterusnya, juga merupakan yang terbesar dalam dekad yang lalu berbanding dengan kumpulan etnik lain.

Sebahagiannya adalah kerana titik permulaan adalah rendah, tetapi kemajuan yang dicatatkan adalah ketara," kata Encik Tharman.

Bagaimanapun, masih wujud jurang besar berbanding kumpulan etnik yang lain meskipun terdapat kemajuan yang sangat ketara.

"Dalam erti kata lain, jurang yang dihadapi oleh masyarakat Melayu bukan hanya kerana orang Melayu terlalu banyak diwakili dalam kumpulan sosioekonomi rendah.

"Terdapat lebih ramai orang Melayu yang bermula dengan lemah terutama mereka yang berada dalam golongan ekonomi 20% terbawah.

Itulah sebabnya kami melihat sebahagian besar orang Melayu dalam Program Sokongan Pembelajaran kami di peringkat rendah untuk Bahasa Inggeris dan sokongan pembelajaran kami untuk matematik. Ia bukan hanya kerana status sosioekonomi yang rendah tetapi kerana faktor kompleks tambahan yang perlu kita tangani," kata beliau lagi.

Oleh yang demikian menurut Encik Tharman, usaha masyarakat adalah penting.

Pemerintah, Mendaki, M³ dan badan masyarakat lain sedang berusaha untuk merapatkan jurang awal dalam kalangan anak Melayu, khususnya mereka yang berada dalam golongan sosioekonomi 20% terbawah.

Encik Tharman juga berkata penting untuk mengenal pasti dan mengurangkan jurang keutamaan antara kemahiran yang berbeza-beza.

"Ia bukan sahaja untuk mengurangkan jurang. Ia juga mengenai membangunkan dan mengembangkan pelbagai kemahiran setiap kanak-kanak di setiap peringkat umur mereka.

"Kita perlu melakukan lebih baik lagi untuk membangunkan rangkaian kemahiran yang lebih luas apabila kanak-kanak membesar," kata beliau.

Encik Tharman turut menekankan pentingnya untuk mengukuhkan kekuatan kompak sosial untuk masa depan Singapura.

Semangat kebersamaan dan keupayaan saling menghormati juga perlu diperkukuhkan, kata beliau.

Ini dapat dicapai dengan memahami dan menghormati perbezaan; membangunkan keupayaan untuk wacana yang sihat dan menghormati pandangan yang berbeza-beza.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan